Make your own free website on Tripod.com
 

Lawatan Pak Lah ke Terengganu - tak 'mboh' sambut ke?

Assalamualaikum rakan-rakan sekalian,

Kerap sungguh Pak Lah turun ke Terengganu, maklumlah beliau merupakan Pengerusi Perhubungan Umno Terengganu dan telah berjanji untuk ambil balik Terengganu dalam pilihanraya 2004. Orang Umno pula nampak peluang cerah sebab pitih banyak, yelah… hasil rompakan duit royalti hak rakyat Terengganu.

Semasa pembentangan Belanjawan 2001 pada 11/12/2000 baru-baru ini, Adun Seberang Takir membantah penggunaan perkataan "rompakan" yang digunakan oleh YAB Menteri Besar dan para penyokong kerajaan. Tapi, inilah istilah yang paling wajar digunakan… malah seperti yang disebutkan oleh YB Haji Wan Muttalib Embong semalam, "rompakan waktu tengahari".

Isu royalti ni memang hangat dibincangkan dalam sidang DUN kali ini. Satu demi satu fakta dibentangkan oleh penyokong kerajaan terutamanya YB Haji Mustafa Ali dan YB Haji Wan Abd Muttalib Embong yang merujuk kepada perlembagaan negeri dan negara serta butir-butir nyata perjanjian. Sebab itu, YAB Menteri Besar menegaskan bahawa tindakan undang-undang akan diambil terhadap pihak-pihak berkenaan kerana kerajaan negeri serta rakyat berkeyakinan penuh bahawa royalti adalah milik kerajaan dan rakyat Terengganu.

Jumaat ini, Pak Lah diberitakan akan mengadakan lawatan kerja sehari ke Terengganu dan mempengerusikan mesyuarat Badan Perhubungan Umno Negeri. Saya cadangkan kepada pihak-pihak terbabit agar mengambil inisiatif untuk 'meraikan' kedatangan beliau. Antaranya ialah berdemo secara aman di Lapangan Terbang atau di mana sahaja beliau akan pergi. Atau apa-apa sahaja yang perlu dilakukan bagi menggambarkan kemarahan rakyat terhadap tindakan zalim Kerajaan Pusat. Mesej ini perlu disampaikan setiap masa.

Dengar cerita, lepas raya nanti akan diadakan perhimpunan besar-besaran rakyat Terengganu di Wisma Darul Iman. Saya harap ia akan menjadi kenyataan dan mampu menjana gelombang kebangkitan yang lebih besar khususnya kepada rakyat Terengganu!

Budak Kg Seb. Tuan Chik

--------------------------------------

KUALA TERENGGANU, 19 Dis (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan mengadakan lawatan kerja sehari ke Terengganu pada Jumaat ini.

Setiausaha Badan Perhubungan Umno Negeri Datuk Ismail Said berkata Abdullah dijangka tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud pukul 3 petang, seterusnya ke Bangunan Umno Negeri untuk mempengerusikan mesyuarat badan itu.

Abdullah yang juga Pengerusi Perhubungan Umno Terengganu dijadual menghadiri majlis pemimpin bersama rakyat di Sekolah Menengah Tun Telanai, Padang Midin pukul 5.30 petang.

Ismail berkata Timbalan Perdana Menteri itu kemudian berbuka puasa dan menunaikan solat Maghrib bersama orang ramai di surau sekolah berkenaan sebelum berlepas pulang pada pukul 8 malam.
 
 
 

--------------------------------------------------------------------------------

Petikan Bernama


Kenaikan elaun Adun Kelantan ditangguh
 

KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan menangguh penyelarasan kenaikan elaun sebanyak 10 peratus bagi anggota-anggota Dewan Undangan Negeri (Adun).

Timbalan Menteri Besar, Ustaz Abdul Halim Abdul Rahman berkata, penangguhan itu dibuat untuk memperlihatkan Adun-Adun Kelantan tidak mengutamakan kebendaan semata-mata.

"Kita tidak mahu Kelantan melakukan perkara yang serupa seperti dilakukan negeri-negeri lain sekarang," katanya selepas mesyuarat Exco, semalam. Menurutnya, kerajaan Kelantan tidak mahu perkara sama berlaku di negeri-negeri lain turut berlaku di negeri ini sekarang.

Beliau berkata, pada mesyuarat Exco semalam, kertas mengenai perkara itu ditangguhkan perbincangannya. Sebelum ini, kerajaan Persekutuan mengumumkan kenaikan elaun sebanyak 10 peratus bagi wakil-wakil rakyat.

"Bagaimanapun kenaikan elaun itu bagi Adun Kelantan akan dibuat pada masa yang difikirkan sesuai pada akan datang," katanya. Dewan Undangan Negeri Kelantan sekarang mempunyai 43 ahli dan dua daripadanya, wakil rakyat dari Barisan Nasional.

Wakil rakyat berkenaan iaitu Norzula Mat Diah mewakili Dun Paloh dan Mohd Saufi Deraman (Galas). Bagaimanapun sehingga kini mereka tidak memainkan peranan aktif pada setiap kali persidangan Dun diadakan.