Make your own free website on Tripod.com
GPMS KESAL TINDAKAN ATUR PROGRAM HIBURAN
 SAMBUT ALAF BARU
 
 KUALA TERENGGANU, 29 Nov  -- Gabungan Pelajar
 Melayu Semenanjung (GPMS) hari ini melahirkan rasa kesal
 terhadap pihak-pihak tertentu yang rancak mengatur pelbagai
 program bercorak hiburan sempena menyambut ketibaan tahun
 2000.

 Setiausaha Agung GPMS Syed Anuar Syed Mohamad berkata cara
 sambutan alaf baru seumpama itu adalah bertentangan dengan
 nilai-nilai agama dan budaya timur serta tidak diredhai Allah.

 Katanya, oleh itu GPMS meminta Menteri di Jabatan Perdana
 Menteri Datuk Paduka Abdul Hamid Othman mengarahkan semua
 masjid mengadakan khutbah khas Jumaat ini bagi mengingatkan
 semua golongan terutama remaja mengenai perkara itu.

 "GPMS kesal dengan program-program bercorak hiburan yang
 dirancang itu terutama di hotel-hotel terkemuka, kelab-kelab
 ekslusif dan kelab-kelab malam sehingga menyebabkan ada yang
 sanggup beratur seawal jam 3 pagi semata-mata untuk
 mendapatkan tiket bagi menyambut alaf baru," katanya dalam satu
 kenyataan di sini hari ini.

 Syed Anuar berkata GPMS juga meminta semua pihak terutama ibu
 bapa supaya menasihati dan memastikan anak-anak mereka tidak
 terlibat dengan aktiviti seumpama itu.

 "Umat Islam kini berada dalam bulan Ramadan dan diseru
 berlumba-lumba mencari Malam Lailatul Qadar di sepuluh hari
 terakhir Ramadan, bukannya mencari hiburan," katanya.