AKHIRNYA LPT AKAN DIBINA

        MTD Capital Bhd akan memulakan kerja awal pembinaan Lebuhraya Pantai Timur (LPT) sepanjang 338
        kilometer selepas perayaan Tahun Baru Cina, kata Pengarah Urusannya, Datuk Azmil Khalid.

        MTD terbabit membina lebuh raya itu bermula dari Karak ke Lancang pada fasa pertama dan dari Lancang
        ke Temerloh, Pahang, untuk fasa kedua.

        "Segala jentera sudah ditempatkan di tapak pembinaan dan kami cuma menunggu arahan rasmi daripada
        kerajaan.

        "Kontrak rasmi dijangka ditandatangani selepas Tahun Baru Cina," katanya.

        Beliau berkata demikian selepas majlis menandatangani perjanjian pengambilalihan antara MTD Capital
        dengan ESPstar INTL Sdn Bhd di Kuala Lumpur, semalam.

        Pada majlis itu Azmil menandatangani perjanjian bagi pihak MTD Capital manakala ESPstar oleh
        pengarahnya, Rahmat Ramli dan disaksikan Ketua Pengarah Jabatan Bekalan Elektrik dan Gas, Datuk
        Mohd Annas Mohd Nor.

        Menerusi perjanjian itu MTD Capital mengambil alih 60 peratus kepentingan dalam ESPstar, pada harga
        RM6 juta. Syarikat berstatus MSC itu terbabit dalam penyediaan perisian bagi pengawalan tahap
        penggunaan tenaga.

        Azmil berkata, persetujuan yang diberikan oleh kerajaan Terengganu termasuk membenarkan kutipan tol
        dijalankan turut membolehkan kerja pembinaan dimulakan, setelah dikatakan akan dibatalkan selepas
        Kerajaan Pas mengambil alih pentadbiran negeri itu selepas pilihan raya umum lalu.

        Pembinaan LPT sepatutnya dimulakan awal 1998 tetapi ditangguhkan kerana kesulitan ekonomi dan
        beberapa masalah dalaman yang timbul.

        Bagaimanapun, kerajaan pada Disember lalu memutuskan untuk memulakan semula projek berkenaan
        walaupun kontrak pembinaan yang diberikan kepada Malaysian Mining Corporation Bhd sebelum ini
        ditamatkan September lalu.

        Menteri Kerja Raya Datuk Seri S Sammy Vellu, sebelum ini berkata projek itu diteruskan berikutan
        Kerajaan Pas Terengganu membenarkan kutipan tol untuk lebuh raya berkenaan.

        "Komitmen kami kepada projek berkenaan adalah untuk tiga tahun setengah," kata Azmil.

        Cadangan asal lebuh raya dua lorong dengan anggaran kos RM3 bilion itu akan merentasi Karak, Mentakab,
        Temerloh, Maran dan Kuantan di Pahang.

        Ia kemudian merentasi Kuantan ke Cendering, Kuala Terengganu melalui Jabor.