Make your own free website on Tripod.com
ROYALTI  ;  KAMI BERSAMA TOK GURU
 

Teks Ucapan Perbahasan Belanjawan 2001
Oleh : YB Sdr. Abd Rahman Bin Yusof
Ahli Parlimen Kawasan Kemaman

Terima kasih Yang di Pertua,

Saya bangun hari ini untuk membahas belanjawan yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan pada 27hb Oktober 2000

Belanjawan ini diolah hanya untuk memastikan survival mereka yang berkepentingan, kaya dan towkay-towkay dan sedikit untuk penyokong-penyokong  UMNO dan BN. Rakyat pada umumnya tidak mendapat menafaat banyak mana dari belanjawan ini. Sekali lagi rakyat tertipu oleh Perdana Menteri kita yang menjanjikan belajawan 'surplus' tetapi yang dibentangkan ialah belanjawan defisit. Penerusan belanjawan defisit empat tahun berturut-turut amat membimbangkan masa depan negara.

Hanya satu peruntukkan sahaja yang menggembirakan rakyat bahawan iaitu menghapuskan cukai untuk peralatan orang-orang cacat. Itu pun sekiranya kerajan BN sebuah kerajaan penyayang cukai tersebut tidak sepatutnya dikenakan selama ini.

Peruntukkan membenarkan pengeluaran caruman wang KWSP untuk pembelian computer dan peralatannya bukan merupakan satu pengurangan beban untuk rakyat kerana ia merupakan wang simpanan mereka yang diperolehi oleh titik peloh mereka sendiri. Kelonggaran mengeluarkan caruman KWSP tidak sepatutnya dikira sebagai mengurangkan beban rakyat kerana ia adalah wang simpanan mereka!! Sekiranya kita tolak semua konsesi yang diberikan melalui kemudahan pengeluaran wang KWSP, sebenarnya apa yang diberikan kepada rakyat dalam belanjawan ini tidak ada apa.

Tidak ada apa yang ketara dari segi impact untuk meningkat pendapatan rakyat miskin, kelas bawah menengah , kelas menengah dan mereka yang bergaji tetap yang telah banyak menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara kita.  Jadi ia bukanlah belanjawan rakyat seperti mana yang diwar-warkan oleh media perdana.

Memang ada kenaikan dalam elaun untuk kakitangan kerajaan terutama polis dan askar tetapi tiada kenaikan gaji pokok atau bayaran bonus untuk mereka. Sepatutnya dari apa yang diperkatakan oleh kerajaan bahawa ekonomi sudah pulih dan kenaikan harga petroleum yang mendadak kerajaan berupaya membayar kenaikan gaji baru.

Kalau bonus atau kenaikan gaji diberikan kepada kakitangan kerajaan kenaikan dalam belanjawan tidak akan sampai hingga RM 3 billion setahun. Berbanding dengan perbelanjaan kerajaan untuk menyelamatkan syarikat-syarikat yang bermasaalah dan bankrap oleh Danaharta dan Danamodal kerajaan telah sanggup berbelanja hampir RM 60 billion.

Perbelanjaan hampir RM 60 billion hanya memberi menafaat kepada lebih kurang 300 orang  yang kebanyakannya rapat dengan elite pemerintah negara. Kalau sekiranya wang sebanyak ini dibelanjakan untuk kakitangan kerajaan ia boleh menampong kenaikan gaji dan elaun untuk 800,00 kakitangan selama 20 tahun cukup untuk negara melampaui tahun 2020, tahun keramat PM kita.

Jadi saya nak tanya kerajaan BN samaada mereka lebih prihatin kepada kakitangan kerajaan atau mereka-mereka yang berkepentingan yang tidak tahu mengurus syarikat-syarikat yang dianugerahkan kepada mereka sehingga menjadi bankrap dan terpaksa diselamatkan dengan menggunakan wang rakyat. Sebab itu saya mengatakan bahawa belanjawan kali ini ialah belanjawan untuk mempertahankan kroni BN dan bukan belanjawan rakyat!!!

Tuan Yang di Pertua,

Tidak banyak peruntukkan dalam belanjawan kali ini untuk membasmi kumpulan rakyat termiskin. Tidak ada peruntukkan khas untuk para nelayan. Tidak ada apa yang baru untuk para petani terutama penanam padi. Tidak ada iniatitif  baru untuk meningkat taraf ekonomi petani tradisi. Tidak ada iniatif baru samaada dari segi ekonomi atau kewangan untuk membuka peluang pekerjaan untuk lepasan sekolah dan universiti. Tidak ada initiatif polisi baru untuk masyarakat rancangan Felda dan Felcra terutamanya dalam keadaan harga kelapa sawit berada ditahap terendah. Tidak ada dalam belanjawan dari segi initiatif ekonomi untuk pekebun-pekebun kecil getah dalam keadaan harga getah cukup rendah. Tidak ada yang baru untuk peniaga-peniaga  kecil dan runcit yang menjadi sebahagian dari masyarakat bahawan atau miskin.

Bagaimana boleh kerajaan BN menyatakan bahawa ia merupakan belanjawan masyarakat penyayang apabila tidak ada  initiatif baru untuk masyarakat termiskin. Pada hakikatnya kerajaan hanya pandai berslogan tetapi tidak pada realitinya.

Tuan yang di Pertua

Kerajaan memperuntukkan RM 7.3 billion untuk perbelanjaan pertahanan negara, satu peruntukkan yang begitu besar tetapi peruntukkan senjata terpenting negara diabaikan.

Sedarkah kerajaan bahawa Jepun sanggup menghadapi "peperangan perdagangan" dengan dunia luar terutama Amerika Syarikat demi mempertahankan petani-petani padi kerana padi merupakan senjata terpenting negara. Mereka tidak kompromi untuk membiarkan negara mereka bergantung dengan negara luar untuk keperluan padi mereka. Polisi "self-sufficient' dengan izin amat dititik beratkan dan ia menjadi dasar pertahanan negara mereka.

