Make your own free website on Tripod.com
 
TERENGGANU DARUL IMAN
MEMBANGUN MENURUT ISLAM
BERSAMA MENGISI KEMENAGAN

 
 

MENGAPA PAK LAH TAKUT AMANAT HAJI HADI?
Komentar TARMIZI MOHD JAM

Berkait dengan Tragedi Sauk yang meletup, maka Umno terus mencari ruang untuk menjadikan PAS sebagai “kambing-hitam” yang boleh diketengahkan untuk mengabui mata rakyat. Mengaitkan PAS dengan apa sahaja insiden yang “keras” untuk menumbangkan kerajaan BN, buat masa ini, merupakan langkah politik yang TERDESAK sedang dirangka beragenda, nampaknya.

Sekali lagi, Amanat Haji Hadi diselak semula bisanya. Setelah kerajaan BN puas dengan mengaitkan  “Amanat” tersebut, dengan satu  peristiwa berdarah pada tahun 1985 lalu, maka sekali lagi “Amanat” yang serupa diheret ke tengah masyarakat untuk menyalahkan PAS. Pencetus “Amanat” itu, YAB Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dipersalahkan dan “diarahkan” menarik balik “Amanat” itu, sejurus hampir reda apa yang digembar-gemburkan dengan Tragedi Sauk di Bukit Jendalik, Grik, Perak.

Rakyat Malaysia yang mengikuti Tragedi Memali 15 tahun dulu, tentu sekali pernah mendengar apa yang dikatakan “Amanat Haji Hadi” itu. Tidak pula diketahui siapa yang mencetak dan memberi judul ucapan itu sebagai “Amanat”. Ia hanya ucapan Haji Hadi dalam satu Ceramah Umum PAS di Banggol Pradong, Terengganu pada tahun 1979, kira-kira 21 tahun dulu. Namun begitu, cetakan “Amanat” berkenaan begitu popular di kalangan ahli dan penyokong PAS sebelum dan selepas Tragedi Memali yang meragut nyawa As-Syahid Ustaz Ibrahim Libya dan rakan-rakannya.

Saya telah mendengar banyak ucapan Haji Hadi berkenaan isu Amanat Haji Hadi ini melalui kaset-kaset yang diterbitkan sejurus selepas tercetusnya Tragedi Memali yang menyayatkan hati itu. Segala pertuduhan yang dihadapkan oleh pihak kerajaan BN terhadap mereka yang terlibat, sebenarnya gagal dipertahankan oleh mereka apabila berdepan dengan hujah-hujah pemimpin PAS pada waktu itu. Antara yang lantang menyanggah FATWA kerajaan pada waktu itu ialah Haji Hadi sendiri, yang memegang jawatan Naib Presiden PAS.

Isu kafir-mengkafir bukanlah isu baru. Ia tumbuh sebelum kemunculan Amanat Haji Hadi lagi. Adalah fitnah besar, jika mengaitkan “Amanat” ini dengan isu kafir-mengkafir. Haji Hadi hanya mengulas soal bagaimana orang-orang Islam boleh menjadi murtad dan menerangkan dengan tegas ciri-ciri kekufuran menurut pandangan Quran dan Hadis Nabi SAW. Itu sahaja. Malah kandungannya menyamai dengan apa yang diterbitkan oleh Bahagian Agama Islam, Jabatan Perdana Menteri melalui Kitab Mustika Hadis darihal sebab-sebab terbatalnya syahadah.

PAS pernah secara terbuka mencabar Umno untuk berdebat dalam isu kafir-mengkafir ini. Pandangan Haji Hadi yang disiarkan oleh Asiaweek dalam tahun 80-an telah meningkatkan suhu kebencian Mahathir terhadap MB Terengganu itu. Mahathir sebenarnya terjebak dengan cabaran Haji Hadi untuk berdebat dalam apa sahaja isu termasuklah soal perubatan (menyindir Mahathir yang hanya mendalami ilmu perubatan). Persetujuan Mahathir untuk berdebat dengan PAS, berakhir kecewa.
Sekalipun, PAS memberikan kebebasan kepada Umno untuk menentukan ahli panel mereka, menentukan tajuk perdebatan malah menentukan tempat berdebat dan pengerusi debat dari kalangan Umno, namun akhirnya Mahathir undur dengan memperalatkan Majlis Penyimpan Mohor-Mohor Besar untuk mengistiharkan pembatalan Debat Umno-PAS itu.

