KELANTAN MINTA BANTUAN TERENGGANU SELESAI MASALAH AIR 



 

 KUALA TERENGGANU, 7 Mac ) -- Kerajaan
 PAS Kelantan akan meminta bantuan daripada
 Terengganu bagi menyelesaikan masalah bekalan air
 di negeri itu, kata Menteri Besar Datuk Nik Abdul
 Aziz Nik Mat, hari ini. 

 Beliau berkata, kerjasama mengenai bantuan
 bekalan itu daripada Terengganu akan dibincangkan
 secara terperinci dengan Pengerusi Jawatankuasa
 Pembangunan Infrastruktur, Kemudahan Awam dan
 Komunikasi Terengganu, Yahaya Ali. 

 "Sebagai contoh daerah Besut di Terengganu
 mempunyai lebihan air sebanyak 4 juta liter dan
 jumlah itu jika disalurkan ke Kelantan ia akan
 menyelesaikan masalah penduduk terutamanya di
 kawasan sempadan kedua-dua negeri itu. 

 "Hari ini kita bincang ala kadar tentang bantuan
 bekalan air oleh kerajaan PAS Terengganu sebab dia
 (Terengganu) memang mempunyai sumber air yang
 banyak dan mampu membantu Kelantan dalam
 menangani masalah itu," katanya kepada pemberita
 selepas mendengar taklimat pembangunan Kerajaan
 Negeri di Wisma Darul Iman, di sini. 

 Hadir sama ialah Menteri Besar Terengganu, Abdul
 Hadi Awang dan beberapa anggota exco kerajaan
 kedua-dua negeri serta pegawai kanan kerajaan
 Terengganu. Nik Abdul Aziz berada di sini dalam
 rangka lawatan rasmi sehari ke Terengganu hari ini. 

 Menteri Besar Kelantan itu berkata, kualiti
 perkhidmatan bekalan air di Kelantan juga
 bertambah baik sejak Kerajaan Negeri
 mengambil-alih perkhidmatan itu daripada Kelantan
 Water Sdn Bhd (KWSB), pada April tahun lepas. 

 "Kita berpuas hati dengan pengurusan air di Kelantan
 tetapi kita berharap Terengganu dapat membantu di
 beberapa kawasan bersempadan dengan negeri
 berkenaan terutamanya di Pasir Putih," katanya. 

 Beliau berkata kunjungannya itu juga turut
 membincangkan mengenai kerjasama menggalakkan
 tanaman jagung sebagai aktiviti alternatif bagi
 tanaman tembakau kepada para petani di kedua-dua
 negeri. 

 Jagung yang digunakan sebagai makanan haiwan
 mempunyai potensi baik di pasaran tempatan dan
 luar negeri di samping mudah untuk menanamnya
 dan Kelantan dijangka melaksanakan tanaman
 jagung di kawasan seluas 2,000 hektar tahun ini
 berbanding 300 hektar pada tahun lepas, katanya. 

 "Terengganu sendiri mengalami kerugian hingga RM3
 juta daripada hasil tanaman tembakau akibat banjir
 dan sewajarnya aktiviti itu ditukar kepada tanaman
 jagung," katanya. 

 Nik Abdul Aziz berkata, Kelantan juga mempunyai
 kilang memproses jagung menjadi bijiran makanan
 haiwan dan jika tanaman itu berjaya ia mampu
 mengurangkan jumlah import bijiran untuk haiwan
 yang kini dianggarkan RM9 bilion setahun. 

 Sementara itu Abdul Hadi berkata, kerajaan
 Terengganu sedia mempertimbangkan permintaan
 Nik Abdul Aziz untuk mendapatkan bekalan air selain
 menjalinkan kerjasama dalam projek tanaman
 jagung. 

 Beliau berkata anggota exco berkenaan di negeri ini
 diberikan tanggungjawab mengadakan perbincangan
 itu dengan kerajaan Kelantan termasuk
 perkara-perkara yang berbangkit dengan bekalan air
 itu. 

 "Atas sifat kita ini (Kelantan dan Terengganu)
 sebagai adik beradik, kita sedia beri bantuan kerana
 kita tidak menafikan kemenangan PAS di Terengganu
 juga adalah tempias daripada kemenangan PAS di
 Kelantan. 

 "Kita berharap perbincangan hari ini akan
 memberikan hasil yang terbaik kepada kedua-dua
 kerajaan PAS," katanya. --