PAK LAH, BENARKAN KAMI"BERSUARA"
Komentar: Tarmizi Mohd Jam

 

Apakah masih ada harapan untuk orang-orang seperti kami, penulis-penulis politik “second opinion” ini mewarnakan akhbar sendiri atau majalah acuan sendiri sekiranya borang permohonan permit dihulurkan kepada KDN.

KDN di bawah Pak Lah yang menjadi menterinya, sudah tentu berkuasa penuh untuk menolak apa sahaja permohonan baru bagi mendapatkan “Permit Penerbitan” (PP) itu, tanpa mengemukakan sebarang alasan. Bagi KDN, alasan itu tidak penting kerana mereka beranggapan pemohon tidak perlu tahu, mengapa permohonan mereka itu ditolak. Atau juga, KDN berpendapat, setiap permohonan yang ditolak itu “alasannya” amat mudah difahami, ia tidak sealiran dengan elit Umno dan kerajaan yang memerintah.

Seperti juga, KDN berkuasa penuh menarik balik permit atau mengharamkan penerbitan yang tidak sealiran dengan mereka, betapa lagi mudahlah kerja-kerja mereka untuk menolak permohonan yang diketahui latar-belakang pemohonnya tidak mendokong aspirasi elit Umno.

Mengapa tidak kerajaan dan KDNnya bersikap lebih terbuka dan professional dalam menangani isu ini. Para penulis politik atau sesiapa sahaja, secara umumnya, berhak diberikan Permit Penerbitan (PP) untuk diusahakan oleh mereka dalam sebuah negara yang aman, damai dan  tertakluk kepada undang-undang. 

Banyak pihak merasa kesal dengan “gaya” KDN mendepani isu ini. Penolakan beberapa permohonan permit oleh proksi PAS seperti yang dinyatakan oleh Suria Janib adalah bukti betapa “pilih kasih” wujud atas nama undang-undang. Begitu juga episod ngeri, pengharaman majalah Detik kemudiannya disusuli “sekatan” terhadap Harakah menerbitkan lidah rasmi Pas dari lapan kali sebulan kepada dua kali sebulan, iaitu suatu larangan atas nama undang-undang yang “terpaksa” diikuti.

Hingga kini, bayang permit untuk akhbar tabloid “Purnama” yang dipohon oleh PAS, tidak muncul dan memang diyakini ianya tidak semudah itu untuk diberikan oleh Pak Lah. Malah tabloid “Eksklusif” yang ada sedikit sebanyak berbau “alternatif” turut “digam” permitnya dari diperbaharui semula.

Penggeledahan terbitan tidak berkala yang diterbitkan oleh Lutfi Othman dan Suria Janib juga memberi iktibar kepada para penulis politik di negara ini, tentang “sekatan” nekad KDN terhadap terbitan tanpa permit. Sekali lagi, isu “terbitan tidak berkala” yang dihalalkan oleh undang-undang itu, “ditutup” sebelah mata oleh KDN. Sebaliknya, terus meniupkan “kununnya” pengeledahan itu dilakukan terhadap penerbitan tanpa permit. Sekali lagi tindakan atas nama undang-undang digunakan bagi menyelamatkan elit Umno!

Apa salahnya, terbitan tidak berkala seperti “Haraki”, “Reformis” dan “Alternatif”? Ia diterbitkan sekali untuk satu terbitan dan bukannya berkali-kali seperti “hmi” atau “analisa” (kedua-duanya jelas tidak ada permit penerbitan tetapi diterbitkan lebih dari sekali malah “hmi” sudah lebih dari lima kali terbit). Malangnya, tidak ada tindakan diambil oleh KDN!

KDN patut menjelaskan kepada umum apa yang tersirat dalam Akta Penerbitan dan Mesin Cetak, yang jelas membenarkan “terbitan tidak berkala” tidak perlu mendapatkan permit penerbitan. Selagi ianya tidak jelas, terbitan jenis ini akan muncul lebih banyak lagi, sehingga ianya menjadi “mengli” dan KDN sendiripun akan merasa “jemu dan bosan” untuk mengadakan operasi terhadap terbitan jenis ini.

Berilah kami “suara” dan benarkanlah kami mendapatkan Permit Penerbitan. Majalah ataupun akhbar tabloid. Gunakanlah kebijaksanaan dan profesionalisme yang selama ini  menjadi “piagam” KDN dan kerajaan Malaysia  dalam bertindak dan menguruskan pentadbirannya. Pak Lah tidak perlu takut dengan kehadiran kami. Siapalah kami, berbanding syarikat dan penulis tersohor yang lebih tajam penanya memuja dan memuji Umno dan Barisan Nasional. 

KDN tidak perlu khuatir, bimbang atau gerun dengan pena tajam kami, kerana di sana terdapat undang-undang yang lebih “tajam” mengikat dan menyekat kami untuk bersuara lantang. Biarlah majalah atau akhbar kami diterbitkan sekali sahaja, kiranya ia “:menjejaskan” elit Umno dan kerajaan, kami tetap “bangga” profesionalisme KDN memberikan permit penerbitan itu kepada kami.

Soalnya, kami tidak pernah diberi peluang untuk menerima permit itu, sekalipun sudah dipohon berkali-kali. Mereka yang dapat, kalau dianalisa, adalah mereka yang lebih rapat dengan elit Umno, dan mereka bukan dari latar belakang wartawan persuratkhabaran, namun berpeluang dan berpeluang. Sedangkan kami, terjerit-jerit melolong menulis dalam keadaan serba dhaif (tidak berpermit) kemudian dikejar KDN!

Sudah hancurkah idealisme dan profesionalisme KDN, hingga sanggup menafikan permohonan permit dari kalangan kami, penulis politik kelas dua yang membawa misi “second opinion” massa di negara ini?

Jika KDN terus “menafikan” hak kami untuk “bersuara lantang” melalui akbar dan majalah, mungkin setiap penulis politik di negara ini (pro second opinion), boleh membina dan melancarkan pena tajam mereka melalui laman web masing-masing atau menyediakan web TV, yang sudah tentu terlepas dari cengkaman KDN. 

Web TV Harakah, sebagai contohnya, mendapat sambutan “luar biasa” dari pelayar internet dalam mendapatkan maklumat terkini mengenai parti itu dan ulasan politik tanahair yang muktakhir. Ini, permulaan bagi “pertarungan” kumpulan berpandangan kedua dengan “sekatan” KDN di pihak kerajaan dan elit Umno.

Pendekatan baru melalui internet ini, pasti menjanjikan masa depan yang lebih cerah terhadap proses “penyampaian” maklumat dan komentar semasa pada masa depan. Kempen kerajaan, “sebuah rumah satu komputer” menjadi pemangkin berkesan untuk merintis cadangan tadi dan pada masa depan,  sudah tentu masyarakat yang celik komputer dan “kebebasan” mendapatkan maklumat dari saluran internet ini akan mematikan terus cengkaman KDN, agaknya!