TERENGGANU DARUL IMAN
MEMBANGUN MENURUT ISLAM

TRAGEDI SAUK:
UNDI PAS MENINGKAT 10 KE 15 PERATUS

Oleh TARMIZI MOHD JAM

Kuala Lumpur, Khamis 27 Julai: Kesan dari Tragedi Sauk yang dibesar-besarkan oleh Dr. Mahathir Mohamad dan permainan berat sebelah akhbar dan media elektronik  pro pemerintah, telah meningkatkan sokongan rakyat terhadap PAS antara 10 ke 15 peratus berbanding sokongan dan undi yang diterima oleh parti itu dalam pilihanraya umum lalu.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Haji Muhamad Sabu menyifatkan sokongan baru ini telah membimbangkan Mahathir dan para pemimpin Umno terhadap sikap orang-orang Melayu yang sudah tidak mempedulikan lagi “keterangan” dan “ugutan” Perdana Menteri berkenaan Tragedi Sauk yang penuh misteri itu.

“Saya percaya, jika pilihanraya diadakan sekarang, undi PAS akan meningkat antara 10 ke 15 peratus lagi berbanding undi yang diterima dalam, pilihanraya umum lalu,” tegas beliau sewaktu berceramah kepada kira-kira 5,000 penyokong BA, di Markaz PAS Pusat Taman Melewar, Gombak, semalam. Turut berceramah, Naib Ketua Pemuda PAS, Salehuddin Ayub dan Penolong Setiausaha Pemuda KeAdilan, Gobalakrisnan. Penyajak terkenal, Dinsman turut mengalunkan dua puisi reformasi.

Rakyat negara ini, kata Haji Muhamad Sabu, telah tidak percaya dengan apa yang dibawa oleh Mahathir sendiri berkenaan Tragedi Sauk. Mereka bukan sahaja tidak mengendahkan penjelasan pihak kerajaan sebaliknya “mempersenda-sendakan” hal demikian, sesuatu yang amat tidak diharapkan oleh Mahathir pada waktu ini.

Sikap rakyat yang  mula mengerumuni ceramah-ceramah PAS di seluruh negara sejak isu Al-Ma’unah diperbesar-besarkan oleh Presiden Umno itu, membuktikan PAS terus didokong dan disokong oleh rakyat dengan menolak “tohmahan” Mahathir, Pak Lah, Najib, Hisyamuddin dan para pemimpin Umno lainnya, yang cuba mengaitkan tragedy itu dengan PAS.

“Beberapa hari lalu, saya seorang, berceramah di kawasan Dollah Bedawi. Kutipan derma lebih RM10 ribu ringgit. Ini kawasan kampung. Mana ada duit sebanyak itu. Maknanya, kehadiran pada malam itu hampir 30,000 orang,” jelas beliau.

Beliau menambah, akibat dari “kekeliruan” yang ditimbulkan oleh semua media pro pemerintah mengenai tragedy ini, rakyat seolah-olah diperbodoh-bodohkan dengan pelbagai fakta yang bercanggah antara satu sama lain.

Sambutan terhadap ceramah-ceramah PAS di seluruh negara kian meningkat sejak PAS cuba dikaitkan oleh Umno sebagai “dalang” yang berselindung di sebalik perompakan senjata di Grik baru-baru ini. Dalam peristiwa itu, Mahathir begitu marah apabila rakyat tidak mempercayai penjelasan pihak kerajaan terhadap apa yang berlaku, sebaliknya menganggap tragedy itu sebagai satu “sendiwara”.