Make your own free website on Tripod.com
PREMIS JUDI DI TERENGGANU MESTI DITUTUP
 DALAM TEMPOH DUA BULAN
 
 KUALA TERENGGANU, 29 Dis  -- Kerajaan PAS
 Terengganu memberi masa dua bulan untuk premis-premis
 perjudian empat nombor ekor dan Sports Toto di negeri ini
 menutup operasi masing-masing, kata Setiausaha Kerajaan Negeri,
 Datuk Mazlan Hashim.

 Menurutnya secara rasmi premis-premis perjudian itu ditutup pada
 1 Jan apabila kerajaan negeri mengambil keputusan untuk tidak
 memperbaharui lesen premis mereka yang tamat dua hari lagi.

 Secara rasmi semua premis ditutup pada 1 Jan tetapi kerajaan
 negeri memberi masa dua bulan untuk mereka menyelesaikan
 pelbagai masalah termasuk berkaitan dengan pekerja, katanya di
 sini hari ini.

 Mazlan berkata tempoh dua bulan itu diminta oleh
 pengusaha-pengusaha premis perjudian itu sendiri.

 Isnin lepas, Menteri Besar Haji Abdul Hadi Awang berkata kerajaan
 negeri memerlukan sedikit masa sebelum membuat keputusan
 untuk menutup premis perjudian di Terengganu.

 Terdapat tiga premis perjudian Sports Toto dan dua premis empat
 nombor ekor yang beroperasi di sekitar bandar Kuala Terengganu
 dan satu premis empat nombor ekor di Dungun dengan keseluruhan
 pekerja berjumlah 30 orang.

 Lesen kesemua premis perjudian itu akan tamat tempoh pada 31
 Dis ini. Mazlan berkata kerajaan negeri hanya akan mengambil
 tindakan tegas termasuk meminta bantuan daripada polis dan
 menutup premis berkenaan sekiranya terdapat pengusaha premis
 yang degil dan masih beroperasi selepas Febuari depan.

 Terdahulu, Abdul Hadi yang mempengerusikan mesyuarat Exco di
 sini berkata kerajaan negeri akan menghantar para pegawai ke
 premis-premis perjudian itu untuk berbincang mengenai pekerja
 Islam yang diambil bekerja di situ.