TERENGGANU DARUL IMAN

Sedetik Bersama Tuanku

Patik hamba rakyat menjadi bingung dan pelik tentang kriteria yang diambil kira oleh pihak Istana Tuanku sebagai syarat
kelayakan seseorang yang patut untuk dianugerahkan pingat kebesaran Tuanku. Perkara ini timbul berikutan beberapa orang yang
telah tidak disenangi rakyat kebanyakan telah dimasukkan ke dalam senarai utama penerima pingat kebesaran tuanku. Bahkan ada
dikalangan mereka itu ialah bukan saja ditolak oleh rakyat tetapi telah ditolak oleh Perdana Menteri sendiri. 

 Misalnya Mohamad Rahmat dan Sanusi Joned sebagai contoh, mungkin contoh yang paling klasik ialah Sanusi Joned. Patik rakyat
sekalian heran tentang kriteria pemilihan, lebih-lebih lagi Sanusi Joned masih dalam kontroversi “tendangan”nya ke atas kakitangan
KLIA. Mungkin tidak keterlaluan sekiranya patik rakyat di luar istana tuanku ingin tahu kriteria utamanya. 

Kalau nak dibandingkan dengan Ummi Hafilda dan Azizan Abu Bakar misalnya, mereka sememangnya manusia yang luar biasa
jasanya kepada negara dan kerajaan berbanding dengan senarai utama penerima anugerah dihari kebesaran tuanku yang baru lalu,
bahkan mungkin tahta tuanku pun diselamatkan oleh dua manusia agung itu dari dijajah semula oleh penjajah asing. Mohamad
Rahmat dan Sanusi Joned tidak sepandai Ummi dan Azizan. Mungkin elok kalau patik ingatkan semula tuanku bahawa dua orang
bekas menteri kanan Perdana Menteri dan bekas Timbalan Perdana Menteri (DSAI) tidak tahu bahawa DSAI adalah tidak layak
menjadi Perdana Menteri dan disamping itu pula apabila Ummi dan Azizan tampil mengatakan DSAI adalah pengkhianat pun
mereka senyap sunyi tak kata apa-apa. Kalau kriteria berani di ambil kira, siapakah diantara mereka yang berani?. 

Patik diluar sini tidak ada apa-apa kepentingan pun di atas penganugerahan pingat utama tuanku itu, tetapi apabila patik
mengenangkan kempen yang kerajaan buat tentang jatidiri dan kempen anti penjajahan asing, dengan kepala otak patik yang tidak
secanggih mana ini diluar sini fikir seolah-olah ada kaitan rapat dengan fungsi yang dimainkan oleh Ummi Hafilda dan Azizan Abu
Bakar terhadap kempen “Negara” yang dilancarkan oleh kerajaan itu. Seolah-olah orang lain kecuali Ummi dan Azizan serta
beberapa orang yang rapat dengan Perdana Menteri saja yang ada jatidiri itu dan faham akan maksud erti penjajahan asing.
Bahkan Mohamad Rahmat, Sanusi dan Megat Joned pun ikut apa yang Ummi dan Azizan dah kata dulu. 

Mungkin kalau ditanya kepada patik apakah anugerah yang sesuai untuk Ummi Hafilda dan Azizan Abu Bakar, rasanya patik akan
jawab anugerahnya tentulah yang tertinggi dikalangan yang tertinggi, yang terbesar dikalangan yang terbesar, teragung dikalangan
yang teragung. Bahkan dalam loghat kampung, Tuhan saja yang tahu anugerahnya......... Tetapi, diperingkat Istana Tuanku, masih
adakah pingat yang tertinggi setakat ini yang masih belum berjaya untuk dianugerahkan kepada rakyat jelata sekalian ini?. Kalau
belum ada, patik fikir, moleklah pingat itu dianugerahkan kepada Ummi dan Azizan. Bahkan Perdana Menteri yang terkenal
hebatnya itu pun rasanya tidak terbanding dengan kehebatan Ummi dan Azizan Abu Bakar. Sesuai dikatakan bahawa dimana ada
Ummi disitu ada kejayaan Umno(baru). Semalam Isa Samad meraikan kemenangan Umno(baru)/BN di Teluk Kemang pun Ummi
Hafilda ada - Jarang orang yang muflis seperti dia berani berada ditempat penting seperti itu. Kalau tuanku tidak percayakan patik,
sila rujuk kepada Buletin Utama TV3 semalam 11.6.2K. 

Patik bukan hendak mempertikaikan tentang pemilihan penerima anugerah pingat kebesaran tuanku, tetapi sebagai rakyat, patik
tidak mahu lihat Istana tuanku “tidak adil” kepada pejuang bangsa dan negara. Mungkin kalau tuanku menawarkan pingat utama
tuanku itu kepada Ummi dan Azizan secara peribadi, patik rasa, sebagai “makhluk semulia mereka”, mereka akan merendahkan
diri serendah-rendahnya kepada tuanku dan merelakan anugerah itu tidak diberikan kepada mereka, namun, dari mata kasar rakyat
dan dengan sifat perihatin perihatin terhadap negara dan bangsa, anugerah itu patut untuk Ummi Hafilda dan Azizan Abu Bakar. 

Nanti apa pula kata perdana menteri, semua senarai utama anugerah tuanku itu sebenarnya telah memberikan masalah kepada
kerja-kerja perdana menteri berbanding dengan Ummi Hafilda dan Azian Abu Bakar. Orang mulia disisi perdana menteri tidak
dimasukkan ke dalam senarai tuanku tetapi sebaliknya orang lain yang memberikan masalah kepada perdana menteri dimuliakan
oleh istana tuanku, lalu sekali lagi patik diluar sini kuatir dengan persefahaman Istana Tuanku dengan Istana di Putra Jaya. 

MURAMOZI