Saya mencadangkan supaya negara jangan asyik mendapat beras yang murah dari negara luar sahaja sehingga banyak kawasan-kawasan padi terbiar atau bertukar menjadi kawasan perumahan dan perdagangan. Kerajaan perlu mengambil initiatif untuk memperbanyakkan kawasan baru untuk tanaman padi dan menjadikan tanaman ini tanaman srategik untuk pertahanan negara. Peruntukkan pertahanan negara patut disalurkan juga untuk tanaman ini.

Kerajaan tidak perlu masuk arena perlumbaan senjata dirantau ini kerana ia melibatkan kos yang begitu tinggi dan menguntungkan negara pembekal senjata yang kebanyakannya terdiri dari negara barat.
 

Tuan Yang Dipertua,

Persoalan ekonomi yang paling penting sekarang ialah bagaimana untuk menjana pemulihan yang mampan dan membolehkan Malaysia bersaing dengan negara-negara lain. Kita perlu berjaya bukan sahaja dari segi menjual barangan negara, tetapi lebih penting dari itu ialah untuk bersaing untuk mendapatkan pelaburan dari luar negeri khususnya pelaburan luar terus atau direct foreign invesment (DFI).

Malangnya kerajaan Barisan Nasional belum menunjukkan sebarang langkah untuk melaksanakan pemulihan yang mampan. Bahkan lebih dari itu kerajaan masih belum mengambil sebarang iktibar dari krisis ekonomi yang melanda negara baru-baru ini. Kerajaan BN masih tidah insaf, terus angkuh. Kita bimbang dengan sikap angkuh ini, pemulihan tidak akan bertahan lama (dengan izin unsustainable recovery) dan negara akan ditimpa oleh malapetaka ekonomi yang lebih teruk di masa akan datang.

Masalah negara hari ini adalah krisis keyakinan. Krisis keyakinan ini adalah terhadap sistem yang dicipta oleh Perdana Menteri iaitu rasuah berleluasa. Laporan yang dikeluarkan oleh Transparancy International membuktikan tanggapan dunia bahawa rasuah di Malaysia semakin meningkat. Tidak guna Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah  membuat kenyataan setiap hari mengistiharkan tindakan BPR terhadap amalan rasuah di kalangan pegawai-pegawai kerajaan khususnya pegawai-pegawai bawahan. Selagi krisis keyakinan ini tidak ditangani selagi itu kepercayaan para pelabur terhadap kepimpinan negara dipersoalkan

Tuan Yang Dipertua

Persoalan rasuah di negara kita adalah di kalangan pegawai tertinggi dan juga pimpinan tertinggi negara. Dato' Seri Anwar Ibrahim, Ketua Pemuda keADILan, saudara Ezam Mohd Nor dan lain-lain pimpinan Barisan Alternatif telah membuat banyak laporan kepada polis dan juga Badan Pencegah Rasuah tentang rasuah termasuk rasuah dan penyalahgunaan kuasa Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri Kewangan,  Menteri Perindustrian dan Perdagangan Antarabangsa, namun belum ada sebarang tindakan baik daripada pihak polis mahu pun pihak Badan Pencegah Rasuah dilaksanakan.

Begitu juga tentang amalan ketulusan yang menjadi syarat yang penting untuk menggalakan pelaburan, baik pelaburan terus dari luar negeri mahu pun pelabur di Bursa Saham Kuala Lumpur. Amalan nepotisme dan kronisme begitu berleluasa di negara kita. Justeru itu tidak ada keyakinan para pelabur terhadap negara kita. Persoalannya bukan persoalan imej tetapi adalah persoalan hakikat atau kenyataan. Walau pun kerajaan berusaha untuk memulihkan imej yang tersebut ianya tidak membawa perubahan apa-apa kerana sikap pimpinan negara tidak berubah bab kata pepatah, bangkai gajah tidak boleh ditutup dengan nyiru.

Tuan Yang Dipertua

Perdana Menteri dan lain-lain penyokong UMNO boleh melatah dan menuduh saudara Ezam sebagai pengkhianat negara kerana mengkritik dan menghina Perdana Menteri di luar negeri kerana sebenarnya saudara Ezam hanya belajar daripada Perdana Menteri sekarang dalam mana pada tahun 1969 apabila beliau disingkirkan daripada UMNO, beliau telah pergi ke luar negeri mengkritik dan menghina Perdana Menteri ketika itu iaitu Tunku Abdul Rahman. Kenapa orang-orang UMNO lupa akan sejarah hakikat ini bahawa Perdana Menteri sekarang adalah bapa dan guru kepada tindakan menghina negara. Kenapa tidak ada seruan di kalangan ahli UMNO supaya Perdana Menteri sekarang dilucutkan kerakyatannya. Saya tidak ingin menyalahkan Perdana Menteri sekarang kerana mengkritik Tunku Abdul Rahman, itu adalah hak beliau oleh itu kita juga jangan menyalahkan saudara Ezam atau mana-mana pemimpin Barisan Alternatif yang mengkritik kerana itu adalah hak kita.

 Perdana Menteri dan jawatan Perdana Menteri tidak kebal daripada undang-undang. Ia adalah jawatan politik dan sesiapa yang ingin menjawat jawatan politik adalah orang politik, oleh itu sesiapa sahaja berhak mengkritik dan menghina Perdana Menteri. Yang tidak boleh kita kritik dan hina ialah Yang Dipertuan Agong, hanya apabila kita mengkritik atau menghina Yang Dipertuan Agong kita boleh dikatakan mengkhianati negara. Saya ingin bertanya kepada ahli UMNO dan penyokong Perdana Menteri adakah Perdana Menteri sama tarafnya dengan Yang Dipertuan Agong?

