KERAJAAN NEGERI  MINTA PUSAT TIDAK
               GANGGU PENTADBIRAN NEGERI
 
               KUALA TERENGGANU,  -- Kerajaan Pas Terengganu
               hari ini meminta kerajaan pusat supaya tidak mengganggu urusan
               pentadbiran negeri itu dengan terus mengiktiraf Jawatankuasa
               Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang telah dibubarkan
               dan diganti dengan Jawatankuasa Syura Rakyat (JSR).

               Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Alam
               Sekitar negeri, Wan Abdul Mutalib Embong berkata Barisan
               Nasional (BN) perlu memahami kehendak rakyat negeri itu apabila
               mereka (rakyat) memilih Pas untuk mentadbir Terengganu.

               "Mereka (BN) perlu faham, ini keputusan rakyat untuk mentadbir
               (Terengganu) dan mereka tidak boleh mengganggu lagi (urusan
               kerajaan negeri).

               "Ini haloba dan tamak, dan (BN) tidak mahu iktiraf sistem
               demokrasi seperti di Kelantan. Ia cuba campur tangan dan
               meruntuhkan demokrasi itu sendiri," katanya ketika diminta
               mengulas kenyataan Setiausaha Badan Perhubungan Umno
               Terengganu Datuk Ismail Said yang menyatakan Umno tetap
               mengiktiraf JKKK dan perlu mengekalkan kewujudannya di peringkat
               kampung di negeri ini.

               Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri
               majlis perasmian pembukaan penggal persidangan kedua Dewan
               Undangan Negeri ke-10 yang disempurnakan Sultan Terengganu,
               Sultan Mizan Zainal Abidin dibangunan Dewan Undangan Negeri, di
               sini.

               Wan Mutalib yang juga Timbalan Persuruhjaya Pas Terengganu
               berkata penubuhan JSR menggantikan JKKK adalah mengikut
               perlembagaan negeri dan soal tidak mendapat pengiktirafan
               kerajaan pusat tidak timbul sama sekali.

               "(JSR) tidak mendapat pengiktirafan kerajaan pusat tidak
               berbangkit kerana JSR di bawah peruntukan dan bayaran dari
               negeri, tidak ada establishment...

               "Itu hal dia (BN) nak lantik JKKK, dia (BN) tidak boleh ganggu
               pentadbiran kita kerana negara mempunyai perlembagaan sendiri
               dan mempunyai hak pentadbiran negeri masing-masing," katanya.

               Beliau berkata JSR adalah untuk membantu dalam memudahkan
               kerja-kerja pegawai daerah dan badan ini akan membuat bancian
               terperinci sebelum mengemukakan laporan kepada pentadbiran
               kerajaan negeri.

               "Ketelusan melalui JSR kerana ia akan dibahaskan, mesyuarat
               dibuat secara umum dan boleh kritik apa yang dilakukan JSR.

               "Jika Umno memerintah, kita (Pas) tidak puas hati, juga tidak boleh
               tubuhkan kerajaan...(sekarang) mereka tidak berhak dan kita tidak
               akan membenarkan mereka mengganggu sistem pentadbiran
               kita...ini hak negeri dan rakyat memberikan kuasa mentadbir,"
               katanya.