Terengganu disaran dekati akhbar cina
               

                 KOTA BHARU, 18 Feb (Hrkh) - Kerajaan Terengganu disarankan memberi  peluang akhbar-akhbar Cina di negeri itu membuat liputan mengenai     pentadbiran kerajaan PAS bagi membolehkan masyarakat Cina mengikuti  perkembangan yang berlaku secara tepat. 

                 Pegawai Hubungan Antara Kaum Negeri Kelantan, Hu Pang Chaw berkata,    sekiranya pendedahan kerajaan Terengganu tidak dibuat dalam akhbar   berkenaan, golongan minoriti akan mendapat maklumat yang salah apabila   membaca laporan yang tidak tepat dikeluarkan akhbar perdana. 

                 "Hubungan rapat di samping tidak meminggirkan akhbar berbahasa Cina   membolehkan rakyat di seluruh negara mendapat maklumat terhadap  keistimewaan rakyat di bawah pentadbiran kerajaan berasaskan Islam. 
                 "Kerajaan Kelantan berbuat demikian sejak awal pentadbirannya lagi    bahkan hubungan mesra wakil rakyat dengan golongan minoriti seperti   Cina, Siam dan India sedia terjalin," ujarnya. 
                 Pang Chaw yang juga Ahli Majlis, Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB)   dan bekas wartawan akhbar Nayang Siau Pau, berkata sejak pentadbiran   PAS 10 tahun lalu, kerajaan negeri tidak pernah menyekat dan menghalang     budaya masyarakat bukan Islam di Kelantan. 

                 Katanya, tarian singa, naga, Chap Go Meng bagi masyarakat Cina, di   samping Loi Katung perayaan masyarakat Siam diadakan tanpa sebarang    gangguan berbanding semasa di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN). 
 

TERENGGANU DARUL IMAN®