KEBENARAN TERNAK BABI TAK BERCANGGAH DENGAN
 ISLAM, KATA HADI
 
 KUALA TERENGGANU, 23 Dis  -- Kerajaan PAS
 Terengganu membenarkan ternakan babi di negeri itu kerana ia
 tidak bercanggah dengan ajaran Islam dan ia juga hak bukan
 Islam, kata Menteri Besar Haji Abdul Hadi Awang.

 Beliau berkata dalam hal yang berkait dengan masyarakat bukan
 Islam, terdapat perkara-perkara mengenai hak individu yang tidak
 boleh diganggu oleh masyarakat Islam.

 "Kerajaan yang mengamalkan dasar pemerintahan Islam hanya
 boleh memberi kawalan agar tidak mengganggu masyarakat Islam
 dan masyarakat lain," katanya ketika menggulung perbahasan
 mengenai belanjawan negeri untuk tahun 2000 pada persidangan
 Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.

 Abdul Hadi berkata kerajaan Islam terpaksa membenarkan ternakan
 babi dibuat tetapi dengan menetapkan beberapa syarat yang perlu
 dipatuhi.

 Antara syarat-syarat yang ditetapkan ialah penternakan babi tidak
 mengganggu masyarakat Islam, kebersihan yang terjamin dan ia
 tidak menyebabkan sebarang wabak penyakit.

 "Jika mereka boleh jamin hal-hal itu, kita benarkan...itu adalah hak
 mereka," katanya.

 Isu ternakan babi di Terengganu timbul apabila Abdul Hadi
 membuat kenyataan bahawa kerajaan PAS Terengganu akan
 membenarkannya sedangkan kerajaan Barisan Nasional yang
 memerintah Terengganu sebelum ini tidak membenarkan
 penternakan khinzir.

 Abdul Hadi berkata apa yang dilakukan oleh kerajaan negeri kini
 bukanlah satu perkara yang dibuat-buat tetapi benar-benar
 berlandaskan Islam.

 Beliau berkata kerajaan PAS Terengganu adalah sebuah kerajaan
 yang baru dan sebarang perubahan yang dibuat walaupun tidak
 banyak adalah berlandaskan Islam sebagai dasarnya.

 "Dalam hal Islam, (kerajaan) akan bertegas (untuk) jadikan Islam
 sebagai dasar," katanya.

 Beliau berkata kerajaan negeri akan memulakannya dengan
 merealisasikan beberapa perkara yang boleh dilaksanakan dengan
 segera, antaranya ialah skim pinjaman tanpa riba yang turut
 ditawarkan kepada masyarakat bukan Islam.

 "Kerajaan menganggap mereka yang memohon pinjaman adalah
 golongan yang berhajat dan tidak berkesempatan untuk menjadi
 orang korporat...mereka ini perlu diberi pinjaman secara membantu
 dan itu adalah semangat Islam," katanya.

 Abdul Hadi juga berkata penubuhan syura rakyat dibuat kerana
 kerajaan berpendapat bahawa dalam pemerintahan sesebuah
 kerajaan, ia mesti mempunyai dasar hormat menghormati dan
 saling nasihat menasihati antara satu sama lain.

 "Orang ramai termasuk kakitangan kerajaan boleh mengkritik serta
 menegur sebarang tindakan yang dirasakan salah dan kerajaan
 akan menerima semua teguran itu dengan terbuka," katanya.

 Beliau juga berkata langkah kerajaan negeri menghapuskan tol dan
 beberapa cukai lain merupakan sumbangannya secara langsung
 kepada rakyat dan kerugian hasil yang dialami oleh kerajaan negeri
 akibat tindakan itu boleh ditampung daripada pendapatan
 sumber-sumber lain termasuk perdagangan.

 Abdul Hadi berkata kerajaan negeri juga bercadang menghapuskan
 cukai tanah dan diganti dengan bayaran lain kepada masyarakat
 Islam dan kharaj untuk bukan Islam.

 Beliau berkata bagaimanapun, perkara itu masih di peringkat kajian
 kerana dalam Islam seseorang itu tidak boleh dibebankan dengan
 cukai dalam dua perkara.

 "Islam haramkan kita ambil dua cukai dari rakyat," katanya.

 Abdul Hadi berkata cuti dua hari seminggu bagi kakitangan
 kerajaan negeri adalah sebagai sokongan moral dalam usaha
 memingkatkan produktiviti kakitangan kerajaan negeri dan memberi
 peluang yang lebih kepada mereka bersama keluarga.

 Beliau berkata bagi mengatasi masalah sosial pula, kerajaan negeri
 akan melihat perkara yang dasar terlebih dahulu iaitu menekankan
 pendidikan dan menghapuskan sumber-sumber hasil yang haram.