TERENGGANU DARUL IMAN
MEMBANGUN MENURUT ISLAM
"BERSAMA MENGISI KEMENANGAN"
tinta_hijau@hotmail.com

Mustahil tabung Memali dapat bantu semua - Azizan

ALOR SETAR 11 Ogos 2000 (Hrkh) - Wang yang dikumpulkan oleh tabung untuk membantu mangsa Memali tidak dapat menampung semua keperluan keluarga mangsa tragedi tersebut.

Bagaimanapun, tabung itu telah menjalankan tugasnya sebaik mungkin untuk meringankan bebanan mangsa serta keluarga yang ditinggalkan.

Demikian kata Pesuruhjaya PAS Kedah, Ustaz Azizan Abdul Razak kepada Harakah sekejap tadi.

Beliau mengulas laporan akhbar tempatan hari ini yang melapornya nasib mangsa terutama balu syuhada Memali yang perlukan bantuan.

Kata Ustaz Azizan, pelbagai perkara telah dibuat termasuklah menghantar dan menguruskan kemasukan anak-anak mangsa ke sekolah dan pusat pengajian tinggi yang sewajarnya termasuklah menghantar mereka belajar ke luar negeri.

Bagaimanapun, untuk bergantung harap sepenuhnya kepada tabung adalah satu perkara yang di luar kemampuan. Ini kerana sumbangan yang diperolehi tidaklah sebanyak mana yang diperlukan oleh mangsa tragedi itu.

"Derma pula banyak datang menjelang hari raya kerana ketika itulah iklan untuk membuat kutipan dibuat oleh tabung ini.

"Jadi banyaklah sumbangan yang kita terima menjelang hari raya dan menjelang hari raya jugalah kita banyak menghulurkan sumbangan tersebut kepada mangsa serta keluarga tragedi berdarah tersebut," katanya.

Menurutnya, pelbagai usaha telah dilakukan oleh pelbagai pihak termasuklah menubuhkan kelas jahitan dan sebagainya.

Tetapi, ia tidak berapa berhasil untuk mengeluarkan mereka dari garis kemiskinan sebagaimana yang banyak dialami oleh hampir keseluruhan penduduk Memali bahkan Baling sendiri.

Bagaimanapun, beliau yakin, mangsa Memali akan terus dibela oleh PAS dengan kadar yang mereka mampu sebagai sebuah parti pembankang di Kedah.

Beliau juga mengalu-alukan pihak polis membuat siasatan ke atas tabung tersebut sebagaimana yang diperlukan apabila satu laporan polis dibuat.