ROYALTI : KAMI BERSAMA TOK GURU

Tangguh debat: Hishammuddin dianggap 'bacul'

KUALA LUMPUR,  - Ketua Pemuda PAS, Mahfuz Omar menganggap keputusan Hishammuddin Hussein untuk menangguhkan perdebatan sebagai 'bacul' dan tidak bertanggungjawab.

Menurut Mahfuz, Ketua Pemuda Umno itu sengaja berdolak dalik dengan keputusan tersebut.

Malah, katanya, helah yang dibuat oleh Hishammuddin tidak munasabah.

Dalam laporan akhbar hari ini, Hishammuddin dipetik sebagai berkata, debat terpaksa ditangguhkan kerana Pemuda Umno sedang mendesak Suqiu menggugurkan tuntutannya ke atas hak keistimewaan orang Melayu.

Mahfuz mengingatkan Pemuda Umno bahawa perdebatan yang akan diadakan itu adalah untuk merungkai masalah hak istimewa orang Melayu secara jelas.

Katanya, Pemuda PAS sudah bersiap sedia memberitahu rakyat bahawa hak istimewa orang Melayu perlu diperjelaskan sepertimana yang tertera dalam perlembagaan 153.

"Bagi saya debat perlu diadakan segera, tidak perlu ditangguh, apakah Pemuda Umno takut pekong mereka didedah dalam debat tersebut," ujarnya kepada Harakah.

Katanya lagi, Umno yang menjadi tulang belakang orang Melayu sepatutnya menjelaskan apa itu akta hak orang Melayu.

"Orang Melayu masih keliru dengan isu hak keistimewaan mereka," katanya Menurut Mahfuz topik debat akan membicarakan kedudukan dan penyatuan orang Melayu.

"Di sini juga kita akan nampak siapa yang menyatu Melayu dan siapa pula yang menjadi pengkhianat Melayu," tegasnya.

Jadi, katanya, tidak perlulah dikaitkan dengan isu kononnya orang Cina memainkankan isu perkauman.

Sementara itu Mahfuz juga menjelaskan bahawa beliau akan menghubungi Prof Diraja Ungku Aziz (yang dilantik menjadi pengerusi debat itu) supaya meneruskannya.

Menurut Mahfuz, sebelum ini beliau dimaklumkan oleh Ungku Aziz tarikh debat akan diadakan antara 13 Januari hingga 24 Februari depan.
 

HARAKAHDAILY