Make your own free website on Tripod.com
KERJA LIMA HARI SEMINGGU DI TERENGGANU
 BERMULA 1 JAN 2000
 
 KUALA TERENGGANU, 10 Dis -- Amalan kerja lima hari
 seminggu bagi semua jabatan kerajaan negeri Terengganu akan
 dilaksanakan mulai 1 Jan depan, kata Setiausaha Kerajaan Negeri
 Datuk Che Mat Jusoh.

 Beliau berkata buat masa ini hari kerja bagi semua kakitangan
 kerajaan negeri adalah seperti biasa.

 "Hari Sabtu ini (esok) tidak cuti, cuma yang berubah sekarang
 ialah waktu kerja dipendekkan sehingga pukul 3 petang kerana
 bulan puasa," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

 Beliau berkata demikian ekoran kekeliruan di kalangan kakitangan
 kerajaan negeri yang menyangka cuti dua hari seminggu mula
 dilaksanakan minggu ini berikutan langkah memendekkan masa
 kerja pada bulan Ramadan ini.

 PAS dalam manifestonya berjanji untuk melaksanakan cuti dua hari
 seminggu untuk kakitangan kerajaan negeri sekiranya berjaya
 memenangi pilihan raya umum ke-10 pada 29 Nov lepas.

 Menteri Besar Haji Abdul Hadi Awang baru-baru ini berkata dengan
 pelaksanaan cuti dua hari seminggu iaitu Jumaat dan Sabtu, hari
 Khamis merupakan hari kerja sepenuh hari.

 Che Mat berkata pekeliling mengenai perkara itu akan dikeluarkan
 kepada semua ketua jabatan tidak lama lagi.