RAMAI ANAK TERENGGANU HENDAK PULANG
 
 KUALA TERENGGANU, 27 Dis  -- Ramai pemain bola
 sepak kelahiran Terengganu yang menabur bakti di negeri lain
 menyatakan minat untuk pulang dan beraksi di negeri sendiri bagi
 menghadapi Liga Perdana tahun depan.

 Setiausaha Persatuan Bola sepak Negeri Terengganu (PBSNT)
 Abdullah Salleh berkata antara mereka yang meluahkan hasrat
 untuk pulang ialah beberapa pemain yang kini beraksi untuk
 Pahang dan Johor.

 "Mereka (pemain berkenaan) menggunakan orang tengah untuk
 menyampaikan hasrat itu kepada saya," katanya kepada pemberita
 selepas majlis penyampaian hadiah akademi bola sepak terbaik
 1999 di sini semalam.

 Akademi Bola sepak FAM/Adidas Negeri Terengganu dipilih sebagai
 akademi terbaik 1999.

 "Identiti pemain-pemain itu tidak perlu dihebahkan tetapi memadai
 kalau saya kata...mereka merupakan pemain utama di negeri
 berkenaan," katanya.

 Abdullah berkata PBSNT berminat untuk menggunakan khidmat
 anak kelahiran Terengganu dalam memperkuatkan pasukan Liga
 Perdana musim depan terutamanya untuk posisi penjaga gol,
 pertahanan dan penyerang.

 Beliau berkata Terengganu akan tunggu dan lihat perkembangan
 pemain-pemain itu sama ada khidmat mereka masih diperlukan oleh
 negeri berkenaan atau sebaliknya.

 Beliau juga berkata PBSNT akan menurunkan pemain-pemain
 pelapis dalam kejohanan Liga Perdana tahun depan.

 Antara pemain yang bakal diketengahkan ialah Mohd Syamsi
 Mustapha, Tengku Alias Ibrahim dan Zairol Anuar Zailani yang
 menyertai pasukan remaja kebangsaan ke Dubai baru-baru ini,
 katanya.