Tuan Yang Dipertua

Kerajaan Malaysia mempunyai kedutaan di seluruh dunia dan mereka boleh menjalankan tugas mereka untuk menerangkan dasar-dasar kerajaan. Mustahil seorang dua daripada parti pembangkang boleh mempengaruhi pendapat umum antarabangsa dan melawan jentera Wisma Putra. Kalaulah saya mencadangkan Perdana Menteri membuang Menteri Luarnya kerana gagal memberi penjelasan yang memuaskan kepada negara-negara dunia luar akan apa yang berlaku dalam negara sekarang. Hakikatnya Menteri Luar dan seluruh jentera Wisma Putra tidak boleh berbuat apa-apa kerana seluruh masyarakat antarabangsa tahu akan keburukan dasar-dasar dan juga amalan Barisan Nasional. Seluruh dunia mengikuti perbicaraan Dato' Seri Anwar Ibrahim, apa pun penjelasan yang dibuat oleh para duta kita di luar negara, mereka pasti tidak dapat mengubah pendapat perbicaraan tersebut adalah tidak adil.

Tuan Ynag di Pertua

Apa yang baru dalam belanjawan kali ini ialah perkataan K-ekonomi. Perkataan K datang dari maksud "knowledge" dengan izin atau ilmu. Lazimnya ilmu diperolehi dari sistem pendidikan dan pelajaran termasuk universiti dan pergaulan dengan dunia luar. Bagaimana kita dapat mencapai K-ekonomi sekiranya qualiti pendidikan kita merosot setiap tahun. Kedudukan universti kita makin menurun berbanding dengan universiti-universiti lain di rantau ini. Graduan universiti-universiti dari India yang pada ketika dahulu dipandang rendah kini menjadi rebutan dalam industri IT baik dirantau ini mahupun di Amerika Syarikat dan Eropah berbanding dengan graduan universiti kita yang langsung tidak dipandang

Tuan yang dipertua,

Kita mengharapkan Universiti dan Institusi Pengajian Tinggi melahirkan graduan-graduan yang akan mengisi keperluan pembangunan industri IT. Kita mengharapkan mereka menjadi graduan yang innovatif, kreatif, berani, dan terbuka bersesuaian dengan kehendak industri IT itu sendiri. Pengajian mestilah melahirkan graduan yang berfikiran terbuka. Bagaimana mereka dapat menjadi graduan seperti itu sekirannya mereka dikongkong dengan sebuah akta yang menekan kreativiti pemikiran mereka. Kebebasan mereka bersuara, bergiat dan mendapat maklumat di tekan dan ditindas melalui sebuah akta bernama Akta Universiti dan Kolej Universiti.

Bagaimana kerajaan mendapati akta ini masih relevan sedangkan dalam dunia IT hari ini ijazah boleh diperolehi melalui pembelajaran melalui internet. Banyak universiti-universiti seperti University of Phoenix dan sebagainya menawarkan  ijazah-ijazah melalui kaedah pembelajaran melalui internet kepada pelajar diseluruh pelusuk dunia termasuk Malaysia.

Saya menyeru supaya kerajaan sedar akan hakikat ini dan menghapuskan akta yang tidak lagi sesuai serta menindas di zaman IT ini agar graduan-graduan generasi baru dapat memenohi  piawai industri IT yang memerlukan pekerja yang innovatif, kreatif, berani dan terbuka.

Pelajaran mestilah boleh dinikmati oleh semua. Rakyat mesti berupaya dan berkemampuan untuk mendapat pelajaran yang berkualiti setinggi mana yang mereka mampu. Kerajaan mesti menghulur segala bantuan untuk mempastikan pelajar tidak menghadapi masaalah untuk mendapat pelajaran baik dari segi tempat mahupun kewangan. IPTS jangan mementingkan keuntungan semata-mata tetapi juga memenuhi tanggongjawab sosial mereka untuk melahirkan seramai mungkin graduan-graduan yang berupaya memenuhi keperluan industri IT.

Dengan ini saya mencadangkan supaya semua pelajar diperingkat sekolah rendah dan menengah  mendapat bantuan buku teks. Semasa mesyuarat audit parlimen baru-baru ini didapati hanya 12 % lagi pelajar yang tidak mendapat bantuan buku teks ini dan kos untuk memberi kepada semua tidaklah tinggi. Bantuan-bantuan kewangan seperti biasiswa dan pinjaman mesti dipermudahkan untuk diperolehi bagi meningkatkan lagi bilangan pelajar yang mampu untuk mendapat pendidikan tertinggi.

Tuan Yang di Pertua,

Untuk melahirkan pakar pakar IT ia memerlukan keterbukaan dalam persekitarannya. Sekiranya pemerintahan negara masih menindas, menekan, tidak menggalakkan keterbukaan dalam bersuara, penyebaran maklumat,  berpolitik saya bimbang harapan negara untuk melahirkan pakar pakar IT dan menjadi sebuah negara berlandaskan k-ekonomi tidak akan tercapai.

Tidak ada sebuah negara yang memerintah secara menekan, menindas dan menyekat penyebaran maklumat dapat melahirkan pakar-pakar IT dan membina sebagai sebuah negara k-ekonomi.

Dengan ini saya menyeru kerajaan menghapuskan akta-akta dan undang-undang yang mengongkong kebebasan rakyat dan penyebaran maklumat.  Akta-akta seperti  ISA, OSA,  Akta Mesin dan Cetak mesti dihapuskan. Hak rakyat seperti kebebasan bersuara, berhimpun secara aman sepertimana yang termaktub dan terjamin dalam perlembagaan  mesti dihormati.

Kerajaan juga diseru supaya menghentikan sandiwara-sandiwara untuk membangkitkan ketakutan melalui sentimen perkauman dan keagamaan. Rakyat sudah sedar akan segala permainan politik untuk menakut-nakutkan rakyat. Mereka sedar siapa sebenarnya yang meniupkan sentimen perkauman dan keagamaan untuk kepentingan agenda politik mereka.

