TERENGGANU DARUL IMAN
MEMBANGUN BERSAMA ISLAM
"BERSAMA MENGISI KEMENANGAN"
tinta_hijau@hotmail.com

Abim gesa perhimpunan secara aman

Kuala Lumpur, 2 Ogos (Hrkh)-Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) menyeru mereka yang akan menyertai perhimpunan pada 4 Ogos ini supaya berhimpun dalam keadaan aman dan tenang.

Presidennya, Ahmad Azam Abdul Rahman berkata, Abim mendokong gesaan yang dilakukan oleh Suruhanjaya Hak Asasi Rakyat Malaysia (Suhakam) agar pihak berkuasa membenarkan perhimpunan aman bagi mendengar secara langsung keputusan perbicaraan Dato' Seri Anwar Jumaat ini.

"Abim juga bersepakat dengan saranan Tan Sri Musa Hitam yang menyeru agar tidak ada unsur-unsur provokatif dari mana-mana pihak yang boleh mendorong suasana tidak aman dan tindakan keganasan," ujarnya dalam kenyataannya di sini hari ini.

Menurutnya, memandangkan hak untuk berhimpun secara aman diakui oleh Perlembagaan Malaysia berdasarkan peruntukan pada Artikel 10(1)(b) dan dibenarkan dalam ketetapan pada Artikel 20 Perisytiharan Hak Asasi Manusia PBB 1948, Abim dengan ini menyeru kepada orang ramai yang ingin menyertai perhimpunan tersebut agar berkeadaan tenang.

Masyarakat, katanya hendaklah menggunakan hak tersebut secara matang dan mematuhi segala nasihat dan peraturan oleh pihak berkuasa.

"Perhimpunan aman tidak harus disalahgunakan untuk melepaskan perasaan yang tidak terkawal yang boleh menjejaskan keamanan perhimpunan tersebut.Pihak berkuasa dan orang ramai hendaklah saling hormat menghormati berasaskan semangat demokrasi di dalam suasana muafakat," ujarnya.

Tegas Ahmad Azam, hak untuk berhimpun secara aman tidak boleh dikaitkan sebagai kegiatan haram yang boleh menjejaskan keselamatan negara.

Rakyat, kata beliau, harus diberi ruang untuk menyatakan aspirasi mereka secara terbuka, apatah lagi di dalam suasanan sekatan yang ketat terhadap hak-hak sebegini sejak kebelakangan ini.

"Detik ini adalah masa terbaik untuk membuktikan kepada dunia bahawa Malaysia sentiasa menghormati prinsip-prinsip demokrasi sebagai teras di dalam sistem pemerintahan negara," katanya.

Sumber : Harakahdaily