TERENGGANU DARUL IMAN
MEMBANGUN BERSAMA ISLAM

PEMBANGUNAN PULIHKAN UMNO?
Komen TARMIZI MOHD JAM

IKLAN: Dapatkan terbitan tidak berkala “Isu: Mengapa Takut Haji Hadi?” berharga RM3.50 sen atau buat pesanan melalui emeil isu_malaysia@hotmail.com segera!

Kementerian Pembangunan Luar Bandar khabarnya berjanji akan meneruskan pembangunan kawasan luar bandar di seluruh negeri Terengganu yang kini dikuasai oleh PAS, dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-8 (RMK-8). Khabar gembira ini, tentunya akan disambut ceria oleh Menteri Besar, Haji Abdul Hadi Awang.

Dalam kenyataan Datuk Azmi Khalid, menteri yang menabur janji dan khabAr gembira itu, telah menyifatkan komitmen kerajaan pusat itu adalah bertujuan untuk mengeluarkan Terengganu yang digelar “negeri kaya, rakyat papa kedana”, dari kepompong kemiskinan yang masih tinggi iaitu 17.3 peratus. Azmi menukilkan bersama janji dan khabar gembira itu, dengan jaminan yang kerajaan pusat akan membangunkan rakyat negeri ini dan akan mempastikan kesejahteraan dapat dikecapi tanpa mengira “fahaman politik”.

Janji dan khabar gembira yang dilontarkan oleh Azmi ini, bukanlah perkara baru yang dihadapi oleh PAS. Haji Abdul Hadi, tentu sekali menyambut baik saranan menteri pusat itu untuk membantu kerajaan negeri pimpinannya, keluar dari tempurung kemiskinan yang gagal diubah oleh Wan Mokhtar, Menteri Besar Umno sebelum ini. Namun begitu, janji dan khabar gembira Azmi itu, tentunya ada agenda tersirat yang boleh dibaca dan ditelah oleh semua rakyat yang celik politik. Sudah menjadi rahsia umum Umno, setiap “pembangunan” adalah “bantuan” yang mesti dibayar dengan harga yang mahal terhadap parti itu.

Jika, Umno Pusat menafikan sebarang pembangunan atau terus membekukan fungsi Kementerian Pembangunan Luar Bandar di Terengganu, maka orang-orang Melayu Islam di negeri ini, tidak mungkin dengan mudah menerima semula parti itu pada masa depan. Buat masa ini, penghubung paling segar Umno dengan akar umbi, adalah projek-projek yang disalurkan melalui agensi kerajaan pusat khususnya melalui kementerian ini, yang berhubung terus dengan keperluan orang-orang Melayu di  luar bandar. Lebih banyak pembangunan “disogokkan” maka, lebih cepatlah Umno pulih dari menopaus yang kian menghantui.

Kesedaran kerajaan pusat tentang kemiskinan rakyat Terengganu, sepatutnya tidak didalang oleh “keceluparan” dan “dendam kesumat” PM, Mahathir Mohamad untuk menyekat royalty minyak, yang menjadi hak kepada Haji Abdul Hadi menerimanya. Dengan menafikan hak penerimaan royalty itu, bermakna janji dan khabar gembira Azmi yang penuh agenda, tidak upaya untuk mengeluarkan rakyat Terengganu dari tempurung kemiskinan itu. Ia hanya menjadi “cakap-cakap politik” untuk mengikut jalan demokrasi, supaya tidak dilihat menekan dan menindas Terengganu semata-mata ia ditadbir oleh parti yang berlainan citarasa.

Jika dilihat dan dianalisis kenyataan dua pemimpin Umno Pusat ini, ternyata pembangunan yang mahu dibawa ke Terengganu adalah “umpan” untuk mengukuh dan memulihkan semula Umno negeri itu. Tanpa pembangunan, rakyat tidak melihat kebaikan Umno lagi, maka jalan mudah untuk menutup Umno Terengganu hampir terserlah.

Dalam waktu yang singkat, Mahathir terus menekan negeri itu, untuk menafikan hak royalty minyak yang sepatutnya diterima. Tanpa royalty itu, Mahathir tahu, kehebatan PAS membangunkan negeri, akan menemui jalan buntu. Dolak-dalik Mahathir dalam isu ini, jelas memperlihatkan “diskriminasi” kerajaan pusat dan ketakutan terhadap kemaraan PAS Terengganu.

Mahathir seolah-olah menafikan pendedahan fakta dan kenyataan rasmi Azmi, tentang kemiskinan yang tinggi di Terengganu hingga mencecah 17.3 peratus. Mungkin juga, Mahathir tidak menghiraukan soal kemiskinan, kerana baginya, “kemiskinan” adalah senjata canggih untuk mengembalikan sokongan rakyat negeri itu terhadap Umno pada 2004 nanti. Agenda ini, sudah tentu akan membantu Pak Lah dengan mudah untuk merampas semula “kuasa” dari tangan Haji Abdul Hadi.

Membiarkan Terengganu tanpa pembangunan secukupnya, memang menjadi strategi Umno sejak dulu lagi. Jika royalty minyak disalurkan, pelbagai agensi kerajaan dan kementerian aktif memunggah projek, maka Mahathir bimbang, rakyat tidak berterima kasih kepada Umno, sebaliknya “beranggapan” pembangunan itu datangnya dari kerajaan PAS.

“Tengok PAS memerintahpun, pembangunan berjalan. Projek berterusan.” Inilah ungkapan yang tidak mahu diengar oleh Mahathir, jika royalty minyak diserahkan kepada Haji Abdul Hadi.

Realitinya, Haji Abdul Hadi tahu, setiap “bantuan” kerajaan pusat ke Terengganu, bukanlah untuk membantu rakyat tetapi, strategi Umno untuk memulihkan keadaan dan meningkatkan semula keyakinan mereka terhadap parti itu yang mula ditolak sebahagian besar orang-orang Melayu itu. Kementerian Pembangunan Luar Bandar ibarat satu biro dalam Umno yang akan menjalankan program parti bagi menarik lebih ramai akar umbi menyokong semula Umno pada masa depan.