RAKYAT MESTI BEBAS DARI KETAKUTAN !!!
 

Tuan Yangdi Pertua,

Hari ini masyarakat India merupakan pelopor dalam bidang Industri 'software' dengan izin atau perisian dan tidak mungkin Malaysia dapat mengejar mereka. Walaupun "Silicon Valley of India" dengan izin iaitu Bangalore tidak menawarkan kemudahan infrastruktur sebaik MSC tetapi bahan terpenting dalam industri IT itu sendiri cukup banyak iaitu kepakaran  IT.  Begitu juga dengan negara Asia Timur yang lain seperti Korea Selatan, Taiwan, Singapura, Hong Kong dan Jepun. Malah di Amerika Syarikat IT diertikan dengan "India dan Taiwan"  dan ICT dengan "Indian, Chinese and Taiwanese" kerana masyarakat merekalah yang  paling ramai bekerja dalam industri IT di Amerika Syarikat. Malah banyak pakar dalam syarikat Motorola terdiri daripada masyarakat Taiwan dan Vietnam. Jadi apabila kilang pengeluaran barangan terbaru yang menggunakan teknologi terkini hendak dibina, Malaysia bukan menjadi pilihan utama kerana banyak komponent bahan IT tidak terdapat di Malaysia. Kedudukan Malaysia dalam industri IT "is not here, not there" dengan izin kerana kita tidak mempunyai pakar yang diperlukan untuk pembangunan industri IT itu sendiri.

Saya ingin bertanya samaada Perdana Menteri kita berjaya meyakinkan Motorola untuk terus melabur di Malaysia dalam pembinaan kilang terbarunya untuk mengeluarkan  barangan terbaru yang menggunakan teknologi terkini semasa lawatan beliau ke kilang Motorola di Amerika Syarikat baru-baru ini. Dengar khabarnya Motorola sudah memilih Vietnam sebagai lokasi pembinaan kilang terbaru mereka. Jika demikian saya ingin bertanya apakah faktor yang menyebabkan Motorola tidak memilih Malaysia sedangkan mereka sudah lama merasai iklim pelaburan di negara ini yang digambarkan begitu indah oleh kerajaan.

Tuan Yang di Pertua,

Saya ingin tahu samada Malaysia bersedia untuk mengimport pakar pakar asing berkerja dalam bidang IT ini yang mana rakyat Malaysia masih terkebelakang. Negara negara lain yang bersaing dengan Malaysia dirantau ini yang juga ingin  menjadi pelopor dalam industri IT  memberi insentif yang cukup menarik seperti di Singapura, kerajaannya sanggup menawarkan kerakyatan kepada pakar pakar IT. Apakah Malaysia mempunyai perancangan yang sedemikian ?

Insentif-insentif yang ditawarkan dalam belanjawan baru-baru ini kepada rakyat Malaysia diluar negara untuk kembali ke Tanahair tidak semenarik dari apa yang mereka perolehi di luar negara terutamanya yang bekerja di Amerika Syarikat. Jadi nampak pada gayanya Malaysia terpaksa juga mengimport pakar-pakar dari luar negara terutamanya dari India. Kalau tidak pembangunan k-ekonomi kita akan terbantut.

Tuan Yang di Pertua,

Perlu diingatkan bahawa sejarah negara sudah melalui tiga fasal revolusi dunia. Dalam Revolusi 'Mercantile" dengan izin pada abad ke 16 hingga 18 negara menjadi tumpuan dunia kerana kedudukan strategiknya yang berada ditengah-tengah perjalanan laut diantara negara barat dan timur. Hasil Pembangunan dari revolusi ini Malaysia memerlukan banyak buruh dan kelasi-kelasi kapal yang terpaksa diimpot dari luar negara untuk mengisi pembangunan yang  sedang pesat berlaku oleh negara waktu itu. Tenaga tempatan tidak dapat memenuhi keperluan ini kerana samaada rakyat tempatan tidak bersedia atau tidak mempunyai kepakaran. Maka bermulalah sejarah negara sebagai sebuah negara kosmopolitan.

Apabila Revolusi Perindustrian berlangsung pada abad 19 Malaysia sekali lagi menjadi tumpuan dunia kerana buminya mengeluarkan bahan terpenting untuk pembangunan revolusi ini iaitu getah, timah, besi, petroleum dan sebagainya. Hasil Pembangunan pesat revolusi ini Malaysia terpaksa mengimpot tenaga-tenaga asing yang sangat diperlukan oleh negara kerana rakyat tempatan tidak dapat memenuhi keperluan semasa samaada tidak bersedia atau tidak mempunyai kepakaran dalam pembangunan perindustrian ini. Tenaga-tenaga dan pakar-pakar dari Cina dan India dibawa masuk untuk memenuhi keperluan pembangunan revolusi ini. Hari ini semua tenaga dan pakar yang diimpot itu menjadi rakyat Malaysia yang menjadikan negara kita hari ini sebagai sebuah negara yang berbilang kaum.

Hari ini kita berdepan dengan revolusi baru iaitu Revolusi Maklumat. Sekali lagi Malaysia berhadapan dengan keadaan yang sama. Kita tidak boleh mengelak diri dari ledakan revolusi ini. Kita tidak mempunyai  tenaga yang bersedia atau kepakaran untuk mengisi keperluan pembangunan revolusi maklumat ini. Saya ingin bertanya samaada negara bersedia mengulangi sejarah dan dimana letaknya masyarakat Bumiputera ketika itu.

Saya mengungkitkan perkara ini supaya kita tidak dipersalahkan oleh sejarah bahawa tiada siapa yang memberi amaran kepada pemimpin-pemimpin dan rakyat akan berulangnya sejarah yang akan berlaku kepada negara dalam mengharungi revolusi maklumat ini.

