TERENGGANU DARUL IMAN
MEMBANGUN MENURUT ISLAM

TERUSKAN JIHAD DEMOKRASI

Oleh TARMIZI MOHD JAM

Kuala Lumpur, Khamis 27 Julai: Ahli-ahli dan para penyokong PAS serta Barisan Alternatif diseru meneruskan perjuangan melalui wadah demokrasi dan system berpilihanraya sebagai pendekatan untuk menumbangkan Barisan Nasional di negara ini. Melalui kaedah ini, PAS yakin, rakyat  tidak akan teragak-agak untuk memangkah BA dan menumbangkan BN pada pilihanraya umum akan datang.

“Mahathir sebenarnya bimbang dengan sokongan baru rakyat Malaysia terhadap pakatan Barisan Alternatif. Sebab itu, gabungan ini mesti dipecahkan dengan menimbulkan isu-isu yang boleh mencurigakan antara satu sama lain,” tegas Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Salehuddin Ayub ketika memulakan ceramah di Markaz PAS Pusat, Taman Melewar, semalam.

Katanya, melalui wadah demokrasi ini, kekuatan kerajaan BN telah mula goyang dan rakyat dari hari ke hari terus celik politik dan menolak pemimpin Umno yang korap, serta menghina Islam di negara ini.

Beliau mempertegaskan soal meneruskan perjuangan cara demokrasi untuk menolak dakwaan Mahathir dengan mengaitkan PAS sebagai “dalang” perompakan kumpulan Al-Ma’unah yang “kununnya” inginkan penegakkan Negara Islam secara bersenjata.