Kesimpulannya, dari percubaan debat sesama Umno berkenaan isu kafir-mengkafir dan Amanat Haji Hadi ini, jelas, keupayaan mereka untuk berhujah telah menghilangkan minat Mahathir untuk bertemu PAS. Ulama-ulama Umno waktu itu, gagal untuk menumbangkan hujah-hujah yang dibawa oleh PAS. Umno jelas membariskan tokoh-tokoh ulama mereka seperti Yusuf Noor, Dasuki Ahmad,Ibrahim Azmi serta beberapa orang lain untuk berdepan dengan pemimpin PAS yang terdiri dari Tuan Guru Haji
Abdul Hadi Awang, Ustaz Fadzil Noor, Ustaz Haji Harun Taib,Ustaz Nakhaei Ahmad (sekarang menjadi ulama Umno yang ditugaskan untuk menghadapi PAS) dan Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Isu pokok dalam Amanat Haji Hadi memang menekankan soal umat Islam boleh menjadi kufur tanpa meninggalkan Islam, atau menganut agama Hindu, Buddha dan Kristian. Tetapi terkeluarnya seseorang Islam dari agamanya, cukup dengan dia berkata “politik suku, agama suku” yakni, politik dan agama tidak boleh dicampur-adukkan. Hakikatnya, umat Islam yang berilmu tahu, siapakah yang telah memisahkan antara urusan agama dengan urusan kenegaraan di negara ini. Malah jauh dari itu, mereka amat arif bahawa kerajaan tunjangan Umno dari dulu, kini dan selamanya, memang mempertahankan Malaysia sebagai negara secular iaitu negara yang mengasingkan urusan agama dan  pentadbiran.

Hanya menyebut Bank Islam, Universiti Islam, Pembinaan Masjid dan Surau, Takaful, Pajak Gadai Islam, Penerapan Nilai-Nilai Islam, Kolej Islam, dan pelbagai jenama yang berlabel Islam sebagai bukti; tidak cukup untuk meletakkan Malaysia sebagai Negara Islam dan tidak memadai untuk mengangkat Umno sebagai bukti “parti Islam ketiga” di dunia yang menjalankan kerja-kerja Islam.

Bukankah Negara Islam memiliki rukun-rukun khusus untuk membuktikan sahnya sesuatu negara itu Islam atau tidak? Seperti juga sembahyang, ia mempunyai rukun-rukun khusus untuk menentukan sah atau tidak sembahyang seseorang itu? Begitu jugalah halnya dengan konsep bernegara dalam Islam.

Banyak persoalan yang perlu dibangkitkan darihal kaitannya Amanat Haji Hadi dengan isu kafir-mengkafir dan tidak Islamnya negara kita Malaysia ini. Umat Islam janganlah terperangkap, terhadap dakwaan Mahathir, Hamid Othman dan Pak Lah, mengenai status Islam negara kita. Saya yakin, isu ini akan membuka lembaran baru untuk orang-ramai, para cendiakiawan Islam, pertubuhan bukan kerajaan, pemimpin PAS, orang perseorangan dan laman-laman web pro-reformasi dan pro-Negara Islam membincang dan membahaskan isu Negara Islam sebagai tunggak kepada isu sampingan, kafir-mengkafir dan Amanat Haji Hadi ini.

Satu Simposium Negara Islam seperti yang pernah diadakan sekitar tahun 80-an dulu, patut disegarkan semula bagi membincangkan pelbagai aspek Islam berkenaan Islam dan Negara Islam di Malaysia. Secara positifnya, kita melihat isu Amanat Haji Hadi yang dibangkitkan oleh Pak Lah dan media kroninya, memungkinkan kita untuk mewarna dan mewar-warkan minda rakyat negara ini sekali lagi berkenaan kebaikan Negara Islam.

Inilah adalah peluang yang bakal memerangkap Umno. Medan kita sudah terbuka, ayuh cetuskan perbahasan dan penjelasan berkenaan isu ini. Tanpa symposium sekalipun, tentu sekali penulis siber dan para cendiakiawan Islam kita mampu untuk mengurus dan menangani isu ini dengan baik di laman-laman yang disediakan. Jangan kita membuang masa! Rakyat ingin tahu apa yang terkandung dalam Amanat Haji Hadi berdasarkan kacamata Islam. Rakyat juga patut dimaklumkan, Malaysia tanahairku, adalah sebuah Negara Bukan Islam! Berikan jawapannya.

Pak Lah, TPM baru dan masih mentah dengan sepak terajang politik, kelihatan makin ghairah menunjukkan “belangnya” dalam beberapa siri isu politik yang melibatkan kepentingannya sebagai bakal PM. Namun begitu, teguran, komen dan ulasan serta cadangannya, langsung tidak menampakkan ketelusan, kewarasan dan kematangannya dalam menangani isu-isu semasa, yang turut diperjuangkannya.

