Make your own free website on Tripod.com
JABATAN PERIKANAN KAJI KERANG YANG
 MUNCUL DI PANTAI TERENGGANU
 
 KUALA TERENGGANU, 29 Dis -- Jabatan
 Perikanan akan membuat kajian terperinci terhadap
 kerang-kerang yang muncul di pantai Terengganu
 pada setiap kali musim tengkujuh di negeri itu.

 Pengarah Perikanan Negeri Abdul Rahman Mohamad
 berkata kajian itu bertujuan mengenali spesis,
 kenapa binatang itu muncul di pantai Terenggsanu
 dan kemungkinan boleh diusahakan secara komersial.
 

 "Mudah-mudahan kerang itu akan memberi manfaat
 dan menjadi sumber rezeki khususnya kepada
 nelayan-nelayan di Terengganu," katanya kepada
 Bernama hari ini.

 Abdul Rahman berkata kerang-kerang yang muncul di
 pantai Terengganu itu kemungkinan berasal dari
 lagun-lagun di pantai barat dan dibawa arus apabila
 berlaku tiupan angin timur laut.

 Menurut beliau kerang-kerang di pantai barat
 (anadara granusa) itu lebih suka hidup dalam lumpur
 dan mungkin tidak begitu sesuai diternak di negeri
 ini yang bertanah pasir.

 Beliau bagaimanapun berkata, hasil kajian itu nanti
 mungkin sepesis kerang itu boleh diternak dan hidup
 dalam kawasan tidak banyak berselut di negeri ini.

 Abdul Rahman berkata kerang-kerang itu didapati
 banyak, naik di pantai Teluk Lipat, Dungun minggu
 lepas manakala pada tahun lepas pula di pantai
 Merang, Setiu.

 Beliau berkata kemunculan kerang yang begitu
 banyak di pantai Teluk Lipat itu menjadi satu rahmat
 dan rezeki kepada penduduk-penduduk di kawasan
 berkenaan.

 Menurut beliau perternak kerang di Terengganu
 sekarang tidak begitu meluas dan cuma dilakukan
 oleh beberapa orang nelayan di sungai Mercang,
 Marang dan lagun-lagun di Setiu.

 Beliau berkata kebanyakan kerang yang datang ke
 Terengganu dibawa daripada pantai barat.