Make your own free website on Tripod.com
TERENGGANU DARUL MALANG

DALAM politik perasaan atau persepsi amat penting, apatah lagi jika ia dapat dibuktikan. Sehubungan ini, rakyat
Terengganu merasakan bahawa negerinya telah memberi sumbangan besar menerusi Kertih dan Kenyir.
Sumbangan ini dipercayai tidak begitu dihargai.

Pertama, setiap berlakunya perombakan kabinet dan perlantikan menteri baru, maka boleh dikatakan tidak ada anak
Terengganu yang diangkat sebagai menteri. Semenjak kabinet Tunku Abdul Rahman hingga kini, hanya terdapat dua
orang sahaja anak Terengganu yang terpilih sebagai menteri penuh, iaitu Datuk Abdul Manan Othman dan Datuk Dr
Yusof Nor. Beberapa yang lain sekadar menjadi Timbalan Menteri atau Menteri Muda dan kekal sedemikian
selama-lamanya sebelum ditamatkan.

Kedua, ketika pelbagai peruntukan dibuat untuk negeri lain, Terengganu semacam terpinggir. Contohnya, apabila
MARA mencadangkan pembinaan lima Institut Kemahiran Tinggi MARA (IKTM) baru, dan meluluskan pembinaan
empat yang lain, baru-baru ini, tidak ada satupun yang diperuntukkan bagi Negeri Terengganu.

Ketiga, permintaan Terengganu untuk mendapat sebuah universiti tidak dilayan, tetapi Sabah ketika berada di bawah
Parti Bersatu Sabah (PBS) dijanjikan dengan sebuah universiti, dan seterusnya berjaya memperolehinya. Kelantan
yang berada di bawah PAS juga dijanjikan demikian setiap menjelang pilihan raya. Apabila sebuah universiti Petronas
dibina, ia bukannya terletak di negeri yang cap sebagai Kuwait Malaysia, tetapi di sebuah negeri lain.

Keempat, kepercayaan sebahagian rakyat Terengganu bahwa sebuah jambatan yang dihebohkan pembinaannya di
negeri mereka suatu masa dahulu dialihkan ke sebuah negeri jiran. Begitu juga nasib sebuah pelabuhan yang dijangka
terbina di Kemaman. Ia berpindah ke negeri jiran yang sama oleh sebab campur tangan politik. Ini adalah beberapa
contoh penting yang sering bermain dalam pemikiran rakyat Terengganu semua lapisan.

Persoalan pelantikan menteri pusat sememangnya bukanlah perkara mudah. Calon menteri mestilah mempunyai
syarat-syarat tertentu. Mungkin tidak terdapat ramai anak Terengganu yang berkaliber, sehingga pilihan tidak tertumpu
kepada negeri itu.

Tetapi jika ukurannya ialah calon menteri mestilah orang hebat, saya dapati semenjak dari zaman Tunku Abdul
Rahman, ramai sekali orang tidak hebatpun boleh menjadi menteri. Jika ukurannya ialah calon itu mestilah orang
lembab, maka ramai anak Terengganu juga boleh diketengahkan.

Jika kita berpindah kepada isu pembangunan, kita boleh mengatakan bahawa Terengganu tidak memerlukan
perhatian lebih daripada Kerajaan Pusat. Ia sebuah negeri yang dikatakan kaya. Dengan perolehan hasil minyaknya, ia
boleh membangun.

Bagi saya Terengganu telah menjadi mangsa imejnya. Oleh kerana ia dianggap kaya, maka ia kurang dipedulikan,
manakala negeri-negeri yang digemparkan sebagai miskin dianak maskan. Akibatnya Terengganu mendapat
peruntukan yang kecil berbanding dengan pertolongan pusat yang diterima oleh negeri lain. Akhirnya negeri yang
dihebohkan sebagai kaya mempunyai perbelanjaan kurang dan negeri yang diomokkan sebagai miskin mempunyai
perbelanjaan besar. Inilah apa yang saya maksudkan ''Terengganu Darul Malang'' dalam beberapa syarahan saya.

