ANALISA BERITA

Guna kereta rasmi pergi beli nasi lemak
Oleh: Fathi Aris Omar

6 Jun: Ketika perwakilan Pemuda PAS sedang bermuktamar Khamis lalu, di luar
dewan, seorang aktivis akar umbi parti itu merungut tentang 'gelagat baru'
pemimpin parti itu mentadbir Terengganu. Aktivis pertengahan 30-an itu
berkata semua pemimpin parti Islam itu menjadi sasaran kritikan tidak puas
hati ahli-ahli PAS sendiri.

"Semuanya (anggota exco dikritik) kecuali Menteri Besar," jelasnya, apabila
ditanya tentang berapa ramai lagi pemimpin kanan kerajaan negeri itu
dikritik setelah mendengar begitu banyak rungutan terhadap Exco Pembangunan
Islam dan Pelaksanaan Syariah, Harun Taib.

"Tetapi lama-kelamaan, orang ramai akan pertikaikan MB pula," katanya.
"Kalau dah tahu banyak complaint, kenapa (MB) tak buat apa-apa?" hujahnya
dalam pelat Terengganu.

Beliau bercerita tentang banyak rungutan - bermula pemberian kawasan balak
kepada salah seorang ahli Umno tetapi tidak melalui tender terbuka hinggalah
soal penyalahgunaan kenderaan rasmi untuk tujuan peribadi.

Menurutnya, maklumat tentang isu balak itu beredar melalui mesej emel tetapi
tidak dapat mengesahkan sejauh mana soal itu dapat disokong dengan bukti
atau dokumen rasmi. Bagaimanapun, isu kereta rasmi itu didakwa disaksikannya
sendiri.

"Ana nampak dengan mata ana sendiri," ungkapnya, yang mulai berjinak dengan
parti Islam itu sejak di sekolah menengah lagi, dengan tata bahasa gerakan
Islam. Ana, yang bermaksud saya, merupakan istilah Arab yang popular
digunakan dalam pertuturan aktivis pertubuhan-pertubuhan Islam.

Aktivis ini tinggal tidak jauh dari rumah exco kanan berkenaan yang
selalunya dianggap pakar rujuk dalam hal ehwal perundangan PAS. "Isteri dia
bawak (pandu) pergi beli nasi lemak," tambahnya.

"Sekarang isu ini (kereta rasmi) sudah jadi buah mulut. Yang hairan, ada
sebilangan exco sudah mempunyai beberapa buah kereta (peribadi)," rungutnya
lagi.

Tetapi, katanya lagi, yang lebih mengecewakan, jawapan yang diterimanya
daripada bekas Ketua Pemuda PAS negeri itu tentang rungutan salah guna
kemudahan awam tersebut.

"Isu (kereta) ini, ana malas nak jawab!" kata Ahli Dewan Undangan Negeri
bekas aktivis ABIM itu dalam satu mesyuarat agung PAS peringkat kawasan.

"Kita selalu kritik Umno kerana menyalahgunakan kemudahan awam untuk tujuan
peribadi, tetapi bagaimana sekarang?" beliau terus mempertikaikan.

Beliau bimbang kerajaan PAS Terengganu - yang baru berusia enam bulan -
mengulangi KKN (kornisme, korupsi dan nepotisme) yang menjadi kemarahan
rakyat terhadap Umno.

"Soalnya bukan amalan, soalnya prinsip. Lagipun, perbuatan itu (kereta
rasmi) terlalu menjolok mata," beliau mempertahankan rungutannya apabila
dihujahkah bahawa amalan KKN dalam Umno jauh lebih serius berbanding isu
kereta rasmi yang diungkitnya itu.

Sementara seorang kontraktor kecil merungut tentang apa yang didakwa 'amalan
tidak telus' kerajaan negeri itu. "Nampaknya hanya mereka (kontraktor yang
dilihat pro-Umno) yang pernah mendapat tender (ketika Umno mentadbir) dulu
mendapat kontrak," katanya.

Sementara seorang lagi kontraktor pula merungut kerana terpaksa mengambil
kerja-kerja sub-kontrak daripada seorang kontraktor Umno yang mendapat
projek.

Pelbagai rungutan didengar daripada pelbagai peringkat - daripada pegawai
kerajaan negeri dan aktivis parti hingga rakyat biasa - dan semuanya itu
bertujuan melihat PAS berada atas landasan yang betul seperti yang sering
diceramahkan oleh parti Islam itu.
 

"Janganlah bekerja keras untuk PAS dan mengharapkan (sesuatu yang unggul).
Nanti kita kecewa," pesan rakannya pula.

Apakah amalan 'tiga abdul' seperti tulis Sayuti Omar sedang berkembang di
sebalik bulan purnama di Terengganu?