TERENGGANU DARUL IMAN
MEMBANGUN MENURUT ISLAM

WACANA PERPADUAN

TASEK GELUGOR,19 Jun (Hrkh)- Dewan Pemuda PAS Kawasan Tasek Gelugor mengambil daya inisiatif membantu Negeri Terengganu menyalurkan maklumat perkembangan negeri berkenaan dalam program `Wacana Perpaduan' yang akan diadakan pada 2 Julai 2000 bertempat di Sungai Lokan, Butterworth bermula jam 3.00 sehingga 6.00 petang.

Menurut Setiausahanya, Omar Abdullah untuk tujuan tersebut Dewan Pemuda PAS Kawasan menjemput Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Ekonomi, Petroleum, Perindustrian dan Sumber Manusia Negeri, Mustaffa Ali bagi memberikan penjelasan perjalanan pertadbiran dan menangkis fitnah yang sengaja dilemparkan oleh Barisan Nasional (BN).

"Dewan Pemuda PAS Kawasan menjemput semua ahli, penyokong dan rakyat negeri ini bersama-sama menghadiri `Wacana Perpaduan' yang akan disampaikan oleh Exco Kanan Negeri Terengganu merangkap Naib Presiden PAS Pusat, Mustaffa Ali, "tambahnya.

Rancangan program katanya, bermatlamat dua hala supaya rakyat negeri ini sama ada Melayu, Cina dan India boleh mengemukakan soalan berkaitan dasar pemerintahan atau konsep PAS setelah selesai Muktamar Agung ke-46.

Program ini tambah beliau, amat berguna kerana ianya boleh merapatkan kepimpinan dan meluaskan pengetahuan berhubung dua negeri di bawah pemerintahan PAS.

"Kita memberikan peluang rakyat bertukar-tukar pandangan dan bertanyakan apa yang terkilan selama ini sama ada dasar parti atau pemerintahan baru di Terengganu, "katanya.