Royalti minyak: Umno akan buat apa saja untuk sekat PAS
OLEH ISMAIL HASHIM

MERBOK, 5 Sept (Hrkh) - Presiden PAS, Dato' Fadzil Mohd Noor berkata, Umno kini sangat sakit hati apabila pengaruh PAS makin berkembang apatah lagi dalam pilihan raya lalu Terengganu yang memperolehi royalti minyak sebanyak RM810 juta setahun itu jatuh ke tangan PAS.

Oleh itu, katanya, Umno akan berbuat apa sahaja untuk menyekat pengaruh PAS itu tambah-tambah lagi kalau PAS menggunakan wang minyak itu untuk memenangi hati rakyat di negeri itu.

Fadzil berkata demikian semasa berucap merasmikan Ekspo Gabungan Ekonomi Jemaah (GEJ) 2000 bermula 2 hingga 4 September itu anjuran PAS Kawasan Merbok, dekat sini.

Turut hadir dalam majlis itu adalah Pesuruhjaya PAS Kedah, Ustaz Azizan Abdul Razak, Timbalannya, Dato' Haji Mohd Muslim Osman, Setiausaha, Haji Mustafa Long, Wakil-wakil rakyat PAS, Pemangku YDP Kawasan Merbok, Haji Mat Akhir Thalib dan Pengarah Ekspo GEJ, Haji Abdul Hamid Ibrahim.

Mesyuarat Kabinet yang lalu dipercayai telah membuat beberapa keputusan penting berhubung dengan royalti minyak kepada kerajaan negeri Terengganu.

Menteri Kewangan dijangka akan mengumumkan keputusan mengenainya. Ini berikutan dari rasa tidak puas hati kerajaan Pusat terhadap jumlah royalti yang naik 75 peratus jumlahnya sebaik sahaja pentadbiran Terengganu diambilalih oleh PAS dan Barisan Alternatif.

Sebuah akhbar harian milik Umno dalam laporan muka depannya hari ini melaporkan cara pembayaran royalti minyak itu akan mengembirakan rakyat Terengganu.

Tidak diketahui rakyat Terengganu yang manakah akan gembira dengan kaedah baru itu samada yang majoriti iaitu yang memberikan sokongan kepada PAS dalam pilihan raya umum lalu atau yang manoriti iaitu yang masih kekal bersama Umno.

Ustaz Fadzil menyatakan Dr Mahathir sudah melihat sendiri bagaimana pemimpin Umno Terengganu yang membina berbagai bangunan dan kediaman, tiba-tiba tewas dalam pilihan raya lalu dan PAS pula yang menggunakannya.

"Beliau juga sudah dapat membayangkan kini bagaimana pada pilihan raya 2004 nanti, mahligai Putrajaya yang dibina untuk bersenang lenang dan berseronok sudah bukan miliknya lagi.

"Kerana itu api dendam untuk membunuh PAS dan bertindak kepada PAS kini sedang dan akan terus menyala," kata Ustaz Fadzil lagi.

Rakyat negara ini terutamanya mereka yang beragama Islam diminta jangan lagi tertipu dengan segala helah politik Umno BN kerana mereka sanggup lakukan apa sahaja untuk kembalikan sokongan rakyat kepada mereka.

Umno selama 43 tahun memegang teraju negara telah gagal selamatkan masa depan bangsa apatah lagi survival umat Islam kerana pemerintahan mereka hanya menggunakan logik fikiran sahaja.

Ustaz Fadzil yang juga Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia berkata, sudah cukup rakyat negara ini ditipu selama 43 tahun lalu sedangkan hasil segala pemerintahan Umno BN hanya pembangunan luaran sahaja.

"Jika rakyat negara ini masih tidak mahu berubah ianya akan merugikan negara ini dalam satu jangka masa yang sangat panjang," tegasnya dalam majlis itu.

Selepas berucap, Ustaz Fadzil diberi penghormatan melancarkan Majalah Jejak Perjuangan berharga RM5.00 sebuah yang mengandungi berbagai tulisan penulis-penulis terkenal negara.

Mereka yang berminat boleh hantarkan wang pos sebanyak RM6.00 (termasuk wang pos) atas nama Bendahari PAS Kawasan Merbok, Kampung Masjid Merbok Lama, 08400 Merbok Kedah tel 04-4571426.

Selepas itu, Ustaz Fadzil juga telah menyampaikan sijil penghargaan kepada 20 orang ahli-ahli PAS veteran yang merupakan antara Penggerak awal PAS di Kawasan Merbok.

lebih 100 gerai berbagai-bagai bentuk jualan telah mengisi ruang-ruang Ekspo GEJ 2000 itu dengan jumlah wang keluar masuk sekitar RM1.5 juta dalam masa tiga hari tiga malam itu.