PELAKSANAAN UNDANG-UNDANG SYARIAH TERTAKLUK
 KEPADA PERLEMBAGAAN
 
 KUALA TERENGGANU, 9 Dis -- Pelaksanaan
 Undang-undang Syariah di Terengganu akan tertakluk kepada
 peruntukan yang terdapat di dalam Perlembagaan Persekutuan
 kerana negara mengamalkan sistem pemerintahan persekutuan.

 Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Dakwah dan Pelaksanaan
 Syariah negeri Haji Harun Taib berkata kerajaan negeri hanya
 mampu melaksanakan perkara-perkara yang tertakluk di bawah
 bidang kuasa negeri.

 "Pelaksanaan Undang-undang Syariah di Terengganu juga tertakluk
 kepada kerajaan pusat sendiri kerana negara ini mengamalkan
 sistem persekutuan dan setiap perubahan tertakluk kepada
 peruntukan di dalam Perlembagaan Persekutuan.

 "Cuma yang mampu kita jalankan ialah perkara-perkara yang di
 bawah bidang kuasa kerajaan negeri yang sedikit...InsyaAllah kita
 akan laksanakan sedikit masa lagi," katanya di sini hari ini.

 Beliau berkata sistem perundangan Islam belum dihayati
 sepenuhnya di negara ini dan masih banyak yang perlu diperbaiki
 jika ingin melaksanakannya di sesebuah negeri di Malaysia.

 Pas dalam manifestonya pada pilihan raya umum lepas
 menggariskan untuk mendaulatkan sebuah pemerintahan yang
 berasaskan Al-Quran dan As-Sunnah dan memberi kuasa
 perundangan kepada undang-undang Syariah dengan
 melengkapkan Mahkamah Syariah dengan pentadbiran
 undang-undang jenayah dan sivil.

 Sementara itu, beliau berkata sistem pendidikan di Taman
 Bimbingan Kanak-kanak (Tabika) yang dikendalikan Jabatan
 Kemajuan Masyarakat (Kemas) di Terengganu akan diselaraskan
 mengikut ketetapan yang dibuat oleh kerajaan Pas negeri mulai
 bulan depan.

 Harun berkata dengan itu semua guru Tabika akan diberikan
 latihan yang lebih menjurus kepada sistem pendidikan Islam.

 "Kita akan selaraskan semua aktiviti kanak-kanak di Tabika
 daripada segi kurikulum dan ko-kurikulum mengikut Taman
 Bimbingan Kanak-kanak di Yayasan Islam Terengganu dan Yayasan
 Pembangunan Keluarga Terengganu," katanya.

 Beliau berkata jika dahulu sistem pendidikan di Tabika lebih
 memberatkan kepada nyanyian dan sebagainya, kini tumpuan akan
 diberikan kepada ajaran mengenai akhlak, doa-doa dan lagu-lagu
 nasyid untuk membentuk muslim yang sejati.

 "Bagaimanapun, penyelarasan itu tidak lari daripada konsep asal
 Tabika itu sendiri iaitu untuk memberi pendidikan awal kepada
 kanak-kanak sebagai persediaan sebelum memasuki sekolah
 rendah," katanya.

 Harun berkata penyelarasan itu tidak melibatkan Pusat Asuhan
 Tunas Islam (Pasti) yang dikendalikan PAS.

 Beliau berkata penyelarasan itu diharap dapat memenuhi matlamat
 kerajaan membina insan serta melahirkan generasi yang berakhlak,
 beriman dan bertaqwa.