Tuan Yang di Pertua,

Untuk menarik pelabur dalam industri IT mereka mesti diyakinkan bahawa sistem perundangan dan kehakiman negara bebas dan konsisten. Keyakinan akan kebebasan sistem kehakiman amat penting kepada pelabur industri IT. Bagi mempastikan bahawa sistem kehakiman kita bebas saya mencadangkan supaya perlantikan Ketua Hakim Negara dan hakim-hakim Kanan dilantik oleh sebuah Badan Bebas yang tidak melibatkan Perdana Menteri atau  mana-mana Menteri.

Baru-baru ini semasa perjumpaan Perdana Menteri dengan tokoh-tokoh dan pelabur IT Islam di San Jose, California, mereka dengan jelas dan terang memberitahu PM kita bahawa mereka tidak berminat melabur di Malaysia kerana sangsi akan kebebasan sistem kehakiman negara. Perdana Menteri kita terpaksa ke San Jose kerana perjumpaan di Chicago hanya dihadiri oleh dua orang pelabur IT Islam sahaja daripada 40 pelabur yang dijemput. Ini membuktikan bahawa kebebasan sistem kehakiman negara amat penting untuk menarik pelabur dalam industri IT.

Tuan Yang di Pertua,

Beberapa kes  yang dibicarakan di mahkamah  telah mencemarkan imej sistem kehakiman negara. Sebahagian daripada kes ini dengan jelas dan terang menunjukkan bahawa sistem perundangan negara di nodai untuk kepentingan politik pemimpin-pemimpin negara. Sebagai contoh kes perbicaraan Dato' Seri Anwar Ibrahim.  Badan Penghakiman Antarabangsa (ICJ), Kerajaan Asing termasuk dari negara jiran Asean, Eropah, Amerika Syarikat, Canada, Australia dan sebagainya, Badan-badan bukan kerajaan dalam dan luar negera, ulama-ulamak muktabar termasuk Syeikh Taha Jabir Al-awani, seluruh rakyat dan masyarakat antarabangsa mengutuk cara pengendalian kes ini yang jelas dan terang menunjukkan Dato' Seri Anwar Ibrahim tidak mendapat keadilan  yang sewajarnya. Malah dalam persidangan Inter Parlimentarian Union baru-baru ini salah satu resolusi yang dipersetujui ialah meminta supaya kerajaan membebaskan Dato' Seri Anwar Ibrahim.

Kes ini telah mencemarkan nama baik negara baik dalam maupun luar negara. Saya minta supaya satu Suruhanjaya Bebas ditubuhkan untuk menyiasat semula pendakwaan, penghakiman dan penghukuman terhadap Dato Seri Anwar Ibrahim. Perdana Menteri yang melemparkan segala tuduhan terhadap DSAI mesti dibawa sebagai saksi kerana beliaulah yang beria ria benar mendakwa mempunyai bukti-bukti kukuh tetapi tidak sanggup menjadi saksi di mahkamah apabila diminta berbuat demikian oleh peguambela DSAI.

Tuan Yang di Pertua,

Sebagai seorang Islam saya ingin mendapat nasihat atau pandangan daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang mana satu yang mesti saya berpegang, samaada berpegang kepada pandangan dari seorang  ulamak seperti  Sheikh Taha Jabir Al-Awani yang mengeluarkan fatwa bahawa Dato' Seri Anwar Ibrahim tidak bersalah dan patut dibebaskan dan Dr. Mahathir patut dibicarakan diatas pertuduhan beliau tanpa bukti atau menerima pakai penghakiman yang dibuat oleh hakim mahkamah kita. Oleh kerana ia melibatkan pertuduhan yang amat berat kepada bekas Timbalan Perdana Menteri yang beragama Islam dan ada percanggahan pendapat diantara ulamak yang juga menjadi pakar rujuk syarie' oleh kerajaan Malaysia saya minta Menteri di Jabatan Perdana Menteri atau Majlis Fatwa Kebangsaan mengeluarkan pandangan mengenai penghukuman terhadap DSAI supaya rakyat tidak terkeliru dengan percanggahan diantara seorang ulamak muktabar dan seorang hakim dinegara kita. Jangan biarkan rakyat di gelumangi dosa apabila membicarakan kes ini.

Tuan Yang di Pertua,

Keputusan kerajaan mengarahkan Petronas mencabuli Perjanjiannya dengan kerajaan Negeri Terengganu merupakan satu lagi penodaan kepada sistem perundangan negara oleh pimpinan negara. Ia mempunyai implikasi yang amat buruk kepada rakyat dan keyakinan pelabur akan kebebasan sistem perundangan negara.

Kerajaan kita dipandang sebagai sebuah kerajaan yang tidak menghormati perjanjiannya sendiri. Bila bila masa boleh dicabuli tanpa mengikut peruntukan undang undang itu sendiri.  Sejarah peradapan  tamaddun kerajaan sejak dahulukala cukup menghormati perjanjian-perjanjian yang dibuat dengan pihak-pihak atau kerajaan yang mewakili masyarakat yang dibentuk oleh masyarakat tersebut. Apakah kerajaan kita sekarang sudah "regressive" atau terkebelakang? Apa guna kita bercakap pasal mempersiapkan masyarakat kita menghadapi dunia ICT sedang pimpinan kerajaan sendiri tidak bersedia untuk menerima realiti dunia terkini  dimana rakyat bebas memilih sesiapa sahaja untuk memimpin mereka tanpa ditindas dan ditekan.

Apakah negara mengharapkan rakyat dan masyarakat antarabangsa menghormati  perundangan dan perlembagaan negara sedangkan pemimpin negara sendiri menodai keluhurannya.

Jadi tidak usahlah mencabar kerajaan Negeri Terengganu pergi ke Mahkamah kerana bukan sahaja rakyat tetapi masyarakat antarabangsa sudah sangsi  akan kebebasan sistem kehakiman negara.

