Make your own free website on Tripod.com
 



Bilik kurungan Anwar didakwa ditukar wad sakit
‘Ein Azmi

 Bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sedang menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur didakwa akan dipindahkan ke sel penjara setelah tempat itu diubah suai kepada wad sakit.

Bekas setiausaha akhbarnya Khalid Jaafar berkata, beliau dimaklumkan bahawa bilik kurungan Anwar di Penjara Sungai Buloh itu akan diubah suai setelah lawatan Othman Desa, setiausaha politik kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
“(Jika maklumat ini tidak benar) terpulang kepada pihak mereka (untuk menafikannya),” kata Khalid kepada malaysiakini, sambil menambah beliau mendapat maklumat ini daripada “sumber-sumber yang boleh dipercayai.”
Khalid turut mempersoalkan cadangan perpindahan kembali Anwar ke penjara tersebut kerana tujuh orang pakar HKL telah mengesahkan keadaannya adalah serius dan memerlukan rawatan khas.
Sementara itu Khalid, yang juga seorang pemimpin utama Parti Keadilan Nasional Melaka, berkata beliau difahamkan bahawa isu rawatan Anwar itu akan turut dibincangkan dalam mesyuarat kabinet “akan datang.” Bagaimanapun beliau tidak menjelaskan tarikh mesyuarat tersebut.
“Saya berharap perkara ini tidak dipolitikkan. Jangan berikan tekanan kepada hospital atau sesiapapun kerana Anwar berhak mendapatkan rawatan,” katanya lagi.
Anwar dimasukkan ke hospital itu sejak 24 November tahun lalu berikutan kesakitan yang serius di bahagian belakang.
Malaysiakini minggu lalu melaporkan peguam Anwar, Sankara Nair telah memohon seorang doktor pakar dari German, Dr Thomas Hoogland, dibenarkan memeriksa keadaan Anwar bagi menentukan jenis pembedahan yang paling sesuai. (German surgeon sought for Anwar, 23 Jan)
Malaysiakini juga difahamkan bekas pemimpin Umno itu boleh dirawat menggunakan pembedahan-pembedahan biasa, endoskopik dan mikroskopik.
Sankara ketika dihubungi hari ini memberitahu, HKL mengarahkan beliau memohon kebenaran daripada Majlis Perubatan Malaysia (MMC).
“MMC kemudian mengarahkan Hoogland mendapatkan Sijil Amalan (perubatan) Sementara,” jelas beliau terhadap prosedur pihak perubatan itu.
“Kami fikir (permohonan sijil ini) tidak perlu kerana proses itu terlalu birokratik,” tambahnya, memandangkan tahap kesihatan Anwar semakin serius.
 

Sumber : Malaysiakini.com