HOSPITAL TERENGGANU BUKA BILIK DERMA DARAH
 WAKTU MALAM
 
 KUALA TERENGANU, 23 Dis  -- Tabung Darah Hospital
 Kuala Terengganu (HKT), yang kini kekurangan darah, membuka
 bilik derma darah pada waktu malam bagi membolehkan umat Islam
 menderma darah sepanjang Ramadan ini.

 Pengarah HKT Dr.N.K.S Sathia Seelan berkata bilik itu dibuka
 setiap malam mulai pukul 9 hingga 11 malam sepanjang bulan
 puasa.

 "Di sebelah siang sekarang, tidak ramai orang datang menderma
 terutamanya orang Islam kerana mungkin mereka berpuasa,"
 katanya ketika dihubungi, hari ini.

 Sathia berkata setiap hari, HKT menggunakan antara 25 dan 30
 unit darah untuk kes-kes kecemasan, kemalangan atau
 pembedahan.

 "Tabung darah sekarang mempunyai simpanan 204 unit," katanya.

 Beliau berkata HKT bimbang jumlah itu akan berkurangan jika
 bekalan darah tidak bertambah.

 Menurutnya HKT mengambil beberapa langkah termasuk
 menggerakkan unit tabung darah bergerak untuk mendapatkan
 sumbangan darah daripada badan-badan sukarela (NGO) pada
 bulan puasa ini.

 Beliau berkata sepanjang bulan puasa ini, tabung darah menerima
 243 unit darah berbanding 315 unit pada bulan puasa tahun lepas.
 

 Sathia berkata dalam tempoh Januari hingga November tahun ini,
 seramai 5,669 orang telah menderma darah berbanding 5,904
 orang pada tempoh yang sama tahun lepas.

 HKT mungkin akan mendapat sumbangan darah daripada hospital
 negeri-negeri lain jika bekalan darah di negeri ini tidak mencukupi,
 katanya. --