Pak Lah tidak ubah seperti burung belatuk. Ulasannya, jika nak dibandingkan dengan Rais Yatim atau Ibrahim Ali, jauh tertinggal di belakang. Rakyat Malaysia sekali lagi bersyukur, kerana memiliki seorang “bakal PM” yang tidak cekap menyusun kata, mengungkap cerita. Tentu sekali, retorik ucapannya tidak diminati dan amat mudah untuk disangsikan oleh orang ramai. Harapan kita, ulasan dan komentar Pak Lah, tidak banyak membantu untuk mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan pimpinan Mahathir hari ini. Malah, tanpa Mahathir kelak, kepercayaan rakyat dijangka akan terus merosot untuk mendokong kesetiaan terhadap kepimpinan Pak Lah, jika ditakdirkan benar, beliau mewarisi kerusi PM itu.

Amanat Haji Hadi cuba diutarakan oleh Pak Lah, bagi membenarkan tindakan kerajaan buat masa ini. Bisa dari “Amanat” ini, dikatakan menjadi punca perpecahan umat Melayu, yang “kununnya” dulu bersatu dan sekarang kelihatan bercerai-berai. “Amanat” ini juga dakwa Pak Lah, sarat dengan “kebencian” terhadap kerajaan yang ada. Malah katanya, Haji Hadi Awang telah “mengkafirkan” Umno melalui “Amanat” itu. Akibat dari ucapan yang dianggap FATWA oleh Pak Lah dan suku-sakatnya dari Umno itu, maka mereka tidak upaya untuk membungkus kebimbangan dan ketakutan terhadap kandungan “Amanat” yang jelas, boleh meruntuhkan Umno jika dibahas dan didebatkan berdasarkan ilmu Quran dan Hadis.

Mungkin ini satu kesilapan buat Pak Lah. Membangkitkan isu Amanat Haji Hadi samalah juga membangkitkan isu kafir-mengkafir. Kesan dari keghairahan Pak Lah ini, tentu sekali akan dijawab oleh PAS bagi membetulkan reality politik yang ada. Maka sudah tentulah, persoalan “ISLAM” pada Perlembagaan Umno dan persoalan “ISLAM” pada badan Malaysia akan diperjelas dan dibahaskan berdasarkan tuntutan Quran dan Hadis. Ini akan meningkatkan kefahaman rakyat terhadap isu yang dibangkit, sekaligus membetulkan tanggapan serong mereka terhadap “Amanat” itu dan Negara Islam tulen yang sebenar.

Maka dengan itu, perbincangan serius rakyat terhadap ke arah Negara Islam akan menjadi lebih mudah. Malah “Islam” Umno yang bercampur-baur itu dapat dijelaskan dengan berkesan kepada rakyat melalui amalan secular yang dianuti mereka. Bukankah mudah untuk mereka tahu, mengapa Islam Umno boleh menghalalkan judi, arak, zina, maksiat, riba dan sebagainya. Dan mengapa Islam PAS berbeza dengan Umno? Kita mengharapkan persoalan ini akan menemukan mereka kepada Islam yang sebenar-benar yang dituntut. Dan tidak ada lagi istilah “itu hudud PAS”!

Soalnya, mengapa Umno begitu takut dengan Amanat Haji Hadi ini? Mari kita membaca motif mengapa Pak Lah beriya-iya benar untuk mengembalikan isu ini kepersada politik tanahair kita? Apakah kekhuatiran ini, sebahagian dari rasa takut mereka terhadap pengaruh PAS yang mula didekati oleh orang-orang Umno, yang saban hari meninggalkan parti elit itu?

Inilah Amanat Haji Hadi yang begitu digeruni oleh Mahathir dan Umno sejak 21 tahun dulu. Marilah kita perhatikan kandungan dan intipatinya: -

Saudara-Saudara Sekalian,
Percayalah,
Kita menentang Umno, bukan kerana namanya Umno,
Kita menentang Barisan Nasional, bukan kerana namanya Barisan Nasional,
Kita menentang dia ialah kerana dia mengekalkan Perlembagaan Penjajah,
Mengekalkan undang-undang kafir,
Mengekalkan peraturan jahiliyyah,
Oleh kerana itulah kita menentang mereka,
Oleh kerana itulah kita menghadapi mereka,
Oleh itu, kita berlawan dengan mereka,

Percayalah Saudara-Saudara Sekalian,
Perjuangan kita adalah jihad,
Ucapan kita adalah jihad,
Derma kita adalah jihad,
Bergantunglah kita kepada Allah dengan (menghadapi) puak-puak ini,
Kerana kalau kita mati melawan puak-puak ini,
Mati kita adalah syahid,
Mati kita adalah Islam.
Kita tidak perlu masuk Budhha,
Kita tidak perlu masuk Hindu,
Kita tidak perlu masuk Kristian,
Tetapi kita menjadi KAFIR dengan mengamalkan “Politik Suku, Agama Suku”