ROYALTI : KAMI BERSAMA TOK GURU






Yang Berhormat Mahfuz Omar 
(MGG: The Importance of Being Mahfuz Omar) 
 

Beberapa ribu penyokong barisan pembangkang dan 500 anggota polis berada di hadapan Penjara Kajang untuk menyambut "kepulangan" tiga orang ahli PAS, termasuklah Ketua Pergerakan Pemuda dan MP Pokok Sena, Haji Mahfuz Omar. Berlakulah satu cubaan menunjukkan kuasa di antara pihak pembangkang dengan kerajaan. Pihak penjara melepaskan mereka pada 0200 pagi semalam (9 Disember, 2000), enam jam lebih awal daripada biasa dan telah membawa mereka bersiar-siar tanpa sebab. Dua di antara mereka dibawa ke Lembah Pantai di Kuala Lumpur dan Mahfuz pula dibawa entah ke mana ke arah utara, mungkin mahu dibawa ke Kedah. YB Mahfuz meloncat keluar kereta pacuan empat roda di stesen tol Rawang. Beliau telah menelefon setiausaha politiknya dan mereka pun berpatah semula ke Kajang untuk menemui kumpulan manusia yang sudah menanti mereka. 

Oleh kerana Mahfuz telah dibebaskan, pegawai penjara dalam van yang membawanya itu tidak mampu melakukan sesuatu. Di waktu yang sama pemimpin parti pembangkang dan ramai lagi telah mencuba menziarahi Mahfuz sebaik sahaja mereka tiba di penjara itu. Mereka diberitahu bahawa Mahfuz sudah dibebaskan dan tidak lagi ada di situ. Mahfuz muncul satu jam kemudiannya disambut dengan penuh emosi dan bingit. Mereka pun beredar untuk melakukan sembahyang kesyukuran di masjid. Malam tadi, dia muncul di khalayak ramai lagi. Dia menceritakan pengalamannya selama satu bulan di penjara kerana enggan membayar denda setelah dihukum kerana berpiket membantah ketibaan pasukan kriket Israel di Kuala Lumpur pada April 1997. 

Polis mengumumkan bahawa himpunan manusia di Kajang itu adalah salah di segi undang-undang, tetapi mereka tidak bertindak menyekatnya. Kalau bertindak, rakyat pun akan bertindak juga terhadap kerajaan. Terpaksalah diarahkan satu batalion anggota polis dengan nisbah seorang polis bersamaan dengan enam rakyat marhaen dan sebuah helikopter yang berlegar di angkasa dijadikan lambang kuasa polis menghadapi rakyat yang berkumpul secara aman. Mereka berlagak lebih-lebihan, dan gagal segagalnya. Macam mana pun kita nilai perkara ini, kesediaan Mahfuz memilih hukuman penjara bererti rakyat sudah merobah hukum politik negara. Akan lebih ramai lagi rakyat marhaen yang memilih dipenjarakan kerana kesalahan terhadap kepercayaan politik mereka sebagai satu lambang penentangan yang pasif. Inilah yang dilakukan oleh Mahatma Ghandi dalam peristiwa "satyagraha" di mana dia berjaya memalukan kerajaan Empayar British sehingga melutut akhirnya. Kerajaan sudah menjadi kaku dan kematu, ketandusan cara menyelesaikan keadaan itu. Cuma mampu mengerahkan anggota polis mengawal di situ. Inilah tanda kerajaan sudah kehilangan daya pengawalan. 

Inilah kesan libasan ekoran dariapda pertembungan untuk menguasai pengaruh orang Melayu, selepas Mahathir memecat timbalan perdana menteri Dato' Seri Anwar Ibrahim, dulu. Beliau telah ditahan, didera dan dibaham matanya sehingga hampir hilang upaya oleh seorang ketua polis negara. Kemudian, beliau dipenjara kerana tuduhan korupsi dan perbuatan sumbang yang sengaja diada-adakan dengan segala bukti palsu oleh pihak pendakwa. Inilah yang mencetuskan kemarahan orang Melayu. Sejak itu, setiap kali berlaku konfrontasi antara kerajaan dengan rakyat marhaen, pihak kerajaan terpaksa terus bertahan. 
 

Kejadian di Penjara Kajang semalam adalah satu peristiwa yang tidak menghairankan. Kerjaan tidak faham bagaimana menangani hati rakyat. Ketika pilihanraya kecil Lunas berjalan, kemampuan pihak pembangkang berdepan dengan kerajaan secara padu dan bersatu adalah amat berbeza dengan cara yang dipraktikkan oleh Barisan Nasional di situ. Setelah dilakukan bedah-siasat barulah mereka mengaku tersilap meletakkan calon yang salah. Barulah mereka mengaku bahawa teknik berkempen penuh dengan keangkuhan, tanpa memahami perasaan masyarakat tempatan dan apabila berdepan dengan tekanan, mudah menggelabah sehingga berpecah. 
 