Tuan yang dipertua,

Pada 1hb. September 2000, Petronas telah mencabuli perjanjian dengan Kerajaan Negeri Terengganu kerana menahan pembayaran baki royalti tahun 1999 bernilai 460 juta ringgit kepada kerajaan Negeri Terengganu. Daripada kenyataan yang dibuat oleh Ketua Eksekutif Petronas pada bulan Jun 2000, mereka tetap akan menunaikan perjanjian dengan kerajaan Negeri Terengganu dalam pembayaran royalti.

Walaubagaimanapun satu kenyataan akhbar tidak bertanda tangan telah dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan bahawa Petronas tidak akan membayar lagi royalti kepada kerajaan Negeri Terengganu tetapi disebaliknya akan memberi wang ehsan melalui sebuah Jawatankuasa Pembangunan Pusat. Betapa tamaddunnya sebuah kerajaan yang mengirim keputusan yang melibatkan 1 juta rakyatnya melalui kenyataan akhbar yang tidak bertanda tangan tetapi dalam masa yang sama bercakap pasal dunia IT.

Persoalannya, sekiranya Petronas mahu menunaikan perjanjiannya dengan kerajaan Negeri Terengganu dalam pembayaran royalti ini, maka siapakah yang mengarahkan atau menahan Petronas dari membayar baki royaltinya tidak lewat daripada 1hb September 2000.

Atas peruntukan kuasa apa mereka ini boleh mengarahkan Petronas mencabuli perjanjiannya dengan kerajaan Negeri Terengganu.

Didalam Dewan yang mulia ini saya minta pihak Petronas mengumumkan siapakah yang mengarah atau menahan Petronas daripada membuat pembayaran baki royalti tahun 1999 kepada kerajaan Negeri Terengganu tidak lewat daripada 1hb September 2000  kerana ini dengan jelas menunjukkan penyalahgunakan kuasa dalam mengarahkan Petronas mencabuli perjanjiannya dengan kerajaan Negeri Terengganu.

Sekiranya gagal berbuat demikian, maka saya minta Petronas membuat bayaran baki royaltinya kepada kerajaan Negeri Terengganu dengan serta-merta tanpa memperdulikan arahan-arahan dari mana-mana pihak yang tidak bertanggongjawab dan tidak mempunyai kuasa untuk berbuat demikian.

Tuan Yang di Pertua,

Adalah menghairankan sedang Perdana Menteri kita digambarkan sebagai wira Negara Ketiga kerana memperjuangkan hak rakyat negara ketiga dari penindasan, penjajahan, ketidakadilan pembahagian ekonomi dunia, globilisasi, penderaan negara Barat terhadap negara ketiga kerana tidak mengikut telunjuk mereka tetapi didalam negara sendiri beliau melakukan apa yang tidak sukai diperlakukan oleh negara Barat terhadap negara ketiga.

Penarikan pembayaran "Royalti" kepada kerajaan Negeri Terengganu jelas merupakan penindasan, ketidak adilan dan penderaan kepada rakyat negeri Terengganu yang menolak UMNO dan BN dalam pilihanraya baru baru ini.

Tuan yang dipertua

Sedang satu juta rakyat negeri Terengganu yang 98% terdiri daripada rakyat beragama Islam dan berbangsa Melayu dinafikan hak untuk mendapat 'royalti' hasil dari perut bumi negeri mereka, negara dikejutkan dengan satu laporan oleh AWSJ bahawa Danaharta membeli "NPL" Non-Performing Loan" dengan izin atau 'hutang tidak berbayar 'Hottick Investment Incorporation, sebuah syarikat pelaburan yang berdaftar di Hong Kong kepunyaan Rashid Manaf seorang peguam kepada Tan Sri Halim Saad yang kerugiaan dalam pelaburannya dalam syarikat Phillipine National Steel sebanyak  RM 3 billion ringgit dari 4 buat bank tempatan iaitu RHB, Bank of Commerce, Bank Bumiputra, dan Malayan Banking Berhad .

Walaupun Danaharta mengumumkan bahawa harga pembelian "NPL" tersebut hanya RM 4, tetapi implikasi dari pembelian ini, 4 buah bank tersebut yang memberi pinjaman kepada Hottick Investment Inc. terpaksa menanggung beban kerugian dan tidak dapat mengambil tindakan terhadap Tan Sri Halim Saad serta pemegang saham atau pengarah Hottick yang lain. Mengapa orang yang sebegitu rapat dengan kepimpinan negara diberi perlindungan sebegitu rupa sehingga sanggup menyalahgunakan sebuah institusi kerajaan untuk menyelamatkan beliau dari tindakan oleh bank bank yang memberi hutang kepada syarikat beliau.

Saya cadangkan sebuah Badan Siasatan Bebas ditubuhkan untuk menyiasat tindakan Danaharta membeli "NPL" Hottick Investment Inc. ini atau membiarkan bank bank tersebut mengambil tindakan terhadap Tan Sri Halim Saad. Saya percaya Tan Sri Halim Saad  mempunyai keupayaan untuk membayar balik hutang hutang tersebut dan menyelamatkan bank-bank ini dari menanggong kerugian. Perlu diingatkan bahawa Kerajaan Malaysia mempunyai kepentingan juga dalam bank-bank .

Jangan kepentingan orang ramai digadaikan untuk menyelamatkan seorang yang mungkin mempunyai hubungan rapat dengan kepimpinan negara apatah lagi ia melibatkan kepentingan simpanan para anggota tentera.

Tuan yang dipertua,

Saya difahamkan juga bahawa Danamodal membeli saham-saham MBf Finance dengan harga RM1.6 billion dan sejurus selepas itu menjual 60% daripada ekuitinya yang berharga RM 960 juta kepada Multi Purpose Bank dengan harga  RM 480 juta yang mengakibatkan Danamodal mengalami kerugian sebanyak RM 480 juta ringgit.

