Make your own free website on Tripod.com

19 kumpulan sokong memorandum kepada Suhakam
‘Ein Azmi

Kuala Lumpur - Sembilan belas pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan kumpulan rakyat menyokong memorandum kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) yang diserahkan oleh Presiden Parti Keadilan Nasional Dr Wan Azizah Wan Ismail esok.

Selain Azizah, pemimpin pembangkang yang bakal menyertainya termasuklah Presiden Parti Rakyat Malaysia Dr Syed Husin Ali, Setiausaha Agung parti itu Dr Sanusi Osman, anggota-anggota Dewan Rakyat Barisan Alternatif Datuk Kamarudin Jaafar, Dr Syed Azman Syed Ahmad (kedua-duanya PAS), Teresa Kok, Lim Hock Seng (kedua-duanya DAP) dan Abdul Rahman Yusof (Keadilan).

Kumpulan-kumpulan itu setakat 9 April lalu telah menyatakan sokongan terhadap 10 perkara dalam memorandum itu yang menyentuh isu-isu kebebasan berkumpul, institusi kehakiman, kebebasan media, menghapuskan akta-akta zalim, membanteras budaya kronisme, nepotisme serta rasuah.

Antara pertubuhan itu termasuklah Persatuan Kebangsaan Hak Asasi Manusia Malaysia (Hakam), Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM), Bahagian Belia Dewan Perhimpunan Cina Selangor, Tenaganita, Badan Bertindak Mahasiswa Negara (BBMN), Gabungan Mahasiswa Islam Semenanjung (Gamis), Gerakan Demokratik Belia dan Pelajar Malaysia (Dema) dan Kumpulan Aktivis Media Independen (Kami).

Selain bahasa Melayu, ‘memorandum rakyat 14 April’ itu turut diterjemahkan kepada bahasa-bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.

sumber : Malaysiakini