TERENGGANU DARUL IMAN
MEMBANGUN MENURUT ISLAM
 
                 PEMUDA YANG KELUAR, MAHAL HARGANYA

                 Lutfi: Dr melihat KeADILan sebagai parti Melayu atau sebagai parti Islam?
                 KeADILan dilahirkan sebagai parti berbilang kaum. Tetapi sepanjang
                 pengalaman setahun lalu, apakah konsep parti pelbagai kaum ini dapat
                 dikekalkan? Kita melihat parti pelbagai kaum yang ditubuhkan sebelum ini
                 menemui kegagalan.

                 Chandra: Ada tiga perkara yang terdapat dalam persoalan itu. Mengenai
                 identiti dan kedudukan KeADILan. Dari segi teori, KeADILan adalah parti
                 berbilang kaum. Realitinya, hampir 90 peratus anggotanya Melayu, dan
                 kumpulan ini menjadi teras.

                 Ada parti-parti lain sebelum ini, umpamanya Parti Negara (pimpinan Datuk
                 Onn Jaafar), Parti Rakyat Malaysia dan banyak lagi parti lain yang dikatakan
                 berbilang kaum.

                 Harus saya tegaskan di sini bahawa keadaan telah berubah. Sekiranya parti
                 berbilang kaum ditubuhkan pada tahun 1960-an, gagal, tidak semestinya parti
                 berbilang kaum itu gagal pada tahun 2000 atau 2001.

                 Struktur sosial dan struktur ekonomi masyarakat banyak berubah. Keadaan
                 yang wujud dewasa ini melahirkan persekitaran yang lebih sebati dengan
                 aspirasi untuk menubuhkan parti berbilang kaum.

                 Masyarakat Melayu kini lebih beraneka dari segi struktur sosialnya, dan kelas
                 menengahnya jauh lebih luas. Apabila kelas menengah itu terus berkembang
                 dan juga kelas menengah itu ada kaitan dengan kepimpinan politik, mereka
                 sukar untuk dibendung dengan struktur yang ada.

                 Mereka akan menentang kumpulan-kumpulan lain yang begitu lama
                 mendominasi politik.

                 Misalnya beberapa tahun kebelakangan ini wujud Parti Melayu Semangat 46
                 adalah satu perkembangan yang berkaitan dengan struktur masyarakat.
                 Bukan kerana krisis Umno semata-mata, ataupun Tengku Razaleigh melawan
                 Dr Mahathir Mohamad saja. Tapi ia berkaitan struktur masyarakat, kerana
                 kelas menengah telah berkembang.

                 Apabila kelas menengah berkembang, ia memerlukan ruang, sekiranya struktur
                 yang ada tidak dapat menampung hasrat dan cita-cita kelas menengah ini,
                 terutama mereka yang ingin aktif dalam politik, sosial dan memimpin
                 masyarakat.

                 Kalau kita lihat fenomena 1980-an - begitu banyak badan bukan kerajaan
                 (NGO). Ini juga satu faktor yang berkaitan perkembangan kelas menengah.
                 Mereka memperjuangkan isu alam sekitar, hak wanita, hak asasi manusia dan
                 sebagainya.

                 Parti berbilang kaum ada tempat tertentu dalam masyarakat kita. Sebab,
                 kalau tubuh parti yang berbentuk Islam umpamanya, sudah pasti ia akan
                 dinilai berdasarkan prestasi PAS, mengikut kayu ukur PAS. Itu sebabnya
                 beberapa parti yang menggunakan nama Islam, atau yang cita-citanya untuk
                 memperjuangkan Islam, seperti Hamim atau Berjasa, tidak berjaya. Salah satu
                 sebabnya kerana sudah ada satu parti Islam, dengan identiti Islam. Sama ada
                 identiti Islam itu tidak dipersetujui 100 peratus, itu bukan persoalan.

                 Untuk parti Melayu pula, Umno sudah ada. Apabila kita membentuk satu lagi
                 parti Melayu, masalahnya sama, kerana sudah ada parti seumpama itu yang
                 sudah mempunyai keperibadian dan sejarahnya.

                 Itulah sebabnya kalau kita lihat lanskap politik negara kita, kita memerlukan
                 sebuah parti yang bukan parti Islam dalam erti kata ‘biasa', dan juga bukan
                 parti Melayu, tetapi parti yang dapat memenuhi hasrat rakyat.

                 Bagi masyarakat bukan Melayu, terutama golongan muda, mereka boleh
                 menerima idea parti berbilang kaum yang dipimpin dan berteraskan orang
                 Melayu. Ia perkembangan baru. Orang bukan Melayu boleh menerima satu
                 struktur yang berbilang kaum.

                 Lutfi: Antara aset KeADILan adalah pemuda dan juga golongan
                 kelas menengah. Tetapi selepas pilihan raya kita nampak Umno
                telah mengambil pendekatan untuk menarik kembali golongan ini.

