PELANCONG ASING KE TERENGGANU TIDAK TERIKAT DENGAN PERATURAN ISLAM
 
 KUALA TERENGGANU, 30 Dis -- Kerajaan Pas
 Terengganu memberi jaminan tidak akan menghalang pelancong
 asing ke negeri ini daripada melakukan perkara-perkara yang tidak
 ditegah oleh agama dan budaya mereka.

 Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan Datuk Abdul Kadir
 Sheikh Fadzir berkata jaminan itu diberikan kepada beliau oleh
 Menteri Besar, Haji Abdul Hadi Awang sendiri dalam pertemuan
 mereka di Pejabat Menteri Besar di Wisma Darul Iman di sini hari
 ini.

 "Saya boleh beri jaminan kepada pelancong dunia yang ingin
 melancong ke Terengganu bahawa mereka akan diberi kebebasan
 melakukan apa yang dibenarkan agama dan budaya mereka,"
 katanya pada persidangan berita di sini selepas pertemuan
 kira-kira setengah jam itu.

 Abdul Kadir, yang merupakan menteri kabinet yang pertama
 melawat Terengganu selepas negeri itu diperintah oleh kerajaan
 Pas, berkata sebagai contoh pelancong asing yang melawat
 Terengganu boleh mengambil minuman keras di hotel penginapan
 mereka asalkan tidak dihidang oleh orang Islam.

 "Mereka masih boleh minum (arak) di hotel, tetapi dengan syarat ia
 tidak dihidang oleh pekerja yang beragama Islam," katanya.

 Abdul Kadir berkata kedatangan beliau ke Terengganu ialah bagi
 mendapatkan penjelasan kerajaan negeri berikutan wujud
 kebimbangan di kalangan pelabur dan syarikat pelancongan
 mengenai keadaan di Terengganu selepas negeri itu diperintah oleh
 Pas.

 "Ramai pelabur termasuk pelabur baru bimbang dan curiga sama
 ada pelaburan mereka selamat dan saya dimaklumkan ada
 beberapa syarikat pelancongan dari luar negara yang membatalkan
 lawatan mereka ke Terengganu kerana kebimbangan ini," katanya.

 Abdul Kadir berkata usaha untuk mempromosikan pelancongan
 adalah satu perkara yang terlalu sensitif dan jika menimbulkan
 walau sedikit pun keraguan akan menyebabkan pelancong lari atau
 syarikat yang menguruskan kedatangan pelancong beralih ke
 destinasi lain.

 Keadaan itu akan merugikan Terengganu sendiri yang terkenal
 dengan pulau-pulau yang menarik, katanya.

 Beliau berkata kementerian akan membelanjakan berjuta-juta
 ringgit untuk memajukan industri pelancongan di negara ini
 termasuk di Terengganu dan Kelantan dan adalah sesuatu yang
 merugikan sekiranya pelancong mempunyai tanggapan yang
 negatif terhadap sesuatu destinasi yang menarik.

 "Oleh itu kita kena sensitif sedikit dengan kenyataan yang dibuat,
 mungkin kita tidak bermaksud begitu tetapi mereka fikir
 lain...saingan dalam bidang pelancongan hebat dan oleh itu kita
 kena berjaga-jaga," katanya.

 Beliau berkata dalam pertemuan itu, kerajaan negeri juga memberi
 jaminan bahawa dasar-dasar dalam bidang pelancongan yang
 dilaksanakan kerajaan sekarang tidak berubah daripada
 dasar-dasar dahulu.

 Kerajaan negeri juga berjanji akan memberi kerjasama kepada
 kementerian dalam usaha memajukan bidang pelancongan di
 Terengganu, katanya.