TERENGGANU DARUL IMAN
MEMBANGUN MENURUT ISLAM

Langkah tahan 25 di restoran jual arak ditegur TPM

KUALA LUMPUR -- Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi,
menganggap tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menangkap 25 orang Islam di sebuah
restoran yang menghidang minuman alkohol sebagai tidak tepat.
"Saya tidak tahu mengapa tindakan itu diambil. Jais lebih tahu kenapa tindakan itu dibuat
dan adakah ia wajar.

"Kalau begitu susahlah kerana kita terpaksa menyediakan restoran untuk orang Islam sahaja,
barulah kita rasa selamat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan Jais menangkap 25 orang Islam
dalam satu operasi di restoran The Ship, Damansara Utama, pada 10 Jun lalu.

Turut ditangkap ialah penyanyi Azlina Abbas, 29 tahun, yang bekerja di situ.

Bagaimanapun, hanya 15 orang, kesemuanya wanita dan termasuk Azlina, akan dihadapkan ke
Mahkamah Syariah pada 13 September nanti atas tuduhan menghina Islam kerana berada di dalam
kawasan yang menyediakan minuman keras.

Tidak pula dinyatakan mengapa 10 lagi dibebaskan.

Ditanya mengenai tuduhan yang dikenakan Jais, Datuk Seri Abdullah berkata:

"Kita tidak tahu apakah jenis penghinaan yang dimaksudkan oleh Jais, tetapi jika kehadiran
seseorang itu di tempat yang menghidangkan makanan dan minuman yang diharamkan, ia tidak
boleh menyebabkan seseorang itu ditangkap."

Sementara itu, Kerajaan Selangor berkata mereka hanya akan mengumumkan pendiriannya
mengenai kes penahanan seorang penyanyi yang menghadapi tuduhan menghina Islam selepas
mendengar penjelasan lengkap Jais. -- AFP, Bernama, BMM.