Make your own free website on Tripod.com
KENAPA DENGAN AMANAT HAJI ABDUL HADI?

Kebelakangan ini sekali lagi media-media rasmi kerajaan memutarkan semula kisah lama yang kita semua pun sudah maklum
akan sasarannya, iaitu isu kafir mengkafir yang dikatakan dimainkan oleh PAS khususnya berkaitan dengan amanat Ustaz Abdul
Hadi.

Samada kita sedar atau tidak ,tujuan mereka sebenarnya adalah untuk mempermainkan sentimen masyarakat Islam di negara ini
supaya membenci PAS, satu-satunya parti Islam yang wujud di negara kita.

Amanat Ustaz Abdul Hadi itu bukanlah pertama kali dipaparkan di media massa demi untuk mengelirukan masyarakat Islam.
Tentunya sebahagian dari kita masih ingat kepada peristiwa Memali. Peristiwa Memali telah mengorbankan 14 orang syuhada di
Utara Semenanjung, di kampung Memali, Mukim Siong,Baling. Pihak kerajaan menyifatkan peristiwa tersebut sebagai "tindak
tanduk golongan-golongan pelampau agama yang meneruskan kegiatan mereka tanpa merperhitungkan akibatnya terhadap
ketenteraman awam dan keselamatan negara. Peristiwa berdarah itu boleh dielakkan sekiranya Ibrahim Mahmood dan beberapa
orang pengikutnya yang dikehendakki polis mematuhi perjalanan proses undang-undang dengan menyerah diri." (Kertas Putih
Memali; Kertas Perintah 21, Tahun 1986,hlm.vi).

Dalam perkara ( 15) Kertas Putih Memali pihak kerajaan menegaskan "Tokoh-tokoh PAS

kebelakangan ini begitu ghairah menghurai dan menanamkan semangat jihad dan syahid di kalangan ahli-ahli dan
penyokong-penyokong parti berkenaan.Oleh kerana terpengaruh dan taksub dengan penerangan-penerangan yang disampaikan,
maka timbullah hasrat di kalangan mereka untuk berjihad menentang kerajaan yang dikafirkan oleh para pemimpin mereka.
Kelantangan para pemimpin PAS dalam menanamkan semangat jihad dan syahid mengikut pengertian mereka sendiri jelas
terkandung dalam ceramah Haji Abdul Hadi bin Awang di Banggol Peradong, Terengganu pada 7 April 1981. Antara kandungan
ceramah tersebut adalah seperti berikut:

"Jadi saudara-saudara sekelian percayalah kita menentang Umno bukan kerana namanya Umno.Kita menentang
Barisan Nasional bukan kerana dia lama memerintah kerajaan.Kita menentang dia ialah kerana mengekalkan
Perlembagaan Penjajah, mengekalkan undang-umdang kafir, mengekalkan undang-undang jahiliah. Oleh kerana
itulah kita menentang mereka. Oleh kerana itulah kita menghadapi mereka. Oleh kerana itulah kita cuba melawan
dengan mereka. Percayalah saudara-saudara sekelian, perjuangan kita adalah jihad, ucapan kita adalah jihad, derma
kita adalah jihad, bergantunglah kita kepada Allah dengan puak-puak ini. Kerana kalau kita mati melawan
puak-puak ini, mati kita adalah mati syahid. Mati kita adalah Islam. Adakah kita takut untuk mati syahid?(halaman
6)."

Dari paparan di atas jelaslah bahawa isu amanat Ustaz Abdul Hadi ini telah pun digunakan oleh pihak kerajaan untuk
memberikan justifikasi terhadap apa yang berlaku di kampung Memali, mukim Siong itu.

Satu soalan yang harus dilontarkan di sini ialah apakah kesalahan dan kesilapan yang terkandung dalam amanat itu? Adakah ayat
" tetapi kita menjadi kafir dengan mengatakan politik suku, agama suku" itu bertentangan dengan konsep Islam. Atau
adakah lain-lain ayat atau frasa dalam amanat tersebut menyalahi akidah dan syariat Islam. Dalam kitab Mustika Hadith terbitan
Jabatan Perdana Menteri sendiri ada membicarakan sebab-sebab seseorang Islam itu terkeluar daripada Islam atau pun murtad
mengikut Istilah Hudud. Antara yang boleh merosakkan Iman dan Islam seseorang ialah beriktikad bahawa " hukum-hukum
Islam yang dibawa oleh Nabi Muhamad SAW ialah hukum-hukum lapuk yang tidak sesuai dengan keadaan zaman."(Mustika
Hadith, edisi Jawi, Jilid Pertama, cetakan ke empat,1983,hlm.261). Jelasnya apabila kita mengatakan politik dan Islam adalah dua
perkara yang berlainan, kita sebenarnya telah memisahkan di antara Islam dan politik, atau dengan lain perkatan kita telah
mengatakan politik suku, agama suku. Jadi di manakah silapnya amanat tersebut?

Barangkali apa yang dapat kita lihat di sini bila kerajaan melalui media-media rasmi memainkan isu amanat Ustaz Abdul Hadi ini,
tujuan sebenarnya tidak lain adalah untuk membangkitkan perasaan benci di kalangan masyarakat terhadap parti Islam(PAS) itu
sendiri. Atau sebenarnya adakah agenda lain yang tersembunyi di sebalik semua ini?

 

Al Kundangi.

13.6.1999.