USTAZ HASSAN SHUKRI DAN CIKGU SAFINAH JUSUH DIPILIH SENATOR
 
 KUALA TERENGGANU, 23 Dis - Naib Presiden PAS Haji
 Hassan Shukri dan Naib Ketua Dewan Muslimat PAS Terengganu
 Safinah Jusoh hari ini dipilih menjadi anggota Dewan Negara
 mewakili Terengganu.

 Dua kerusi itu dikosongkan oleh Rosli Mat Hassan dan Hassan Ali
 kedua-duanya senator dari Umno yang kalah pada pilihan raya
 umum ke-10 lepas. Rosli bertanding di Paka dan Hassan di Tepoh.

 Yang Dipertua Dewan, Husain Awam mengumumkan bahawa
 Dewan Undangan Negeri dimaklumkan Sultan Terengganu supaya
 diadakan pemilihan anggota Dewan Negara berikutan kekosongan
 itu.

 Pemilihan Hassan dicadang oleh Pengerusi Jawatankuasa
 Pembangunan Ekonomi, Petroleum dan Perindustrian negeri
 Mustafa Ali manakala Safinah dicadangkan oleh Pengerusi
 Jawatankuasa Pendidikan, Dakwah dan Pelaksanaan Syariah negeri
 Harun Taib pada persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu
 di Wisma Darul Iman.

 Mustafa berkata Hassan, 60, kelahiran Selangor yang mempunyai
 pengalaman luas terutama dalam bidang agama di peringkat
 kebangsaan dan antarabangsa pernah menjadi Naib Yang Dipertua
 Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), anggota Majlis Agama
 Islam Wilayah Persekutuan dan anggota jawatankuasa
 undang-undang syariah MAIWP.

 "Pengalaman beliau diperingkat antarabangsa dengan mengikuti
 persidangan Islamiah di Riyadh, Baghdad dan London diharap dapat
 memberi sumbangan dalam Dewan Negara nanti," katanya.

 Safinah, 45, ibu kepada tiga anak merupakan antara pengasas
 Institut Berakan di Terengganu dan terlibat secara langsung dalam
 kerja-kerja sosial di negeri ini.

 Harun berkata Safinah yang berasal dari Kuala Terengganu dan
 pernah menjadi guru di Maktab Adabi dan Sekolah Menengah
 Sultan Ismail adalah lulusan dari Institut Teknologi Mara dan
 mempunyai Diploma dalam Tasawur Islam.

 Persidangan dewan hari ini juga meluluskan dua rang
 undang-undang - Enakmen Perbekalan (2000) 1999 yang
 dibentangkan oleh Menteri Besar Haji Abdul Hadi Awang dan
 Enakmen Perbekalan Tambahan (1999) (No.2) 1999.

 Dewan yang bersidang selama empat hari bermula 20 Dis lepas
 turut meluluskan lima usul - peruntukan perbelanjaan Rancangan
 Pembangunan Negeri bagi Tahun 2000, peruntukan dari Kumpulan
 Perbekalan Air Negeri bagi Tahun 2000, peruntukan dari Kumpulan
 Wang Pembangunan Negeri untuk Perbelanjaan Rancangan
 Kemajuan Negeri bagi Tahun 1999, melantik Jawatankuasa Hak dan
 Kebebasan Dewan Undangan Negeri dan melantik Jawatankuasa
 Kira-kira Wang Negeri.

 Persidangan Dewan ditangguhkan ke satu tarikh yang belum
 ditetapkan.