 
 

Dua manusia yang tegas sikapnya memegang kunci penting dalam hal ini. Mereka adalah perdana menteri dan musuh ketatnya. Kegemilangan PAS tidak berkilau sedemikian yang dilihat dan kemalapan UMNO tidak sebegitu kelam seperti yang berlaku kalau tidak kerana kemarahan rakyat terhadap cara Anwar Ibrahim didera sekarang ini. Perasaan ini menular begitu luas sekali sehinggakan kerajaan sudah semakin nazak. Angkatan Tentera Malaysia sudah berpecah. Pasukan polis menyerlahkan perpecahan itu dengan cara membuli rakyat. Kehakiman negara sudah tidak boleh dipercayai lagi, dan ini terserlah apabila Anwar dipenjarakan hasil dua kes yang dihadapkan di mahkamah. 
 
 

Kini, Mahfuz Omar memulakan satu barisan serangan baru pula. Ia mengenakan tekanan kepada kerajaan dengan kuasa penentangan yang pasif. Inilah corak tentangan yang sepatutnya dipelopori oleh Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng, dulu-dulu lagi. Bukan membuat rayuan tetapi terus menerima hukuman untuk dipenjarakan. Selama ini mahkamah memandang rendah terhadap rakyat marhaen dan mengenakan hukuman kejam dengan anggapan ianya satu cara yang selamat, kerana yang dihukum selalunya membuat rayuan juga. 
 
 

Mahfuz Omar telah menyanggah anggapan mahkamah itu sehinggakan mahkamah perlu lebih berhati-hati. Lagipun, seorang hakim yang menjatuhkan hukuman yang tidak selari dengan nafsu seorang pemimpin negara akan menghadapi karier yang tidak menyenangkannya. Hakim Arifin Jaka yang telah menjatuhkan hukuman ke atas Dato' Sri Anwar masih belum lagi menyudahkan kertas pengadilannya secara bertulis. Tanpa lapuran itu Dato' Seri Anwar tidak boleh mengemukakan rayuannya. Kalau disudahkan kertas pengadilannya itu dia mungkin terpenjara kerana menyalahgunakan kuasa. Dengan lain perkataan, Ariffin Jaka sedang menghadapi satu dilema seperti yang dihadapi oleh cabang kehakiman negara dan yang akan dihadapi juga oleh Ketua Hakim Negara yang terbaru. Ketua Hakim Negara itu akan tertekan kalau dia tidak pastikan Saudara Anwar mendapat pengadilan yang saksama. 
 
 

Apa yang berlaku di Penjara Kajang bukan saja satu peristiwa seorang aktivis politik dibebaskan daripada tahanan. Inilah peristiwa yang meningkatkan lagi martabat pihak pembangkang. Mahfuz merupakan seorang pemidato unggulan. Dia boleh mengulang-tayang segala pengalamannya di penjara dulu untuk menaikkan semangat juang orang Melayu. 
 
 

Tetapi, bukan apa yang dikatakannya dan bukan apa yang dilaluinya yang akan menjahanamkan kerajaan. Cara kerajaan berlagak angkuh menganggap setiap himpunan rakyat secara aman itu sebagai kumpulan haram yang akan mendebiknya. Rakyat tidak dibenarkan berkumpul lebih dari lima orang tanpa permit daripada polis. Tidak ada satu pun himpunan parti pembangkang yang bertemankan permit polis kerana kalau diminta, permit itu tidak pernah diluluskan. Permit itu tidak dipedulikan lagi seperti juga rakyat marhaen yang tidak pedulikan ugutan para menteri. 
 
 

Begitulah halnya dengan ugutan agar sesiapa yang dikenakan saman meletak kereta membayarnya sebelum ditangkap. Ugutan itu sebenarnya boleh disanggah di mahkamah. Sebagai contohnya, penggunaan tiket bagi membayar menggunakan tempat letak kereta dikira tidak sah kerana tidak ada hukum undang-undang mengenainya. Tindakan mengugut itu bukan lambang memperbetulkan keadaan, ia adalah gambaran kelemahan penguatkuasaan. Inilah halnya di setiap jabatan dan kementerian kerajaan. Semua ini tidak diminati oleh rakyat marhaen kerana kurang tarikannya. Kisah seorang ahli parlimen dipenjarakan memang lebih menarik lagi. Itu sebabnya keadaan sebenar di kalangan rakyat marhaen adalah lebih tegang daripada yang difikirkan selama ini. Tindakan Mahfuz bersama sahabatnya memilih dipenjarakan dulu telah membuatkan kerajaan semakin mencelaru. 
 

-MGG Pillai- 
9.12.2000.