TERENGGANU DARUL IMAN
MEMBANGUN MENURUT ISLAM
"BERSAMA MENGISI KEMENANGAN"
tinta_hijau@hotmail.com

 

        TERENGGANU TELUS DAN TULUS DIDALAM HISBAH
KUALA TERENGGANU, 8 Ogos (Hrkh) - Kerajaan negeri Terengganu memberi jaminan akan memastikan semua gerakkerjanya di negeri ini akan berjalan secara telus dan tulus melalui pemantauan yang akan dibuat oleh Jabatan Hisbah yang baru ditubuhkan.

Menteri Besar, Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, kuasa akan diberikan seluas-luasnya kepada Jabatan Hisbah untuk melaksanakan tugasnya dengan baik berdasarkan prinsip Islam.

"Kita akan tunjukkan kepada dunia, inilah pengurusan Islam,"kata beliau ketika memberikan ucap utama di Bengkel Perdana Hisbah Negeri Terengganu di Kompleks Seri Iman dekat sini Selasa, 8 Ogos lepas.

Menurut Abdul Hadi, kerajaan negeri akan memberikan komitmen sepenuhnya dalam melaksanakan penubuhan dan pelaksanaan jabatan Hisbah ini nanti.

"Kita akan pastikan segala peralatan, keperluan kakitangan akan diberikan belanja secukupnya oleh kerajaan,"kata beliau di majlis itu.

Menurutnya, Jabatan Hisbah akan di tempatkan di Tingkat 5, Bangunan Mahkamah Syariah Kuala Terengganu dan akan disambungkan terus dengan Terengganu.Net.

Bagi memastikan Hisbah juga mempunyai mandat tertinggi, Abdul Hadi berkata, Jabatan Hisbah akan terletak di bawah Dewan Undangan Negeri dengan perlantikan ketuanya iaitu Pesuruhjaya Hisbah juga dibuat oleh Dun.

Ketika memberikan ucapan itu juga, Abdul Hadi menegaskan, konsep Hisbah telah berjalan sejak zaman Nabi serta para khalifah Islam yang awal lagi.

Dalam konteks perundangan negara juga, kerajaan negeri mempunyai kuasa untuk menubuhkan jabatan ini, katanya.

"Saya harap semua pihak dapat menerima dengan baik jabatan ini dan kita memberi jaminan tidak akan menganiaya mana-mana pihak,"tegas beliau.

Bagi memastikan tugas jabatan ini berjalan lancar, semua kontrak yang akan dikeluarkan oleh kerajaan negeri kepada mana-mana pihak akan 'binding'dengan jaminan tidak ada unsur rasuah bagi menjamin intigritinya.

"Jika didapati ada rasuah hatta jika projek telah tamat, kontrak akan dibatalkan. Ini akan dikawalselia oleh Jabatan Hisbah,"kata Menteri Besar itu.

Dalam menjalankan tugasnya juga, Abdul Hadi memberi jaminan, ia akan dilakukan secara syura, silaturahim, tasamuh, mengasuh dan ketegasan akan dilakukan bila perlu mengikut tahap kesalahan.