TERENGGANU DARUL IMAN
MEMBANGUN MENURUT ISLAM
"BERSAMA MENGISI KEMENANGAN"

SEBANYAK 400 DIJANGKA SERTAI KENYIR REGATTA 2000 31 OGOS INI
 
 
KUALA TERENGGANU, 30 Julai (Bernama) -- Sebanyak 400 orang, termasuk dari beberapa negara Asia Tenggara dijangka menyertai Kenyir Regatta 2000 yang akan berlangsung selama empat hari bermula 31 Ogos ini di Pengkalan Gawi, Tasik Kenyir, Hulu Terengganu.

Pengarah Pembangunan Tasik Kenyir dan Pelancongan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Hamzah Ngah berkata pertandingan tersebut akan dibahagikan kepada dua kategori iaitu Perlumbaan Kayak dan Pertandingan Kenu Polo peringkat kebangsaan dan negeri.

Beliau berkata program tersebut bertujuan mempromosikan Tasik Kenyir sebagai destinasi pelancongan sukan yang popular di negara ini, di samping mencungkil bakat-bakat baru dalam sukan kayak.

"Malah Kenyir Regatta 2000 merupakan sirkit kedua bagi pemilihan peserta Malaysia pada Cabaran Kenu Asia Tenggara yang akan diadakan di Vietnam pada Oktober depan," katanya di sini hari ini.

Aktiviti tersebut yang merupakan acara tahunan Ketengah diadakan dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan Terengganu dan Persatuan Kanu Malaysia Terengganu).

Hamzah berkata bagi acara perlumbaan Kayak Peringkat Kebangsaan yuran penyertaan ialah RM10 seorang dan bagi setiap pasukan akan dikenakan bayaran tambahan sebanyak RM30 sebagai sewa tapak perkhemahan.

Bagi acara perlumbaan kayak peringkat negeri dan antara agensi pula katanya, yuran pendaftaran sebanyak RM5 akan dikenakan bagi setiap satu penyertaan, sementara yuran pertandingan kenu polo ialah RM100.

"Penyertaan untuk pertandingan tersebut terbuka kepada semua persatuan dan kelab kayak di seluruh negara dan peserta jemputan daripada Singapura, Indonesia, Vietnam, Myamar dan Thailand," katanya.

Hadiah yang disediakan ialah RM2,000 berserta piala, RM1,500 dan piala (Naib Johan), RM1,000 (Ketiga) dan RM400 (Keempat).

Mereka yang berminat menyertai pertandingan tersebut boleh mendapatkan maklumat lanjut daripada Urusetia Kenyir Regatta 2000, Bahagian Pembangunan Tasik Kenyir dan Pelancongan Ketengah, Bandar Al Muktafi Billah Shah, 23400 Dungun, Terengganu atau telefon 09-8221101 atau faks 09-8221345. -- BERNAMA