                         Selain itu kita lihat sudah ada tekanan kepada golongan muda,
                 contohnya yang berlaku di Melaka, melibatkan pengagihan kontrak dan
                 sebagainya. Baru-baru ini juga kita lihat yang keluar parti keADILan adalah
                 golongan muda. Bagaimana Dr melihat fenomena ini?

                 Chandra: Kita harus membezakan dua insiden ini. Mereka yang keluar
                 KeADILan baru-baru ini merupakan individu-individu yang digunakan untuk
                 propaganda media massa. Propaganda itu tidak tepat.

                 Mereka tidak pernah memegang jawatan-jawatan yang diheboh-hebohkan
                 itu. Sebagai contoh, seorang itu bukan ketua bahagian Tanjong Karang. Ini
                 telah jelas dalam kenyataan Setiausaha Agung, Anuar Tahir.

                 Mereka cuba ‘menaikkan harga' mereka, mereka terpaksa kaitkan dengan
                 jawatan tertentu.

                 Walhal mereka bukan memegang jawatan pun. Kecuali di Kedah, (Zuraidi)
                 memang Naib Ketua Pemuda KeADILan Kedah. Tapi dakwaan-dakwaan yang
                 lain tidak benar.

                 Bilangan individu yang menyertai mereka tidak benar. Mereka bukan ahli parti
                 kita. Perkara ini biasa berlaku menjelang pilihan raya. Mereka menghebohkan
                 perkara ini seolah-olah isu besar.

                 Anda membangkitkan tadi tentang golongan muda, sikap mereka terhadap
                 KeADILan dan cita-cita mereka. Pada hemat saya, dalam setiap masyarakat
                 ada sekurang-kurangnya tiga trend di kalangan orang muda.

                 Pertama, mereka yang mengejar kerjaya. Selepas tamat pengajian universiti,
                 mereka akan mencari wang, inginkan rumah besar, isteri cantik dan
                 sebagainya. Ini perkara biasa bagi sebahagian besar belia kita.

                 Kedua, golongan yang tidak begitu tinggi cita-cita. Mungkin mereka lebih
                 tumpu kepada keluarga. Mereka ini bukan golongan yang terlibat dalam usaha
                 untuk memperkayakan diri dan hanya menjaga keluarga. Mereka hanya
                 melakukan sesuatu yang dilakukan oleh manusia lain. Golongan kedua ini
                 mungkin lebih besar daripada golongan pertama.

                 Ketiga, golongan yang berpegang pada cita-cita tertentu. Mereka hendak
                 memperjuangkan keadilan, mereka hendak mengubah dimensi masyarakat.
                 Golongan ini kecil.

                 Saya tidak setuju tuduhan bahawa golongan muda materialistik. Tuduhan itu
                 tidak tepat. Sepanjang sejarah kita ada golongan (yang ketiga) ini. Zaman
                 1970-an, ada golongan muda yang terlibat dalam beberapa pergerakan sosial.
                 Ada yang tinggalkan kerja dan sebagainya untuk menyertai gerakan ini.

                 Begitu juga dalam 1980-an dan 1990-an, memang ada golongan ini, yang
                 terlibat dalam beberapa NGO. Mereka terdiri daripada Melayu dan juga bukan
                 Melayu. Mereka boleh mengejar cita-cita, tetapi tidak berbuat demikian.
                 Mereka sebaliknya berkorban untuk perjuangan.

                 Sekarang ada di kalangan mereka berasa terpanggil akibat pemecatan Anwar
                 Ibrahim, atau isu-isu berkaitan. Bagi mereka, ini merupakan sumbangan
                 kepada masyarakat. Ini yang saya maksudkan idealisme. Masalah besar,
                 masyarakat kita tidak menggalakkan ini semua.

                 Ada dua sebab. Pertama, kerana ada macam-macam undang-undang yang
                 menyekat. Bagi golongan muda yang tidak dapat bergerak kerana sekatan
                 undang-undang ini, mereka akan rasa kecewa. Kalau kita membunuh
                 semangat ini di kalangan orang muda, saya menganggapnya sebagai satu
                 ketidak-adilan.

                 Kedua, masyarakat kita, dalam tempoh 10 hingga 15 tahun kebelakangan ini,
                 memberi lebih keutamaan kepada cara hidup mewah. Seolah-olah inilah
                 cita-cita yang harus dikejar oleh orang muda. Mereka mesti mengejar
                 kebendaan tanpa batasan.

                 Kebendaan adalah sebahagian kehidupan kita. Tapi kebendaan mestilah ada
                 batasan. Namun sistem di negara kita - sistem ekonomi, sosial, politik -
                 sangat mengutamakan perkara-perkara begini.

                 Perkembangan sistem ini merupakan halangan besar kepada golongan yang
                 memegang idealisme.