Make your own free website on Tripod.com
 
           LAGI BUKTI ANWAR MANGSA KONSPIRASI

          Ini bukan gosip. Bukan juga fitnah. Ini keterangan di mahkamah. Bukan sebarang orang cakap. Ini
          seorang peguam terkenal yang cakap. Dia jadi saksi kepada Anwar Ibrahim. Namanya Manjeet
          Singh Dhillon. Manjeet pernah pegang jawatan Presiden Majlis Peguam Malaysia. Tentu dia tak
          cakap bohong. Cakap bohong di mahkamah boleh dihukum penjara.

          Apa peguam Manjeet Singh cakap? Dia beritahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa
          Timbalan Pendakwaraya Abdul Gani Patail telah menyebut nama Perdana Menteri Mahathir
          Mohamad semasa pertemuan Manjeet dengan Gani untuk membincangkan perkara-perkara
          berhubung kes anak guamnya S. Nallakarupan.

          Ketika disoal dalam Mahkamah Tinggi oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Yussuf Zainal Abidin,
          Manjeet berkata cara nama Mahathir disebut oleh Gani Patail dalam pertemuan itu jelas bertujuan
          untuk menyatakan kepadanya bahawa ada pihak yang sedang memerhatikan semua aspek
          perbicaraan di mahkamah, termasuk kes Nallakarupan. Cakap mudah yang tak berlapik membawa
          maksud bahawa Mahathir sedang memerhatikan semua perkara berhubung kes Anwar, termasuk
          kes Nallakarupan.

          Menurut Manjeet inti pati percakapannya dengan Gani berpusat kepada usaha Gani mencuba
          mendapatkan kerjasama Nallakarupan supaya memfitnah bahawa Anwar terlibat dengan
          wanita-wanita. Manjeet memberitahu Hakim Mahkamah Tinggi Ariffin Jaka bahawa dia bertemu
          Gani di Pejabat Peguam Negara pada 2 Oktober 1998.

          Menurut Manjeet, "Apa yang nampak dalam pertemuan itu ialah percubaan yang ketara bagi Gani
          untuk mendapatkan keterangan dari seseorang (Nallakarupan) secara memeras ugut dengan
          menggunakan nyawa orang itu (nyawa Nallakarupan) sebagai barang taruhan. Manjeet memberitahu
          mahkamah bahawa Gani memberitahunya bahawa mereka mencari keterangan dari Nallakarupan
          (fitnah yang direka) bagi pihak Perdana Menteri. Gani mahukan keterangan daripada Nallakarupan
          ‘berkenaan wanita’".

          Gani mengugut nyawa Nallakarupan. Manjeet berkata Gani memberitahunya yang membawa
          maksud Nallakarupan akan terlepas dari hukuman mati jika dia sanggup mereka-reka cerita fitnah
          bahawa Anwar ada hubungan dengan beberapa orang wanita. Gani pada mulanya tidak berapa pasti
          berapa wanita yang patut dikaitkan dengan Anwar. Gani mengagak-agak dan mereka-reka.
          Bilangannya bermula dari dua, kemudiannya jadi tiga dan akhirnya sampai lima. Demikian cerita
          Manjeet di mahkamah. Kalau Nallakarupan tak sanggup turut kehendak mereka, Gani Patail
          mengugut bahawa nyawa Nallakarupan akan melayang.

          Nallakarupan, seorang ahli bisnes dan bekas rakan tenis Anwar Ibrahim. Dia ditahan pada 31 Julai
          1998 dan dituduh memiliki peluru secara haram di rumahnya dibawah ISA yang boleh membawa
          hukuman mati mandatori.

          Jadi, apa yang didedahkan oleh peguam Manjeet Singh Dhillon di mahkamah pada 13 Jun ini sangat
          serius. Ini menunjukkan bagaimana seorang pegawai tinggi Pendakwaraya telah menyalahgunakan
          kuasa.

          Anwar Ibrahim mendakwa dia menjadi mangsa satu konspirasi tertinggi. Ini salah satu buktinya. Di
          mana pegawai pejabat Peguam Negara bernama Abd Gani Patail telah terlibat memeras ugut
          Nallakarupan supaya memfitnah Anwar. Bukan sahaja Jabatan Polis, tetapi Jabatan Peguam Negara
          dan Mahkamah juga telah berkonspirasi untuk mensabitkan Anwar dengan tuduhan yang
          direka-reka oleh musuh-musuh politik bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

          Pada 12 Jun bekas Ketua Pengarah BPR, Shafie Yahya, juga seorang saksi bagi Anwar Ibrahim
          telah menyebut nama Mahathir di mahkamah. Dia berkata Mahathir telah memerintahkannya
          memberhentikan siasatan kes rasuah ke atas bekas Ketua Pengarah EPU, Ali Abul Hassan
          Sulaiman. Pada 13 Jun peguam Manjeet Singh Dhillon pula menyebut nama Mahathir di mahkamah.

          Jadi adakah bekas Ketua Pengarah BPR, Shafie Yahya dan bekas Presiden Majilis Peguam
          Malaysia Manjeet Singh Dhillon bercakap benar? Kita boleh yakin mereka berdua bercakap benar.
          Tetapi dalam mahkamah kita mahu dengar cakap dari kedua-dua belah pihak. Jadi kita mahu dengar
          apa kata Mahathir pula. Namanya telah banyak kali disebut dalam mahkamah. Semuanya membawa
          tuduhan belaka. Bunyi cakap kedua-dua mereka, jelas Mahathir telah berbuat salah. Kesalahan
          jenayah pula. Ada kes wang, kes rasuah dan kes ugut nyawa pula!

          Kalau mahu dibuktikan kebenaran dan ditegakkan keadilan, maka Mahathir perlu dipanggil datang
          ke mahkamah untuk memberi keterangan. Di sini jelas Mahathir relevan untuk dipanggil menjadi
          saksi dalam kes Anwar Ibrahim. Mahathir mesti berani datang ke mahkamah untuk membersihkan
          dirinya dari anggapan berkonspirasi memusnahkan Anwar Ibrahim. Jika Mahathir terus lari
          ketakutan untuk memberi keterangan di mahkamah, maka semakin jelaslah bahawa teori konspirasi
          yang disebut Anwar Ibrahim itu ada asasnya. Kasihan Anwar. Dia jadi mangsa permainan kotor
          para konspirator.