TERENGGANU DARUL IMAN, 
 

 

Umno Tidak Relevan Untuk Selamatkan Bangsa, Agama & Tanahair
Interbiu Oleh TARMIZI MOHD JAM

Muqqadimah: Orang Melayu jelas menolak Umno dalam pilihanraya umum lalu. Mereka tidak yakin lagi pemerintahan Dr. Mahathir Mohamad. Halatuju Umno kini sudah menyimpang jauh dari matlamat asal penubuhannya. Apa yang jelas Umno sudah dirosakkan dari kerosakan dasar dan prinsipnya. Perjuangan terhadap bangsa, tidak lagi mencipta teras malah agama terus dipermain-mainkan untuk mengabui mata umat Islam. Ikuti pandangan ringkas tokoh PAS yang berjaya menumbangkan Menteri Hal Ehwal Pengguna, Datuk Megat Junid Megat Ayub di Parlimen Parit iaitu YB Ustaz Basir Rahmat yang sempat diinterbiu oleh Editor, Tarmizi Mohd Jam di ruang lobi parlimen baru-baru ini untuk makalah isu MEMO: Umno 2000 Untuk Dijual?

Tarmizi Mohd Jam: Apa komen YB Ustaz terhadap Umno setelah parti itu ditolak oleh orang-orang Melayu dalam pilihanraya umum lalu?

Ustaz Basir Rahmat: Nampaknya, Umno dibawah teraju Dr. Mahathir sudah kelihatan letih, seolah-olah menunggu masa untuk “rebah” menyembah bumi. Dr. Mahathir telah berjaya membawa Umno jauh menyimpang dari landasan perjuangan asal. Tidak sebagaimana dulu, Umno kini kelihatan muflis dari segi idea perubahan dan pembangunan ummah. Dalam kamus Umno sudah tidak ada rangka kerja yang sesuai untuk dijadikan model pembangunan rakyat. Kamus terkini Umno dipenuhi istilah-istilah kronisme, nepotisme, rasuah, politik wang, penyelewengan, salah laku, keruntuhan akhlak dan moral, gejala sosial. Malah hampir semua istilah pemusnah terkumpul dalam Umno hari ini.

Kemenangan besar PAS baru-baru ini, sekaligus telah berjaya menenggelamkan kepercayaan rakyat terhadap “khurafat akhbar” kononnya hanya Umno sahaja yang boleh memerintah negara ini…

Memang, Dr. Mahathir seringkali mendabik dada mengatakan kononnya hanya Umno satu-satunya parti yang memperjuangkan agama, bangsa dan negara. Umno sahaja yang boleh memerintah negara ini. Dia kata hanya Umno pejuang bangsa Melayu. Umno juga adalah parti Islam terbesar dalam negara dan ketiga di dunia. Itu kata dia. Umnolah juga yang bertanggungjawab mempertahankan kedaulatan negara. Lagu tema Setia yang sering didendangkan melalui media elektronik milik kerajaan saban hari jelas menyimpulkan bahawa perjuangan kerajaan Malaysia yang kini diterajui oleh Umno adalah untuk kepentingan agama, bangsa dan negara. 
Pemimpin Umno dulu dan sekarang berjaya menanamkan kepercayaan ini. Kita menggelarnya sebagai “khurafat akhbar” atau fahaman tahyul yang direka-reka untuk kepentingan politik mereka.  Seolah-olah parti lain tidak berkemampuan untuk memerintah. Hanya Umno sahaja yang boleh!
Apa yang kita tengok, setelah hampir 46 tahun memerintah, Umno semakin jelas gagal mencapai apa yang diperjuangkannya selama ini. Malah semakin banyak bukti-bukti bahawa perjuangan Umno dibawah Dr. Mahathir kini sudah jauh menyimpang daripada mempertahankan agama, bangsa dan tanahair. 

Benarkah Umno gagal bertindak atau berperanan untuk membela Islam di negara ini?

