Tribunal Ketua Hakim Negara

Isu Ketua Hakim Negara, Tun Eusoff Chin semakin gawat sekarang. Semakin Eusoff Chin menafi, semakin banyak bukti
tersiar di internet. Internet tentunya bukan selalu betul. Tetapi tak juga ia selalunya salah. Sekarang bukan sekadar gambar
antara Eusoff Chin dan peguam V.K.Lingam disiarkan. Tetapi jadual lengkap penerbangan dan percutian mereka berdua
bersama-sama keluarga masing-masing terpapar di internet. Susah juga untuk tidak percaya!

Nombor penerebangan kapalterbang, apa nama syarikat penerbangan, pukul berapa berlepas, kelas apa mereka duduk
semuanya lengkap disiarkan. Kalau informasi internet itu betul, susah kita hendak percaya cakap Eusoff Chin sebelum ini
bahawa dia "bertembung" atau terserempak secara tak sengaja dengan Lingam di New Zealand, lalu merekapun bergambar!
Mungkinkah seorang Ketua Hakim Negara berbohong? Tetapi Eusoff Chin itu manusia juga. Dalam gambar yang tersiar di
internet itu jelaslah Eusoff Chin itu manusia, bukan malaikat.

Eusoff Chin bercuti di New Zealand itu pada tahun 1994 bersama isterinya Rosaini Mustaffa, anak perempuannya Zubaidah, 7
tahun dan anak lelakinya Johan, 6 tahun. Manakala Lingam dengan isterinya K. Gnanajothy, anak perempuan mereka,
Sivashahki,11 tahun dan Sivajothy, 10 tahun. Yang menimbulkan syak wasangka semakin kuat tentang ada semacam
"kong-ka-likong" dan tuduhan rasuah di sebalik percutian ini ialah turut sama dengan rombongan kedua famili itu ialah seorang
manusia bernama Tan Chong Paw. Siapa dia ini? Dia adalah  seorang bekas sarjan Polis dan dipercayai adalah pengawal
peribadi kepada ahli bisnes terkemuka bernama Tan Sri Vincent Tan.

Macam mana boleh bertembung tak sengaja antara Eusoff Chin dengan V.K.Lingam di New Zealand itu? Ini jadual
penerbangan dan percutian mereka. Pada 22 Disember 1994 kedua-dua keluarga itu naik kapalterbang yang sama dari
Singapura ke Auckland, New Zealand. Nombor penerbangan ialah NZ 28. Mereka sama-sama duduk dalam Business Class.
Katakan itu "bertembung" kali pertama antara Ketua Hakim Negara dengan peguam V.K.Lingam.

Empat hari kedua keluarga itu di Auckland. Pada 26 Disember kedua-dua keluarga itu berlepas dari Auckland ke
Christchurch. Kedua-dua rombongan keluarga itu naik kapalterbang yang sama. Nombor penerbangan NZ 1514. Mereka
duduk dalam Business Class juga. "Bertembung" lagi Ketua Hakim Negara dengan peguam V.K.Lingam. Katakanlah tak
sengaja secara kebetulan saja. Tetapi bolehkah kita percaya?

Empat hari kedua keluarga itu di Christchurch dan sekurang-kurang sehari mereka di Queenstown. Pada 29 Disember, Eusoff
dengan keluarganya dan Lingam dengan keluarganya, sama-sama berlepas dari Queenstown ke Christchurch semula. Naik
kapalterbang yang sama. Nombor penerbangannya ialah NM 2412. Kedua-dua keluarga itu sama-sama duduk dalam kelas
ekonomi. "Bertembung" lagi Eusoff Chin dengan Lingam. Kebetulan kali ketiga?

Pada 30hb Disember, dari Christchurch rombongan keluarga terpenting di bidang kehakiman di Malaysia ini bersama peguam
yang mengendalikan kes Vincent Tan, tokoh korporat yang kaya raya itu, sekali lagi naik kapalterbang yang sama. Mereka
berlepas ke Auckland semula. Nombor penrbangan NZ 504. Mulailah kita bertanya: "Masakan selalu sahaja bertembung tak
sengaja? Naik kapalterbang yang sama pula?". Tetapi Kali ini mereka duduk dalam kelas tak sama. Eusoff dan keluarganya
dalam Business Class manakala Lingam dan keluarganya dan kelas ekonomi.  Hakim mesti sedikit lebih tinggi dari peguam.
Tidakkah begitu?

Masih belum habis cerita Eusoff "bertembung tak sengaja" dengan Lingam. Mereka pulang ke Malaysia dari Auckland pada 30
Disember, melalui Singapura. "Bertembung lagi sekali". Kedua-dua naik kapalterbang yang sama. Nombor penerbangan NZ
73 (Auckland-Singapura). Duduk pun sama-sama dalam Business Class. Dari Singapura kedua-dua keluarga ini pulang ke
Kuala Lumpur pada 30hb Disember, juga dengan penerbangan MH 616 (Singapura-Kuala Lumpur). Kali ini sama-sama
duduk dalam kelas pertama. Maklumlah Ketua Hakim Negara dan Peguam kaya. Standard mesti jaga.

Boleh jadi betul, boleh jadi bohong maklumat di atas yang diambil dari internet. Jangan terus percaya.Tetapi satu perkara jelas
bahawa sumber maklumat itu meyakinkan. Kalau maklumat itu palsu, bermakna Eusoff Chin dan Lingam teranianya dan
terfitnah begitu sahaja.  Kita tentu tidak mahu terlibat dalam kerja fitnah. Tetapi dari mana laporan tentang jadual penerbangan
dan percutian Eusoff dan Lingam diperolehi?

Ia didapati dari laporan oleh Bowman, satu agensi penyiasatan persendirian yang berpejabat di United Kingdom. Tetapi orang
putih pun mungkin berbohong. Kena hati-hati dan waspada selalu. Jadi macam mana kita mahu pastikan betul atau tidak
laporan agensi Bowman itu dan segala gambar-gambar yang tersiar di dalam internet? Kita tidak suka memfitnah Eusoff Chin
dan peguam V.K. Lingam. Kasihan mereka jika mereka tidak bersalah. Memfitnah itu perbuatan salah, tidak adil dan tidak
baik.

Jadi untuk cari penyelesaian bagi menjernihkan kekeruhan dan mengembalikan keyakinan orang ramai terhadap kewibawaan
institusi kehakaiman, jawapannya ialah kerajaan kena siasat. Jadi tidak bertanggungjawablah Perdana Menteri, Dr Mahathir
Mohamad yang mengambil sikap mudah dalam isu ini. Balik dari Tokyo, Mahathir beritahu bahawa kerajaan tidak bercadang
untuk tubuhkan Tribunal bagi menyiasat kes Eusoff Chin.

Kita kena tegaskan. Negara kita Malaysia ini bukan milik Mahathir. Malaysia sebuah negara yang berjalan atas landas hukum.
Kita masih ada Perlembagaan. Seseorang hakim yang prilakunya mencurigakan boleh disiasat. Kalau bersalah, dia perlu
dibicarakan. Kalau perlu Tribunal ditubuhkan, kerajaan perlu tubuhkan. Eusoff Chin tidak mempunyai imuniti atau kekebalan
dari sebarang bentuk tindakan undang-undang? Hakikat ini Dr Mahathir kena faham.