KHARAJ:PENJELASAN AKAN DIBERI KEPADA BULAN ISLAM

        KUALA TERENGGANU, Rabu - Kerajaan Pas Terengganu menjelaskan, kharaj dicadangkan
        diperkenalkan di negeri ini walaupun Kelantan, yang sudah lama diperintah Pas belum berbuat demikian
        kerana kegiatan ekonomi dua negeri itu berbeza.

        Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Dakwah dan Pelaksanaan Syariah, Harun Taib berkata kegiatan
        ekonomi di Kelantan berbeza dengan keadaan di Terengganu.

        "Di sini kerajaan mempunyai keupayaan untuk menghapuskan cukai kerana sumber ekonomi negeri terutama
        daripada kegiatan berlandaskan petroleum dan gas memberi keuntungan kepada kerajaan dan ia akan
        diagihkan kepada rakyat melalui penghapusan cukai itu," katanya.

        Beliau memberitahu pemberita demikian selepas majlis Ihya Ramadan di Kolej Agama Sultan Zainal Abidin
        di sini malam tadi. Harun ditanya sama ada sistem itu akan dilaksanakan di Kelantan, yang juga di bawah
        kerajaan Pas.

        Di KOTA BHARU, Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, berkata kerajaan Pas Kelantan hanya
        akan membuat keputusan sama ada memperkenalkan kharaj atau sebaliknya, selepas mendapatkan
        pandangan di seminar mengenai cukai itu yang dianjurkan oleh kerajaan Pas Terengganu.

        Menurutnya, beliau sendiri akan menghadiri seminar itu dan semua soal jawab serta kritikan akan
        dipertimbangkan, sebelum melaksanakan cukai kepada bukan Islam di Kelantan.

        Beliau membidas media di negara ini yang didakwanya terkenal dengan sifat berat sebelah, menyebabkan
        cadangan Terengganu itu menjadi satu isu hangat dikritik, khususnya di kalangan masyarakat bukan Islam.

        Sementara itu, Harun berkata kerajaan Pas Terengganu akan mengadakan perbincangan dengan Kerajaan
        Pusat sebelum melaksanakan cadangannya untuk mengenakan kharaj terhadap bukan Islam di negeri ini.

        Katanya, perbincangan itu perlu supaya tidak ada pertindihan antara kharaj dengan cukai pendapatan yang
        dikenakan Kerajaan Pusat.

        Menurutnya, kerajaan negeri akan membuat enakmen mengenai perkara itu dan dibawa kepada Kerajaan
        Pusat supaya kharaj dikecualikan daripada cukai pendapatan seperti dilaksanakan bagi bayaran zakat oleh
        umat Islam.

        "Masalah sekarang ialah masyarakat belum memahami konsep kharaj yang masih di peringkat perancangan
        dan kajian oleh kerajaan negeri," katanya.

        Beliau menjelaskan, kharaj terbahagi kepada dua iaitu Kharaj Wazifah, berupa pungutan mengikut kesuburan
        dan kesesuaian tanah walaupun tanpa hasilnya, dan Kharaj Muqasamah, pungutan terhadap setiap kegiatan
        ekonomi yang sudah mengeluarkan hasil.

        "Kesemua pungutan itu akan digunakan untuk kebajikan orang bukan Islam juga, sebagaimana pungutan
        zakat digunakan bagi manfaat masyarakat Islam sendiri," katanya.

        Harun berkata, apabila sudah ada kerjasama dengan Kerajaan Pusat, bukan Islam mempunyai pilihan sama
        ada ingin membayar cukai pendapatan seperti sekarang atau membayar kharaj yang dikenakan antara lima
        hingga 10 peratus daripada hasil kegiatan ekonomi mereka.

        Katanya, apabila cadangan kharaj itu diluluskan sebagai enakmen, satu badan yang menguruskannya akan
        dibentuk untuk memastikan urusan pungutan dan pentadbirannya berjalan lancar.

        Mengenai kenyataan DAP untuk menyaman kerajaan Pas Terengganu jika melaksanakan kharaj, Harun
        berkata beliau tidak terkejut jika DAP, MCA dan organisasi bukan Islam melenting kerana mereka belum
        mendapat penerangan sebenar mengenai bentuk cukai terbabit.

        Sehubungan itu, katanya, DAP dan masyarakat bukan Islam akan diberi penerangan mengenai sistem itu.

        "Islam sudah ada peruntukan untuk masyarakat bukan Islam dalam pelbagai bidang. Apabila tiba masanya
        untuk kita laksanakan kharaj ini, kita akan beri penerangan kepada semua masyarakat terutama bukan Islam.

        "Ini baru perancangan dan kajian mengenainya masih lagi dijalankan. Tunggulah apabila ia akan dilaksanakan
        baru kita beri penerangan," katanya.