Terdapat banyak petanda untuk membuktikan kegagalan Umno dalam hal ini. Sikap dan pandangan pemimpin Umno terhadap hukum Islam ada yang terang-terang menolak pelaksanaan hukum syariah di Kelantan. Malah dalam sistem hidup keseluruhannya, Umno mencabul kemuliaan hari Jumaat sebagai cuti mingguan malah tidak pernah meletakkan kerja-kerja memartabatkan agama sebagai agenda perjuangan. Sikap jengkel Dr. Mahathir terhadap ulama juga tidak boleh disembunyikan lagi. Bagi Dr. Mahathir,  agama bukan hanya milik ulama. Barangkali dia mahu, dia juga digelar ulama, kerana ulama baginya bukan seorang yang alim dalam bidang agama, tetapi juga meliputi bidang-bidang yang lain. Hakikat ini, mendorong Dr. Mahathir mengeluarkan fatwa dan tafsiran sendiri yang kerap bertentangan dengan ajaran Islam. Bahkan, beliau pergi lebih jauh dengan  menghina beberapa aspek ajaran Islam itu sendiri.
Pada saya, Umno sudah tidak ada ruang untuk menyuarakan Islam dari dalam.  Kalau ada orang yang mengatakan masih ada, orang itu sebenarnya telah menipu diri sendiri dan sudah “ketinggalan keretapi”. Kalau ulamanya masih adapun, dia diperintah dan menjadi pak turut kepada pemimpin sekular. Bercakap hanya dalam ruang lingkup yang dipersetujui oleh pemimpin tertinggi parti, sekalipun terpaksa menyembunyikan kebenaran. 
Sejarah membuktikan bahawa Pengerusi Biro Agama Umno, Tuan Haji Ahmad Fuad, seorang ulama yang menentang penubuhan Loteri Kebajikan Masyarakat, terpelanting keluar dari Umno sehingga memaksa beliau menubuhkan PAS bagi meneruskan perjuangan.
Kalau di luar Umno pula, tokoh ulama dikekang. Masjid dan surau cuba “ditutup” dengan mengatakan ia menjadi sarang PAS. Tengok apa yang berlaku terhadap bekas Mufti Selangor, Ustaz Ishak Baharom yang mempertahankan tindakan JAIS menahan tiga peserta ratu cantik. Bahkan para ahli panel Forum Perdana Ehwal Islam juga turut ditapis agar bercakap hanya dalam ruang lingkup yang hanya diluluskan oleh pemimpin Umno. Pendekata, Umno berusaha sedaya mungkin agar bukan sahaja partinya, malah kerajaannya dan televisyennya tidak bersuara dengan suara Islam sebenarnya.

Isu murtad patutnya ditangani secara serius oleh Umno. Tetapi nampaknya, mereka cuba mengelak dan memberikan pelbagai alasan. Mengapa ini terjadi? Sedangkan mereka mendakwa perjuangannya untuk menegakkan agama?

Umno sebenarnya tidak sensitif. Tidak ada penghinaan yang lebih dahsyat dan menyayat perasaan umat Islam selain daripada gejala kemurtadan yang berleluasan sekarang. Pernah Setiausaha Pemuda Umno dulu, Saifuddin Nasation dalam akhbar Berita Harian bertarikh 22 Mac 1998 mendedahkan bahawa kegiatan memurtadkan umat Islam terutamanya perempuan dilakukan secara terancang oleh kumpulan tertentu melalui saluran mahkamah dengan menggunakan peruntukan undang-undang di bawah perkara “kebebasan beragama”. Soal murtad, dibuat macam perkara remeh-temeh. Mereka mempermain-mainkan sahaja…

Bukankah PAS pernah menyuarakan hal ini dalam Parlimen …

Ya! Memang ada. PAS melalui Tuan Guru Haji Abdul Hadi juga pernah mengemukakan usul di Parlimen agar dibahaskan perkara yang berkaitan dengan murtad tetapi Parlimen ayng dikuasai Umno itu telah menolak mentah-mentah usul berkenaan atas alasan ianya tidak perlu disegerakan.  Cubaan kedua PAS ialah dengan mengemukakan lima Rang Undang-Undang Murtad untuk diluluskan Parlimen tetapi ditolak juga. Apa yang nyata, tidak ada seorangpun menteri yang beragama Islam dalam Umno rela tampil mengemukakan rang undang-undang berkenaan untuk dibahaskan.
Dalam hal ini, ternyata pemimpin Umno sehingga kini gagal berbuat apa-apa bagi membendung gejala murtad dari berterusan. Sebaliknya, undang-undang yang memberi ruang untuk Islam dimurtadkan “secara sah” , terus dijunjung oleh mereka. Malah mereka tidak malu menolak usaha untuk mewujudkan  undang-undang anti-murtad, dengan menyatakan kononnya “ianya tidak perlu disegerakan”.

