TERENGGANU DARUL IMAN 
MEMBANGUN MENURUT ISLAM
 
 

                    KERAJAAN PAS AKAN SAH PERLANTIKAN AJK MASJID BARU.

                KUALA TERENGGANU 14 Julai - Kerajaan Terengganu menamatkan perkhidmatan
                semua jawatankuasa masjid di seluruh negeri bermula 2 Mei lalu walaupun tempoh
                perkhidmatan mereka sepatutnya tamat pada Jun 2001.

                Arahan mengenai penamatan tersebut diedarkan kepada semua pengerusi masjid
                melalui pekeliling 11 Julai, tanpa mengemukakan sebab tindakan itu diambil.

                Kesemua lebih 4,000 ahli jawatankuasa bagi kira-kira 400 masjid itu dilantik 1 Julai
                tahun lalu semasa kerajaan Barisan Nasional, iaitu hampir empat bulan sebelum
                berlakunya peralihan kerajaan.

                Ekoran arahan itu, segala urusan pentadbiran masjid selepas tarikh tersebut
                terletak di bawah urusan pentadbiran jabatan atau pejabat agama daerah.

                Ketika dihubungi, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Dakwah dan Pelaksanaan
                Syariah, Harun Taib mengesahkan arahan itu.

                Bagaimanapun beliau berkata, ia tidak mempunyai sebarang kaitan dengan politik
                selain memperkemaskan prosedur.

                Katanya, pelantikan yang dibuat sebelum ini tidak disahkan oleh pentadbiran
                kerajaan negeri terdahulu dan pelantikan baru akan disahkan oleh Menteri Besar,
                Abdul Hadi Awang.

                Sementara itu, keputusan yang dibuat agak mengejut dan menimbulkan tandatanya
                kerana pelantikan jawatankuasa itu bagi tempoh dua tahun sepatutnya berakhir
                pada Jun 2001.

                Malah ada pihak yang beranggapan ia merupakan satu 'pembersihan' melibatkan
                kesemua lebih 4,000 ahli jawatankuasa bagi kira-kira 400 buah masjid.

                Dalam tindakan kali pertama seumpamanya, Pesuruhjaya JHEAT, Datuk Nara Setia
                Wan Isa Long dalam pekeliling bertarikh 11 Julai lalu memberitahu, penamatan
                serentak itu sebenarnya telah berkuat kuasa mulai 2 Mei lalu.

                Bagaimanapun menerusi pekeliling yang diedarkan kepada semua pengerusi
                masjid, beliau tidak menjelaskan kenapa penamatan jawatankuasa itu dibuat.

                Menurut Wan Isa, dengan penamatan tersebut, segala urusan pentadbiran masjid
                selepas tarikh tersebut adalah dianggap terletak di bawah urusan pentadbiran
                jabatan atau pejabat agama daerah berkenaan.

                Wan Isa dalam pekeliling itu juga memberitahu, soal pemilihan dan pelantikan
                jawatankuasa baru akan diuruskan oleh pejabat agama daerah.

                Beliau menjelaskan, prosedur dan tarikh pemilihan akan dimaklumkan oleh
                pegawai agama daerah atau wakilnya kepada semua masjid.

                ''Dalam kesempatan ini saya mengucapkan terima kasih kepada pengerusi dan
                ahli jawatankuasa masjid yang telah memberikan khidmat sukarela dalam usaha
                mengimarahkan rumah Allah yang suci ini,'' ujar Wan Isa dalam pekeliling itu lagi.

                Sementara itu menurut sumber, pelantikan jawatankuasa masjid yang baru akan
                dibuat mulai Ogos depan dan kerajaan negeri antara lain turut menambahkan kadar
                elaun mesyuarat ahli jawatankuasa.

                Utusan difahamkan sebelum ini pelantikan setiap jawatankuasa yang melibatkan
                sembilan anggota, dua daripada dipilih oleh anak mukim manakala dua oleh Majlis
                Agama dan Adat Istiadat Terengganu dan lima oleh kerajaan negeri.

                Sebelum ini ada sesetengah jawatankuasa masjid dikatakan mempunyai pendirian
                yang bertentangan dengan pentadbiran negeri.

                Malah ada yang membuat syarat kepada pihak pimpinan politik supaya
                mengisytiharkan hukum masjid kerajaan yang suatu ketika dipulau boleh digunakan
                semula, sebelum dibenarkan menyampaikan khutbah Jumaat.

                Oleh: WAN ZULKIFLI WAN YAACOB