TERENGGANU DARUL IMAN
MEMBANGUN MENURUT ISLAM

TOK GURU AJAR SAYA TENTANG KEADILAN ISLAM

Oleh TARMIZI MOHD JAM

Kuala Lumpur, Khamis 27 Julai: Pemimpin Umno dalam Barisan Nasional tidak pernah “mengajar” orang-orang India yang bernaung di bawah komponen itu,  tentang kebaikan al-Quran dan keadilan Islam. Malah, tidak pernah membacakan apa-apa ayat suci al-Quran untuk diterjemah kepada mereka.

“20 tahun saya berada dalam BN, tak pernah dengar pemimpin Umno baca ayat Quran pada saya. Tapi, bila saya masuk KeAdilan dan kawan sama PAS, Tok Guru Haji Hadi bacakan ayat Quran pada saya dan terangkan keadilan dalam Islam,” tegas Gobalakrisnan, berbangsa India yang kini Penolong Setiausaha Pemuda KeAdilan.

Ketika berceramah kepada lebih 5,000 hadirin di Markaz PAS Pusat, Taman Melewar, semalam, Gobala menyifatkan keadilan Islam telah terbukti di bawah pemerintahan Tok Guru Nik Aziz di Kelantan yang jelas membela nasib orang-orang India dengan memberikan geran tanah kepada mereka yang miskin. Tetapi, jelas beliau, BN tidak pernah membantu orang-orang India sebaliknya hanya banyak “bercakap” tentang untuk membantu mereka.

Beliau yang fasih berbahasa Melayu, mencabar BN membuktikan terdapatnya kuil-kuil Hindu di Kelantan yang dirobohkan oleh kerajaan Tok Guru Nik Aziz, sebagai bukti kononnya, pemerintahan Islam ala PAS menindas orang bukan Islam. Tetapi jelas beliau, di bawah kerajaan BN, banyak kuil-kuil Hindu telah dirobohkan dengan sewenang-wenangnya oleh penguasa mereka di seluruh negara.

Gobala kagum dengan “persaudaraan” yang ditujukkan oleh Kepimpinan Ulama dalam PAS, yang tidak meminggirkan warna kulit atau bangsa. Sebaliknya, semua orang akan diperlakukan secara adil. Inilah katanya, yang telah menyebabkan orang-orang India dan Cina di Kelantan dan Terengganu memangkah PAS dalam pilihanraya umum lalu.

“Ini yang Mahathir takut. Orang Cina dan India bagi undi pada BA. Di Lukut, undi Cina menangkan Roslan Kasim di Dun itu. Orang Cina juga bagi undi pada PAS di Kajang,” tegas beliau ketika mengulas isu Tragedi Sauk yang cuba mengheret PAS dan pembangkang sebagai “dalang”, untuk menakut-nakutkan orang-orang Cina dan India dari terus menyokong BA.