Make your own free website on Tripod.com
TERENGGANU MAHU JIMATKAN BELANJA
 
 KUALA TERENGGANU, 29 Dis -- Pasukan Liga Perdana
 Terengganu tidak bercadang mengadakan latihan di luar negara
 bagi menjimatkan perbelanjaan.

 Jurulatih, Yunus Alif berkata latihan sebaliknya akan ditumpukan
 dalam negara yang nyata lebih menjimatkan serta tidak
 membebankan pemain dengan perjalanan yang begitu jauh.

 "Buat apa kita hendak pergi berlatih jauh-jauh sekiranya tidak
 memberi banyak manafaat," katanya ketika ditanya kemungkinan
 Terengganu berlatih di luar negara.

 Pemain-pemain Terengganu akan memulakan latihan pada 16 Jan
 depan.

 Yunus berkata Terengganu perlu menjimatkan kewangan daripada
 menghantar pasukan berlatih di luar negara, memandangkan
 bebanan yang akan ditanggung semakin bertambah.

 Yunus berkata mulai tahun depan, Terengganu akan memberi
 kesempatan kepada pemain-pemain muda yang banyak
 memanaskan bangku simpanan musim lepas seperti Mohd Nafuzi
 Zin, Alpian Abdul Aziz dan Sobri Sulong.

 Beliau berkata pemain-pemain muda itu mempunyai bakat yang
 besar dan boleh menjadi pemain disegani sekiranya diberikan
 bimbingan dan pendedahan berterusan.

 "Bagaimanapun, mereka terpaksalah bersaing bagi mengatasi
 antara satu sama lain untuk mendapat tempat dalam kesebelasan
 utama," katanya.