Terengganu belanja royalti ikut kelulusan sidang DUN

KUALA TERENGGANU, 12 Disember (Hrkh)- Segala perbelanjaan daripada kumpulan wang disatukan adalah tertakluk kepada kelulusan Belanjawan Negeri yang telah diluluskan oleh Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada setiap tahun kewangan.

Menteri Besar, Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, segala terimaan hasil dan perbelanjaan akan dilaporkan dalam Penyata Kewangan Negeri yang disediakan sebaik sahaja akaun berkenaan berakhir.

Beliau menyatakan demikian dalam jawaban bertulis kepada wakil Ajil, Rosol Wahid yang ingin tahu ke mana wang royalti sebanyak RM432 dibelanjakan.

Menurutnya, penyata kewangan itu disediakan oleh Akauntan Negeri dan disemak oleh Ketua Audit Negara untuk dibuat penilaian berasaskan peraturan semasa yang diterima pakai oleh semua negeri.

Tambahnya, penyata kewangan setelah diperakukan oleh Ketua Audit Negara akan dibentangkan di DUN mengikut seksyen 16(2) Akta Acara Kewangan.

Beliau menjelaskan bahawa royalti yang diterima pada 29 Februari lalu bagi setengah tahun pertama tahun 2000 sebanyak RM434,828,765 telah dimasukkan di dalam kumpulan wang disatukan dan perbelanjaannya mengikut kaedah sebagaimana di dalam buku belanjawan.

Menurut beliau, dasar perakaunan kerajaan negeri seperti terkandung dalam Perlembagaan, segala hasil dan wang yang didapatkan atau diterima kecuali zakat fitrah, baitul mal atau hasil agama Islam yang seumpamanya dibayar masuk ke dalam serta menjadi satu kumpulan wang yang dinamakan Kumpulan Wang Disatukan bagi negeri Fasal 97 (2).

Katanya, mengikut kehendak Akta Acara Kewangan, tiga akaun berasingan diselenggarakan di bawah Kumpulan Wang Disatukan.

i) Akaun Hasil Yang Disatukan, yang ke dalamnya hasil kerajaan dibayar dan darinya perbelanjaan mengurus dilakukan.

ii) Akaun Amanah Yang Disatukan, yang di bawahnya segala terimaan dan bayaran Kumpulan Wang Amanah Kerajaan dan wang yang diterima oleh kerajaan maksud tertentu diakaunkan.

iii) Akaun Pinjaman Yang Disatukan, dalam mana semua penerimaan pinjaman dipindahkan kepada kumpulan wang yang lain diakaunkan.