Strategi hadapi pilihan raya 2004' 

Amanat Fadzil di muktamar ke-46 PAS 

KUALA TERENGGANU -- Presiden Parti Islam (PAS), YBDatuk Fadzil Noor, berkata parti tersebut akan
menghadapi masa paling mencabar dalam tempoh lima tahun akan datang terutamanya bagi menghadapi
pilihan raya umum 2004. 

Ini memerlukan parti itu mengambil pendekatan berstrategi termasuk memantapkan struktur
organisasinya, kata beliau dalam ucapan merasmikan Muktamar Tahunan ke-46 PAS di Stadium Negeri
di sini, semalam. 

Turut hadir dalam perasmian itu ialah Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP), Encik Lim Kit
Siang; Presiden Parti Rakyat Malaysia, Dr Syed Husin Ali, serta Timbalan Presiden Parti Keadilan
Nasional, Dr Chandra Muzaffar. 

"Persediaan secara rambang, penggemblengan tenaga di saat akhir, menggerakkan jentera selepas
pengumuman tarikh pilihan raya adalah amalan usang dan tidak mungkin relevan lagi dalam konteks
tuntutan semasa," Datuk Fadzil menegaskan lagi. 

Menurutnya, PAS telah menyiapkan program penyusunan semula melalui rangka kerja pengauditan
pengurusan. 

Beliau berkata, PAS perlu memberi keutamaan kepada usaha untuk meraih kemenangan mutlak bersama
parti pembangkang lain dalam pakatan Barisan Alternatif dengan menggunakan segala sumber dan
kekuatan yang ada dengan sepenuhnya melalui sistem pengurusan yang canggih. 

Datuk Fadzil berkata Barisan Alternatif memain kan peranan penting sebagai kaedah terbaik dalam
pakatan keempat-empat parti pembangkang itu. 

"PAS mempunyai potensi besar untuk membuktikan kepada dunia bahawa Islam mampu memerintah dengan
pendekatan yang disenangi oleh rakyat termasuk orang bukan Islam," katanya. 

Beliau juga berkata bahawa sejak awal lagi parti Islam itu komited untuk memelihara dan memimpin
perpaduan ummah dan negara. 

Menurutnya lagi, tema muktamar parti itu bagi tahun ini -- PAS Memimpin Perpaduan -- adalah
selaras dengan usaha parti itu yang sentiasa mengajak semua golongan termasuk bukan Islam
membina perpaduan dan keadilan.