 Saya nak tahu apa justifikasi pembelian tersebut dan sejurus selepas itu menjual 60% dari ekuiti tersebut dengan harga separuh dari harga yang dibeli oleh Danamodal.

Di dalam pasaran ada ura-ura bahawa pihak-pihak tertentu akan membeli Multi Purpose Bank ini dari Kamunting Holdings. Apakah kerugian yang ditanggong oleh Danamodal ini merupakan sebagai sebahagian dari pembayaran pembelian Multi Purpose Bank ini oleh pihak-pihak tertentu?

Apakah institusi kerajaan digunakan untuk membayar bagi pihak orang orang tertentu ? Sekiranya benar ini bermakna kenyataan Menteri Kewangan didalam ucapan belanjawan beliau bahawa kerajaan serius untuk membenteras rasuah dan penyelewengan adalah sandiwara sahaja.

Saya minta satu penyiasatan bebas juga dijalankan untuk mengjustifikasi transaksi pembelian MBf Finance ini dan penjualannya kepada Multi Purpose Bank oleh Danamodal.

Tuan Yang di Pertua,

Dalam keghairahan kerajaan menswastakan agensi-agensi dan perkhidmatan kerajaan bagaimana boleh kerajaan menswastakan juga kilang pengeluaran duit syilling negara. Perlu diingatkan bahawa duit syilling tidak mempunyai nombor serial. Kilang ini boleh mengeluarkan seberapa banyak yang mereka suka tanpa diketahui umum kerana ia tidak mempunyai nombor berserial.

Saya ingin tahu apa jaminan kerajaan bahawa kilang ini tidak disalah gunakan untuk pengeluaran duit syilling tanpa kawalan. Apa jaminan kerajaan bahawa kilang ini tidak jatuh ke tangan syarikat asing sepertimana yang akan berlaku kepada MAS, Telekom, TNB dan sebagainya walaupun pada mulanya kerajaan memberi jaminan bahawa syarikat-syarikat ini tidak akan jatuh ketangan syarikat asing.

Pada sessi parlimen yang lepas saya ada bertanya samaada MAS akan dijual kepada syarikat asing. Jawapan yang diberikan oleh Timbalan Menteri Pengangkutan ialah bahawa kerajaan tidak bercadang melakukan perkara sedemikian. Tetapi hari ini umum mengetahui bahawa MAS sedang mencari pembeli  untuk dijual dan syarikat yang akan membelinya ialah syarikat penerbangan asing. Bagaimana kenyataan dua orang Menteri Kanan iaitu Menteri Kewangan dan Menteri Pengangkutan boleh memberi kenyataan bercanggah mengenai kedudukan "Saham Emas". Kenyataan  siapa yang boleh digunapakai. Bagaimana pelabur tidak keliru dengan apa yang dinyatakan pimpinan negara sedangkan kenyataan yang begitu besar implikasinya pun bercanggah.

Saya ingin tahu siapa dibelakang syarikat yang diberi konsesi penswastaan kilang pengeluaran syilling negara dan bagaimana ia menguntungkan kerajaan dan rakayat dalam penswastaan ini.

Tuan Yang di Pertua,

 Pada tahun 1994, apabila kerajaan menswastakan stor perubatan di PJ kepada Remedi Pharmaceuticals iaitu(anak syarikat UEM ), harga  perubatan melambung naik dengan ketara sekali.  Sebagai contoh harga pethidin melambung dari RM137 ( 50mg ) kepada RM1000 , dan RM167 ( 100mg ) kepada RM1400. Hanya apabila rakyat bantah barulah harga diturunkkan kepada RM250 dan RM350 respectively dengan izin yang masih dua kali ganda dari harga sebelum diswastakan.

Kini terdapat tanda-tanda bahawa penswastaan khidmat sokongan hospital yang dilaksanakan pada tahun 1996 iaitu ( laundry, penyelenggaraan peralatan dan kemudahan hospital, pembersihan biomedikal dan pembuangan sisa-sisa klinik ) kepada konsortium Tongkah, Faber Mediserve dan Redicare telah mengakibatkan kos operasi meningkat sebanyak 3-4 kali ganda.

Para pesakit , terutamanya pesakit-pesakit jantung , kini sering diminta membeli ubat-ubat mereka sendiri.
Juga pesakit diminta membeli skrew-skrew dan piring-piring ortropedic dan peralatan-peralatan lain yang diperlukan untuk patah tulang , gantian sendi dan lain-lain dengan sendiri. Bagaimana ini boleh berlaku sedangkan belanjawan untuk kesihatan makin bertambah?

Yang peliknya pemantauan perkhidmatan yang telah diswastakan ini juga dikontrakkan kepada agensi swasta iaitu (SIHAT). Dimana janji Kerajaan untuk  memainkan peranan dalam pemantauan perkhidmatan yang diswastakan ini.

Bagaimana kerajaan menilai prestasi perkhidmatan yang telah diswastakan ? Di manakah justifikasi keberkesanan kos bagi perkhidmatan yang di swastakan itu ?
 
Saya juga meminta kerajaan supaya berterus terang dalam menjawab perkara-perkara berikut :-

- Kadar pelupusan peralatan hospital dalam masa 5 tahun yang lalu.
- Apakah formula denda yang digunakan bagi perkhidmatan-perkhidmatan yang sub-standard.
- Berapakah jumlah denda yang telah dikenakan ?
- Sejauh manakah keberkesanan dan peningkatan mutu dalam perkhidmatan-perkhidmatan yang  diswastakan ?

Sebarang rancangan penswastaan hendaklah dibuat secara telus dan konsisten  mengikut prosidur dan kritiria yang ditetapkan untuk menjamin penggunaan wang rakyat dibuat secara berhemah. Kalau tidak  rakyat terpaksa ditanggong dengan beban peningkatan bayaran dan perkhidmatan yang  kurang bermutu.

