MAHATHIR UMUM SENARAI KABINET

 KUALA LUMPUR, 10 Dis  -- Perdana Menteri Datuk Seri
 Dr Mahathir Mohamad melantik sembilan menteri baru, menukar
 portfolio beberapa menteri dan menggugurkan tiga menteri apabila
 mengumumkan kabinet barunya hari ini.

 Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kekal sebagai Timbalan Perdana
 Menteri dan Menteri Dalam Negeri manakala Tun Daim Zainuddin
 masih memegang portfolio Kewangan.

 Dr Mahathir membuat kejutan dengan mengumumkan pelantikan
 Datuk Musa Mohamed sebagai Menteri Pendidikan. Musa akan
 dilantik sebagai senator.

 Menteri baru yang lain ialah Tan Sri Bernard Dompok, Datuk Dr Rais
 Yatim, Datuk Dr Fong Chan Onn, Datuk Ong Ka Ting, Datuk Nazri
 Abdul Aziz, Datuk Hishammuddin Tun Hussein, Datuk Effendi
 Norwawi dan Datuk Azmi Khalid.

 Datuk Seri Najib Tun Razak kembali ke Kementerian Pertahanan
 dari Kementerian Pendidikan manakala Tan Sri Muhyiddin Yassin
 berpindah ke Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal
 Ehwal Pengguna dari Kementerian Belia dan Sukan.

 Tiga menteri yang digugurkan ialah Datuk Amar Dr Sulaiman Daud
 (Pertanian), Datuk Dr Ting Chew Peh (Perumahan Dan Kerajaan
 Tempatan) dan Datin Paduka Zaleha Ismail (Perpaduan Negara Dan
 Pembangunan Masyarakat).

 Dr Mahathir bagaimanapun mengekalkan dua lagi menteri wanita --
 Datuk Seri Rafidah Aziz di Kementerian Perdagangan Antarabangsa
 Dan Industri dan Datuk Dr Siti Zaharah Sulaiman yang berpindah
 ke Perpaduan Negara Dan Pembangunan Masyarakat dari Jabatan
 Perdana Menteri.

 Menteri kanan lain yang terdiri daripada pemimpin parti komponen
 Barisan Nasional dikekalkan pada portfolio masing-masing.

 Presiden MCA Datuk Seri Dr Ling Liong Sik kekal sebagai Menteri
 Pengangkutan, Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu sebagai
 Menteri Kerja Raya dan Presiden Gerakan Datuk Seri Dr Lim Keng
 Yaik, Menteri Perusahaan Utama.

 Datuk Seri Syed Hamid Albar kekal sebagai Menteri Luar.

 Dengan pelantikan Dompok, Sabah, sebagaimana juga Sarawak,
 kini mempunyai tiga wakil dalam Kabinet. Yang lain ialah Tan Sri
 Kasitah Gaddam (Tanah Dan Pembangunan Koperasi) dan Datuk
 Pandikar Amin Mulia (Jabatan Perdana Menteri).

 Menteri dari Sarawak ialah Datuk Amar Leo Moggie (Tenaga,
 Komunikasi Dan Multimedia), Datuk Law Hieng Ding (Sains,
 Teknologi Dan Alam Sekitar) dan Effendi.

 Dengan pelantikan Azmi bermakna Perlis sekarang mempunyai
 seorang menteri Kabinet buat kali pertama.

 Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan Tengku Razaleigh
 Hamzah, yang diramalkan akan dilantik sebagai menteri, tiada
 dalam senarai pelantikan yang diumumkan itu.

 Terengganu juga tidak mempunyai wakil dalam Kabinet itu
 memandangkan Barisan Nasional tewas bagi semua lapan kerusi
 Parlimen yang ditandinginya di negeri itu pada pilihan raya umum
 bulan lepas.

 Lima daripada sembilan menteri baru itu merupakan mereka yang
 dinaikkan pangkat daripada timbalan menteri. Mereka ialah
 Hishammuddin, Azmi, Nazri, Fong dan Ong.

 Datuk Paduka Dr Abdul Hamid Othman, yang tewas bagi kerusi
 parlimen Sik pada pilihan raya lepas, dilantik semula ke portfolio
 sebagai menteri di Jabatan Perdana Menteri. Beliau akan dilantik
 menjadi senator.

 Ramai di antara mereka yang dilantik sebagai timbalan menteri
 adalah muka baru. Mereka termasuk Tengku Azlan Sultan Abu
 Bakar, Khaled Nordin, Datuk Anifah Aman, Datuk Zainal Dahlan,
 Datuk Tan Kee Kwong, Dr Ng Yen Yen dan Tiki anak Lafe.

 Bekas Menteri Besar Perak Tan Sri Ramli Ngah Talib dilantik sebagai
 Timbalan Menteri Pengangkutan manakala bekas Ketua Menteri
 Melaka Datuk Abu Zahar Isnin sebagai Setiausaha Parlimen di
 Kementerian Dalam Negeri.

 Bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang Datuk Shariff Omar
 mengambil alih jawatan Timbalan Menteri Pertanian.

 Kementerian Pendidikan akan menyaksikan pasukan baru
 keseluruhannya dengan pelantikan Senator Datuk Aziz Shamsuddin
 sebagai Timbalan Manteri dan Datuk Dr Mahadzir Mohamad Khir
 sebagai Setiausaha Parlimen, untuk membantu Musa.

 Datuk Ong Tee Keat, yang dahulunya menjadi Timbalan Speaker
 Dewan Rakyat, dilantik sebagai Timbalan Menteri Belia Dan Sukan.

 Datuk G. Palanivel, dahulunya Setiausaha Parlimen Kementerian
 Perpaduan Negara Dan Pembangunan Masyarakat, mengambil alih
 jawatan Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar manakala
 Datuk Shahrizat Abdul Jalil, yang dahulunya Setiausaha Parlimen
 Kementerian Belia Dan Sukan dinaikkan pangkat sebagai Timbalan
 Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

 Turut dinaikkan pangkat ialah Datuk Dr Shafie Salleh, daripada
 Setiausaha Parlimen ke Timbalan Menteri di Kementerian
 Kewangan.

 Datuk Chor Chee Heung pula dinaikkan pangkat daripada
 Setiausaha Parlimen di Kementerian Pangangkutan menjadi
 Timbalan Menteri Dalam Negeri.

 Seorang lagi Timbalan Menteri Dalam Negeri ialah Datuk Zainal
 Abidin Zin yang baru dipilih menjadi anggota Parlimen.