Asas bagi perjuangan Umno adalah untuk memperjuangkan nasib orang Melayu. Bagaimana YB Ustaz melihat Umno hari ini? Apakah perjuangan itu menepati pada realiti sebenar atau hanya menjadi “topeng” untuk mengelirukan orang Melayu bagi mendapatkan kuasa dan seterusnya menguasai “kekayaan”? 

Pada prinsipnya, Umno adalah parti yang memperjuangkan kebangsaan Melayu. Betapa taksubnya Umno kepada istilah Melayu, sehingga ia merasakan hanya Umno sahaja, satu-satunya parti orang Melayu yang benar-benar memperjuangkan martabat bangsa Melayu di negara ini. Sebab itu, pemimpin-pemimpin Umno sering mendakwa kononnya jika Umno/BN kalah dalam pilihanraya, kuasa politik orang Melayu akan terhakis. 
Memang agenda utama Umno adalah untuk mempertahankan ketuanan Melayu.  Tetapi sejarah telah menunjukkan ianya pernah gagal. Kuasa pegangan politik bangsa Melayu, sama ada diperingkat Persekutuan mahupun negeri-negeri, sebenarnya makin merosot. Ini berlaku apabila Umno menyerahkan kerusi yang asalnya ditandingi oleh calon Melayu kepada parti kerabat BN yang bukan Melayu. Contohnya dalam pilihanraya umum 1990 sahaja, sebanyak 37 kerusi parlimen dan Dun majoriti pengundinya Melayu telah diserahkan oleh Umno kepada parti kerabatnya untuk ditandingi oleh calon-calon bukan Islam. Jumlah itu termasuklah 13 kerusi parlimen dan 24 kerusi Dun, dan ini tidak termasuk kerusi-kerusi seumpama itu yang sudahpun ditandingi calon bukan Melayu dari BN sebelum ini.
Apa yang penting bagi Umno, ialah untuk mendapatkan “kuasa” tanpa menghiraukan jumlah kerusi yang telah diberikan kepada rakannya itu, tidak akan dapat diambil balik oleh mereka.  Jika benar, Umno mahu pertahankan ketuanan Melayu, kawasan parlimen dan Dun Melayu tidak sepatutnya diserahkan kepada orang bukan Melayu.

Apakah YB Ustaz setuju, bahawa Umno sebenarnya telah banyak menghakis Hak-Hak Istimewa Orang Melayu…

Penghakisan Tanah Rizab Melayu yang begitu berleluasa dan tidak diganti semula, adalah bukti yang tidak mampu disembunyikan oleh Umno. Ini kerana Umno seolah-olah “merestui” Hak Istimewa Orang Melayu termasuklah Tanah Rizab Melayu ini dihapuskan. Itulah yang dapat difahami dari mesyuarat mereka beberapa tahun dulu. Dr. Mahathir pernah menghina kewujudan Tanah Rizab ini dan Hak Istimewa Orang Melayu, kemudian diberi tepukan gemuruh oleh para perwakilan Umno. Kata Mahathir, konsep Tanah Rizab ini akan menjadikan orang Melayu sama taraf dengan Red Indians di Amerika Syarikat yang terpaksa hidup atas belas ihsan Indians Reserves.
Keterlanjuran Mahathir mencabar kedaulatan Raja-Raja Melayu juga suatu yang sangat terserlah.  Apabila imuniti mereka dicabut, Raja-Raja sudah tidak ada kuasa, malah terpaksa tunduk kepada “nasihat” PM atau MB masing-masing. Perjuangan Umno untuk mendaulatkan Bahasa Melayu juga sebenarnya “cakap tidak serupa bikin”. Stesen TV dan radio semakin galak menggunakan bahasa selain Melayu sebagai medium komunikasi. Universiti dan Kolej pula digalakkan menggunakan Bahasa Inggeris.
Perlakuan-perlakuan tidak bertanggungjawab Umno terhadap bangsa Melayu yang menjadi teras perjuangannya itu, menyebabkan semakin ramai orang Melayu hilang kepercayaan terhadap Dr. Mahathir dan parti Umno. Perjuangan Umno sebenarnya sudah tidak relevan lagi dengan pembelaan bangsanya sendiri. Maka tidak hairanlah, dalam pilihanraya lalu, orang Melayu mula menolak Umno dan mendekati PAS khususnya. Saya percaya, dalam pilihanraya umum akan datang juga, BA akan tetap menjadi alternatif kepada rakyat untuk meneruskan kesinambungan pemerintahan negara ini. Umno sebenarnya sudah hilang sakti dari lampu aladdinnya.