Saya meminta kerajaan menghentikan dengan segera segala perancangan untuk mengswastakan perkhidmatan kesihatan dan menilai semula prestasi perkhidmatan-perkhidmatan yang telah diswastakan.

Tuan yang diPertua,

Saya juga ingin mendapat penjelasan mengenai penganugerahan kontrak bernilai RM 1 billion kepada Diligent Network untuk projek 'computerisation' dengan izin sistem hospital

- Apakah ianya untuk perisian, atau hardware sahaja dengan izin atau kedua-dua sekali. Tolong jelaskan  perisian apa dan hardware apa?

- Adakah ianya untuk semua hospital kerajaan dari hospital daerah hingga klinik-klinik desa meliputi seluruh negeri termasuk Wilayah Persekutuan atau hospital terpilih sahaja?

-  Siapakah pemegang saham Diligent Network dan pengalaman syarikat ini dalam memberi perkhidmatan yang ditawarkan.

-  Sebutkan sebuah negara yang mempunyai atau menggunakan sistem yang ditawarkan oleh Diligent Network kepada hospital kerajaan.

- Berapa 'telemedicine providers' dengan izin untuk perisian dan namakan satu persatu dan berapa harga kontrak untuk setiap provider dengan izin.

-  Dilaporkan dalam akhbar Star pada 21 September 2000 bahawa jumlah kos untuk konsesi MSC telemedicine  ialah RM 80 juta. Sila nyatakan samaada ianya untuk perisian atau hardware atau kedua-duanya sekali.  Syarikat mana yang telah di anugerhkan konsesi ini dan berapa harga setiap satu.

Tuan Yang di Pertua,

Krisis dalam sistem perkhidmatan kesihatan awam

Saya ingin membawa perhatian dewan terhadap krisis yang dihadapi dalam perkhidmatan kesihatan di hospital-hospital kerajaan. Pesakit terpaksa menunggu berjam jam  untuk mendapat rawatan. Masa menunggu untuk pembedahan dan rawatan pakar amat lama sekali.

Hatta pesakit kecemasan pun terpaksa menunggu berjam jam untuk dirawat. Di kebanyakan hospital, pesakit patah tulang pun yang sepatutnya dirawat dalam tempoh  6 jam terpaksa menunggu sehingga 24 jam untuk mendapat rawatan. Ini memberi ruang untuk mereka dijangkiti oleh penyakit lain pula.

Senarai pesakit untuk pembedahan sendi atau  'hystereclomy' menjangkau masa 3-6 bulan di sesetengah hospital untuk dibedah. Mereka yang mampu mungkin mendapatkan rawatan di hospital swasta dengan perbelanjaan yang begitu tinggi tetapi yang kurang mampu terpaksa menerima sahaja apa yang disediakan oleh hospital kerajaan.

Para doktor dan jururawat terlalu banyak dibebankan dengan tugas dan tanggungjawab. Majoriti doktor pakar telah berpindah ke sektor swasta. Menurut  Kementerian Kesihatan, 30% daripada pakar yang berkhidmat di hospital kerajaan terpaksa memberi  khidmat perubatan kepada 70% rakyat Malaysia. Doktor doktor yang berpengalaman telah memilih sektor swasta dan yang tinggal hanya doktor-doktor baru yang kurang berpengalaman untuk mengendalikan kes-kes rumit dan menyulitkan pesakit. Pemergian mereka amat merugikan kerana  kehilangan pakar untuk memantau dan membimbing  doktor doktor baru ini.

Jurang gaji antara sektor swasta dan kerajaan terlalu luas dan keadaan perkhidmatan di hospital kerajaan amat menyedihkan. Doktor2, pakar2 dan jururawat2 berterusan meninggalkan perkhidmatan kerajaan dan ini menambahkan lagi beban kepada kakitangan yang sedia ada. Apa yang akan dibuat oleh kerajaan untuk menangani masalah ini ?

Kerajaan tidak menambahkan belanjawan untuk kesihatan
 Tuan yang diPertua,

Sejak 1987 peruntukan untuk kesihatan kurang daripada  2% dari KDNK. ( Pada tahun 1987 - 1997 kerajaan membelanjakan secara purata 1.55% KDNK untuk kesihatan ) Ini berbeza pada tahun 1970an dan awal 1980an di mana kerajaan membelanjakan 3% dari KDNK untuk kesihatan. ( Purata antara 1975 - 1986 ialah 3.02% dari KDNK).  Angka ini amat rendah jika dibandingkan dengan piawaian negara barat malah dengan negara -negara jiran sekalipun.

Anggaran untuk tahun ini juga tidak menampakkan banyak perubahan .

Meminta ditambahkan belanjawan untuk kesihatan

Tuan Yang Di Pertua,

Saya mencadangkan supaya belanjawan untuk kesihatan dinaikkan kepada 4%dari KDNK, selari dengan  yang disyorkan oleh WHO iaitu  antara 4% - 8% dari KDNK untuk perbelanjaan kesihatan negara.

Namun begitu, saya ingin menegaskan bahawa pertambahan peruntukkan untuk kesihatan bukan sahaja perlu tetapi mestilah juga dijamin agar disalurkan untuk meningkatkan lagi mutu  perkhidmatan serta ganjaran kepada kakitangannya.

Pertambahan dalam peruntukan tidak semestinya bermakna mutu dan "access" kepada perkhidmatan kesihatan meningkat. Ini terbukti apabila kerajaan menswastakan perkhidmatan kesihatan awam.
 

Akhir kata sebagai ahli parlimen kita hanya memikul tanggongjawab yang diamanahkan oleh rakyat untuk menjaga bukan sahaja kebajikan mereka tetapi juga untuk generasi akan datang. Sekiranya apa yang diamanahkan kepada kita dikhianati tunggu satu masa dimana generasi akan datang akan mengutuk segala apa yang kita luluskan di dewan yang mulia ini.

Dengan kata-kata saya mengucapkan terima kasih.

Wassallam