Sehubungan ini, kita tidak boleh menafikan sumbangan Menteri Besar Tan Sri Wan Mokhtar. Terengganu telah
menempa banyak kemajuan, terutama sekali dalam bidang pendidikan dan kesihatan.

Namun begitu, Terengganu yang ada masih terkebelakang. Rakyatnya masih mundur. Terengganu masih
mengekalkan rekod salah sebuah negeri yang mempunyai rakyat termiskin teramai. Hampir 50 peratus dari rakyat
Hulu Terengganu hidup dalam keadaan daif. Deskripsi yang dipopularkan oleh sesetengah pihak, Negeri Kaya, Rakyat
Miskin, mungkin tidak sepenuhnya benar, tetapi penduduk Terengganu ternyata tidak semaju rakyat Kelantan.

Barangkali jumlah anak Kota Bahru yang menjadi doktor adalah lebih besar dari anak keseluruhan Terengganu yang
memiliki ijazah perubatan. Jumlah anak Pasir Mas yang menjadi agamawan jauh lebih ramai dari anak keseluruhan
Terengganu. Jumlah anak Kelantan yang menjadi pensyarah universiti 10 kali ganda lebih ramai dari anak Terengganu
yang berkedudukan seperti itu. Jumlah pelajar Kelantan yang berada di institusi pengajian tinggi tempatan dan luar
negeri ialah 20 kali ganda lebih dari jumlah keseluruhan anak Terengganu.

Saya tidak mempunyai statistik, tetapi saya berkepercayaan kenyataan ini berasas.

Jika indeks atau petanda jumlah gelaran Tan Sri hendak dipakai, maka ini lebih mudah untuk saya sebutkan. Kini
terdapat hampir dua puluh anak Kelantan yang bergelar Tan Sri, dan mereka termasuk Mohamad Yaaocb, Abdullah
Ahmad, Salleh Sulong, Aziz Ismail, Zainal Sulong, Hussein Ahmad, Wan Azmi, Nik Mohamad, Aziz A. Rahman dan
Tengku Razaleigh, Terengganu hanya milik tiga orang sahaja yang bergelar Tan Sri, dan salah seorang daripadanya
ialah Menteri Besarnya sendiri.

Indeks atau petanda seperti ini mungkin dianggap remeh, kerana ia bukan kriteria bagi mengukur kemajuan sesebuah
negeri, tetapi ia tetap mempunyai implikasi politik kerana Kelantan diperintah oleh Pas dan Terengganu dipimpin oleh
BN.

Saya mempunyai beberapa pandangan awal bagaimana rakyat Terengganu yang malang ini boleh diselamatkan.

Tetapi sebelum menjurus kepada persoalan ini, saya ingin merakamkan kembali beberapa kenyataan yang pernah
saya buat sebelum ini, bagi memahami dengan lebih baik permasalahan yang terbangkit di atas.

Dalam satu majlis debat di Langkawi, yang turut dihadiri oleh ramai pemimpin tinggi pusat, saya secara berseloroh
menyebut: ''Jika Kelantan mendapat pampasan menerusi Pergau, Terengganu memperolehi hanyir dari Kenyir''.

Dalam satu majlis serupa di Kuala Terengganu, yang turut dihadiri oleh pemimpin-pemimpin tertinggi Terengganu,
saya secara diplomatis mengatakan bahawa jika Terengganu diabaikan, maka orang Terengganu pun pandai
mengajar Kerajaan Pusat.

Sesiapapun pemerintah Terengganu, sama ada Barisan Nasional atau parti pembangkang, rakyat Terengganu
seharusnya tidak diketepikan. Mereka juga adalah rakyat Malaysia yang perlu mendapat pembelaan serupa dan
saksama. Bumi Terengganu telah banyak menyumbangkan kepada pembangunan nasional, sebagaimana bumi
Perak dan Sarawak. Rakyatnya wajar diberi pembelaan berterusan. Oleh itu gertakan untuk tidak membina Lebuh
Raya Pantai hingga ke Kuala Terengganu kerana kerajaan Pas yang baru tidak akan mengenakan tol adalah suatu
keputusan tidak bijak.

* PROF. MADYA MOHAMAD ABU BAKAR, seorang anak Terengganu ialah seorang pensyarah di Universiti Malaya.