TERENGGANU SIAP SEDIA HADAPI BANJIR
 
 KUALA TERENGGANU, 9 Dis  -- Terengganu kini
 diletakkan dalam keadaan bersiap sedia untuk menghadapi
 kemungkinan berlakunya banjir yang diramalkan lebih awal di negeri
 ini tahun ini.

 Pengarah Bahagian Keselamatan Negara Terengganu Zainal Abidin
 Jalil berkata semua jentera termasuk anggota tentera, Rela dan
 pertubuhan sukarela akan digerakkan apabila adanya tanda-tanda
 banjir di negeri ini.

 "Semua bekalan makanan asas untuk keperluan mangsa banjir
 telah dihantar ke pangkalan hadapan (tempat penyimpanan
 makanan) sejak bulan lepas," katanya kepada Bernama hari ini.

 Beliau berkata kerja-kerja menghantar barang keperluan mangsa
 banjir ke 83 pangkalan hadapan oleh Jabatan Kebajikan
 Masyarakat (JKM) selesai dilaksanakan bulan lepas.

 Selain itu, katanya bot, tempat pendaratan helikopter dan pusat
 pemindahan banjir juga berada dalam keadaan bersedia.

 Zainal Abidin berkata sebanyak 337 pusat penempatan yang
 mampu menampung kira-kira 47,500 mangsa banjir disediakan di
 sekolah, balai raya dan masjid.

 Menurutnya peringatan juga dikeluarkan kepada para nelayan
 supaya mereka berhati-hati dan sentiasa mendengar
 perkembangan keadaan laut melalui televisyen dan radio dari
 semasa ke semasa.

 Nelayan juga diminta supaya memaklumkan kaum keluarga berapa
 lama mereka akan keluar serta destinasi penangkapan supaya
 senang dikesan jika tidak pulang dalam tempoh masa ditetapkan,
 katanya.

 Zainal Abidin berkata orang ramai yang menggunakan kenderaan
 juga perlu sentiasa mengambil perhatian terutamanya ketika
 melalui kawasan bahaya.

 Ini kerana pada musim banjir tahun lepas, empat orang dalam
 sebuah kereta terkorban apabila kenderaan yang mereka naiki
 dihanyutkan air di Setiu.

TDI