Kenyataan Akhbar Parti Keadilan Nasional
Negeri Terengganu

Pembayaran Royalti Minyak Kepada Kerjaan Negeri
Terengganu

Parti KeADILan Nasional Negeri Terengganu memandang
serius pencabulan perjanjian diantara Petronas dan
Kerajaan Negeri Terengganu dalam pembayaran Royalti
Minyak kepada kerajaan Negeri Terengganu.

Kerajaan Pusat tidak seharusnya mengheret Petronas
dalam kancah agenda politik parti memerintah yang
menjejaskan kredibiliti sebuah organisasi terulung
negara. Apatah lagi Petronas merupakan sebuah syarikat
"multinasional" kebanggaan negara.

Petronas memeterai pelbagai perjanjian dengan pelbagai
kerajaan dan organisasi baik dalam maupun luar negara
di serata dunia. Sekiranya Petronas boleh dipaksa
mencabuli perjanjian dengan kerajaan Negeri
Terengganu, maka ini memberi ruang kepada mana-mana
kerajaan atau organisasi untuk berbuat perkara yang
sama terhadap Petronas.

Adalah menghairankan sedang Perdana Menteri Malaysia
melaung-laungkan penindasan, ketidakadilan,
eksploitasi ekonomi dan sikap berat sebelah negara
Barat terhadap dunia negara ketiga, dalam masa yang
sama kerajaan Malaysia bertindak menidakkan hak rakyat
Negeri Terengganu mendapat pembayaran Royalti Minyak
hasil pengeluaran bumi mereka yang sudah termeterai
dengan Petronas. Bukankah ini satu penindasan ekonomi
terhadap rakyat Negeri Terengganu?

Apakah Perdana Menteri Malaysia mengharapkan suara
beliau didengari dan dihormati oleh dunia luar
sedangkan beliau sendiri tidak melaksanakan apa yang
dilaung-laungkan didalam negara sendiri. Jangan
salahkan orang lain sekiranya beliau tidak dihormati
baik didalam maupun di luar negara kerana beliau
sendirilah yang tidak menghormati hak rakyatnya
sendiri.

Sekiranya alasan yang diberikan ialah bahawa Kerajaan
Barisan Alternatif Negeri Terengganu tidak boleh
diharapkan dalam penggunaan hasil royalti minyak dan
membangunkan Negeri Terengganu, maka ingin dijelaskan
bahawa rakyat Negeri Terengganu telah memberi mandat
selama 42 tahun kepada Barisan Nasional memerintah.
Hasilnya Negeri Terengganu merupakan negeri  termundur
dalam negara. Laporan terbaru Bank Dunia membuktikan
sehingga Oktober 1999 Negeri Terengganu merupakan
negeri termiskin dalam negara.

Parti Keadilan Nasional Negeri Terengganu meminta
Kerajaan Pusat menghormati kehendak rakyat Negeri
Terengganu memilih Barisan Alternatif untuk memerintah
dan melaksanakan pembangunan untuk mereka tanpa
ditindas dan menidakkan hak mereka sebagai rakyat
negeri yang bersekutu dengan Kerajaan Persekutuan
sepertimana yang terjamin dalam Perlembagaan
Persekutuan. Berilah peluang kepada rakyat Negeri
Terengganu menikmati pembangunan dibawah kerajaan yang
dipilih oleh mereka sendiri.

Parti KeADILan Nasional Negeri Terengganu juga
mengharapkan Petronas menghormati perjanjian dengan
Kerajaan Negeri Terengganu untuk menyalurkan hasil
royalti kepada Kerajaan Negeri Terengganu agar
kewibawaan dan kredibiliti Syarikat terulung Negara
terpelihara.

Y.B. Abd Rahman Bin Yusof
Ahli Parlimen Kemaman
Merangkap
Pengerusi Perhubungan
Parti Keadilan Nasional
Negeri Terengganu