ROYALTI MINYAK TERENGGANU – JANGAN HUKUM RAKYAT 

Tindakan kerajaan Pusat memperkenalkan kaedah baru yang diberi nama Program Pembiayaan Wang Ehsan yang akan dibayar kepada kerajaan Terengganu menggantikan pemberian royalti minyak tidak dapat tidak akan ditafsirkan sebagai suatu tindakan politik menghukum rakyat Terengganu. Walau apapun tafsiran undang- undang diberikan untuk memberi justifikasi tindakan tersebut, rakyat mudah mengerti akan tujuan sebenarnya. 

Persolannya mengapa setelah kerajaan PAS memerintah baru isu royalti minyak tiba-tiba menjadi Wang Ehsan? Mengapa pula Wang Ehsan tersebut akan disalurkan bukan kepada Kerajaan Negeri, tetapi kepada sebuah Jawatankuasa Peringkat Negeri (JPP) untuk tujuan pembangunan seperti pembinaan jalan luar bandar, di kampung, bekalan air dan elektrik, perumahan kos rendah, pinjaman biasiswa dan bantuan persekolahan? 

ABIM terpanggil untuk menyatakan pandangannya bahawa tindakan kerajaan Pusat ini adalah menyalahi prinsip demokrasi yang menghormati hak rakyat menentukan kerajaan. Rakyat Terengganu telah membuat keputusan memilih Kerajaan PAS, maka sewajarnyalah kerajaan Pusat menghormatinya dengan mengiktiraf kemampuan kerajaan PAS memerintah dan memberikan hak-haknya sebagaimana yang telah diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan dan perjanjian-perjanjian yang termeterai sebelum ini. 

Umum boleh memahami dan mengerti akan tindakan politik kerajaan Pusat untuk memenangi hati rakyat, tetapi tindakan ini dilihat sebagai suatu hukuman dan balas dendam. Rakyat yang telah memilih kerajaan PAS pasti akan kecewa kerana pilihan mereka tidak diiktiraf oleh kerajaan Pusat. Penubuhan JPP pula akan dilihat sebagai ujudnya sistem `kerajaan dalam kerajaan' yang mana kerajaan yang dipilih rakyat memerintah, tetapi JPP mewakili kerajaan Pusat yang melaksanakan program Pembangunan. Yang pasti rugi di dalam politiking yang tidak berkesudahan ini ialah rakyat Terengganu, yang majoritinya orang Melayu beragama Islam. Banyak masa nanti dihabiskan untuk politiking, dan pembangunan rakyat akan terabai. 

Untuk itu ABIM merayu kepada kerajaan Pusat, khususnya YAB Perdana Menteri untuk meneruskan pemberian royalti sebagaimana yang sudah-sudah dan berilah kerajaan PAS memerintah sebagaimana mandat yang telah diberikan rakyat. Konsep Federalism yang memberi hak Pusat dan Negeri harus dipertahankan dan tidak perlu dilanggar semata-mata kerana negeri diperintah oleh kerajaan Pembangkang. 

Kerajaan Pusat akan lebih dihormati sekiranya segala urusan dapat dijalankan dengan Negeri sebagaimana dengan kerajaan sebelum ini. Rakyat yang semakin terbuka dan rasional akan mampu membuat penilaian yang adil. Sekiranya kerajaan Pusat menyerlah dengan dasar-dasar yang telus, terbuka, adil dan saksama, maka rakyat pasti dapat menilainya. 

  

AHMAD AZAM ABDUL RAHMAN 
Presiden,
Angkatan Belia Islam Malaysia